March 11, 2011

Surau Al-Ikhlas, Taman Berjaya Surau Terbaru Diizin Mendirikan Solat Jumaat

Sungai Chua, Kajang, 06 Rabiul Akhir = 11 Mac (Jumaat):

Pertambahan taman-taman dan penduduk di DUN Bangi begitu pesat berlaku. Jumlah penduduk meningkat hingga suku juta orang. 65% daripada mereka adalah beragama Islam. Antara keperluan bagi mereka ialah tempat ibadat yang terdiri dari masjid dan surau. Masjid yang didirikan di kawasan-kawasan utama tidak lagi dapat menampung ahli jamaah bersolat Jumaat. Di DUN Bangi hanya terdapat 9 buah masjid, iaitu:

1) Masjid Al-Hasanah Seksyen 9 Bandar Baru Bangi – Masjid Utama
2) Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar – Masjid tertua di DUN Bangi
3) Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam
4) Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi
5) Masjid As-Salihin, Sungai Tangkas
6) Masjid Pekan Bangi
7) Masjid Institut Perguruan Islam, Bandar Baru Bangi
8) Masjid Institut Latihan Islam (ILIM), Bandar Baru Bangi
9) Masjid Al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Bandar Seri Putera

Dengan pertambahan taman-taman dan pertambahan penduduk memerlukan tempat solat Jumaat, kerana masjid-masjid di atas tidak lagi dapat menampung pertambahan jamaah. Sebab itu pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan setengah surau yang layak dan berkemampuan mendirikan solat Jumaat. Surau Al-Ikhlas, Taman Berjaya, Sungai Chua adalah surau paling baru dibenarkan oleh JAIS mendirikan solat Jumaat. Surau ini memulakan solat Jumaat pada hari ini.

Antara syarat-syarat kebenaran Solat Jumaat (Sementara) Dalam Negeri Selangor ialah:

a) Kebenaran adalah bersifat sementara dan pihak Majlis Agama Islam Selangor boleh menarik balik kebenaran ini pada bila-bila masa.
b) Tidak dibenarkan sama sekali menukar nama surau kepada nama masjid
c) Hendaklah membaca khutbah yang disediakan oleh JAIS serta doa kesejahteraan DYMM Sultan Selangor pada khutbah yang kedua.
d) Khutbah hendaklah dibaca oleh khatib atau imam yang dilantik oleh JAIS. Tidak dibenarkan menjemput khatib dari luar kecuali setelah mendapat kebenaran daripada JAIS
e) Pihak Surau dikehendaki mematuhi segala Pekeliling dan Arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan dari masa ke semasa.

Di DUN Bangi terdapat 100 surau, tidak termasuk yang sedang memohon. 16 buah daripadanya dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat. Surau-surau berkenaan ialah:

1) Surau An-Nur, Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi
2) Surau As-Sabah, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi
3) Surau Bangi Perdana, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi
4) Surau Al-Kauthar, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi
5) Surau Al-Hidayah, Seksyen 5, Bandar Baru Bangi
6) Surau Ar-Raudhah, Bandar Bukit Mahkota
7) Surau Asy-Syakirin, Taman Tenaga, Bangi
8) Surau Al-Islah, Taman Kajang Mewah
9) Surau Al-Ikhlas, Taman Berjaya, Kajang
10) Surau Al-Mujahidin, Taman Desa Surada, Bangi
11) Surau Taman Sutera
12) Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama
13) Surau Al-Hidayah, Taman Bukit Kajang
14) Surau Taman Jasmin, Kajang
15) Surau German-Malaysian Institute, Sungai Tangkas, Bangi
16) Surau Asy-Syakirin, Bandar Seri Putera, Bangi

Terdapat permohonan-permohonan baru bagi membina masjid, membina surau dan memohon mendirikan solat Jumaat di surau-surau. Permohonan sedang dipertimbangkan oleh pihak JAIS berdasarkan kelayakan dan keperluan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment