March 2, 2011

Membersih Dan Mengecat Surau Sempena Maulid Ar-Rasul

Bangi Indah, Pekan Bangi, 23 Rabiul Awwal = 26 Februari (Sabtu):

Satu gotong royong diadakan pada pagi ini di Surau Al-Ibtidaiyyah, Taman Bangi Indah, Pekan Bangi sempena dengan Sambutan Maulid Ar-Rasul s.a.w. Gotong royong adalah anjuran Surau dengan kerjasama mahasiswa dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Malaysia dari Sungai Besi. Jumlah mereka yang hadir lebih kurang 30 orang mahasiswa dan mahasiswi serta sukarelawan dari Impact Az-Zahrah. Sejumlah yang lebih kurang sama adalah terdiri dari penduduk kampong juga lelaki dan perempuan yang diketuai oleh Tuan Haji Sukaimi selaku Pengerusi Surau. Turut hadir Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Bangi. Adun Bangi dijemput merasmikan gotong royong.

Pada masa ketibaan Adun mahasiswa dan mahasiswi termasuk pemuda dari kampong berkenaan bersenam robik sebelum memulakan gotong royong. Selepas senaman Adun dengan masa yang terhad berucap ringkas memuji kerjasama di antara penduduk dan mahasiswa-mahasiswi yang datang bergotong royong – antaranya bagi memenuhi keperluan ko-kurikulum pengajian di UPNM, di samping berkhidmat kepada masyarakat setempat. Ianya benar-benar memberi faedah bagi kedua pihak di samping mengeratkan hubungan kemasyarakatan. Menurut Adun, ini bukan kali pertama Adun bersama dengan mahasiswa dan mahasiswi UPNM, kerana lebih kurang setahun yang lepas juga ramai dari mahasiswa-mahasiswi UPNM datang ke Taman Seksyen 8 Tambahan Bandar Baru Bangi, menjadi anak-anak angkat kepada penduduk di sana, di samping menjalankan berbagai-bagai kegiatan berasaskan Surau Al-Mustaqim di sana, termasuk gotong royong, sukanika dan sebagainya. Adun berharap kegiatan seperti yang dilakukan di Taman Bangi Indah dan juga Seksyen lapan Tambahan BBB akan diteruskan ke kawasan-kawasan yang lain, terutama di BBB. Adun sedia bekerjasama bagi menjayakan hasrat murni dan berfaedah itu.

Sementara itu kalangan ibu bapa sebok bergotong royong membersih ayam, melapah daging dan memotong sayur bagi persediaan Maulid Ar-Rasul pada malamnya yang turut disertai oleh mahasiswa-mahasiswi. Selepas berucap Adun memulakan mengecat pagar surau secara gimik dan diikuti mahasiswa-mahasiswa. Adalah difahamkan cat-cat berkenaan adalah disponsor oleh pihak Pact Zahrah yang juga menyediakan tenaga kerja.


Semoga amalan baik dibalas Allah dengan ganjaran pahala berganda. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment