March 28, 2011

Kursus Menternak Kambing: Sambutan Luar Dugaan

Teras Jernang, BBB, 22 Rabiul Akhir = 27 Mac (Ahad):

Kursus Penternakan Kambing anjuran Pejabat Perkhidmatan Veterinar, Hulu Langat dengan kerjasama Pejabat Dun Bangi bertempat di Balairaya Teras Jernang, Bangi bermula jam 8.30 pagi hari ini mendapat sambutan luar dugaan. Lebih dari 80 peserta hadir. Hadir pada pagi ini Adun Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar, En. Mohd Fauzi bin Abdul Razak Pegawai Perkhidmatan Veterinar Hulu Langat, Tuan Shukor Jantan, Ketua Kampong Teras Jernang, En. Muhammad Nadzmi Ketua Lajnah Perusahaan dan penternak-penternak veteran berjaya seperti Tuan Haji Jaafar dari Batu 22- 1/2 Sungai Lui dan Encik Salanan dari Batu 14 Hulu Langat.

Dalam ucapan alu-aluannya En. Mohd Fauzi memaklumkan ini adalah julung-julung kali kursus sedemikian diadakan. Beliau mengucap syukur dan berterima kasih di atas sambutan yang diberi peserta-peserta. Juga atas usaha Pejabat Adun, Ketua Kampung dan semua pihak yang memberi kerjasama menjayakan kursus. Kursus yang dianjurkan ialah dari pihak kerajaan negeri bertujuan melatih dan mempertingkatkan prestasi penternak-penternak.

Menurutnya objektif kursus ialah:

1. Untuk memberi pendedahan kepada penternak kambing tentang sistem pengurusan yang baik dan bebas penyakit.
2. Mendedahkan penternak kepada sistem pemasaran yang berorientasikan keuntungan sejajar dengan moto Kerajaan iaitu ``Pertanian adalah peniagaan.``
3. Memberi peluang bagi peserta bertukar-tukar fikiran dan pandangan dengan pengusaha-pengusaha lain.


Menurut En. Mohd Fauzi lagi, di Hulu Langat pada masa ini terdapat:

a) Terdapat 5,172 ekor kambing diternak oleh 120 penternak
b) Terdapat 468 ekor kerbau diternak oleh 15 penternak
c) Terdapat 2,960 ekor lembu diternak oleh 2 penternak
d) Terdapat 409,200 ekor ayam diternak oleh 5 ladang
e) Terdapat 30,500 ekor arnab diternak besar-besaran oleh 1 ladang
(Sudah tentulah ramai lagi penternak dan banyak ternakan di luar dari pendaftaran).
Kata En. Aziz sate kajang yang kekal tertinggi dan berdaya maju antaranya ialah sate kambing. Antara penternak-penternak berdaya maju di Hulu Langat

1) Haji Salanan dengan ternakan 300 ekor kambing di Batu 14 & 16.
2) Haji Jaafar dengan ternakan 160 ekor kambing di Sungai Lui
3) Hayazi Tetris Agro dengan 130 ekor kambing, Batu 19-1/2, Ulu Perdek
4) Foo Yu Chin dengan ternakan 180 ekor kambing di Batu 14, Sungai Lalang, Hulu Langat.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya, berterima kasih kepada pihak Veterinar Hulu Langat, kerana memilih Bangi sebagai tempat menyampaikan kursus dan terima kasih kepada peserta-peserta yang menyertai kursus. Beliau berharap dengan menyertai kursus para penternak mendapat ilmu dan panduan menternak kambing dan dapat menjalankan ternakan lebih teratur, berdaya maju dan menguntungkan sesuai dengan moto `Pertanian Adalah Perniagaan`.

Beliau menyebut sungguhpun dengan pembangunan pesat berlaku kekurangan tanah, tetapi dengan pemeliharaan menurut kaedah saintifik dan teratur dengan tanah yang terhad mampu diusahakan ternakan kambing dan berdaya maju. Beliau berkata, ada anggapan daging kambing boleh membahayakan kesihatan. Anggapan ini salah dan perlu diperbetulkan, kerana daging kambing adalah hasil permakanan kambing dari tumbuh-tumbuhan. Kini diternak secara bersih dan bebas penyakit.

Menurut Dr. Shafie Adun Bangi, Pekerjaan menternak kambing adalah perusahaan murni yang diamalkan oleh nabi-nabi seperti Nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi Shuaib a.s. Islam mengiktiraf perusahaan kambing dengan memasukkan kambing di dalam kategori harta yang dikenakan zakat apabila cukup syarat. Minuman kesihatan yang utama juga ialah susu kambing.


Beliau berharap melalui kursus dapat diadakan jaringan antara pengusaha-penusaha dan bekerjasama di dalam meluaskan kaedah menternak dan bekerjasama juga dari segi pemasaran. Beliau berharap dari pengusaha-pengusaha yang mengikuti kursus akan lahir pengusaha-pengusaha berdaya maju. Beliau juga mengharapkan ini bukan kali pertama dan terakhir pihak Veterinar menganjurkan kursus sedemikian, tetapi merupakan permulaan kea rah kursus-kursus lanjutan supaya perusahaan menternak kambing ini benar-benar maju dan berjaya. Dalam kursus ini dua buah kertas kerja dibentangkan oleh pegawai-pegawai dari Veterinar berhubung dengan penternakan dan pemasaran (perniagaan).


Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment