March 4, 2011

Kursus Haji Dan Gotong Royong Di Sungai Ramal Luar

Sungai Ramal Luar, 23-24 Rabiul Awwal = 26-27 Februari (Sabtu –Ahad):

Selama dua hari berturut-turut Adun Bangi mengunjungi Kampung Sungai Ramal Luar. Hari pertama kunjungan pada pagi Sabtu 26 Februari bertempat di Masjid Haji Mat Saman bagi merasmikan Kursus Haji yang pertama kali diadakan di Bangunan baru masjid ini. Hadir di dalam majlis yang diadakan di dalam masjid ialah Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Tuan Haji Johan bin Hj. Mat Noh Pengurus Tabung Haji Daerah Hulu Langat, En. Anwar sebagai penyelaras Urusan Haji, Ustaz Salihin Penyampai Kursus dan para peserta kursus yang dijangka lebih kurang 100 orang, tapi bagi permulaan baru hadir lebih kurang 50 orang. Majlis pembukaan yang dipengerusikan oleh Nazir Tuan Haji Nik Pa menjemput Tuan Haji Mohd Yusof berucap mengalu-ngalukan kehadiran pegawai-pegawai dan peserta kursus. Beliau melahirkan optimis peserta akan bertambah. Menurutnya caj yang dikenakan RM50.00 adalah minimum dan pihak masjid mensubsidikan sebahagiannya. Bayaran termasuk makan pagi dan tengahari dan kursus bersifat bersiri. Beliau menyatakan bahawa kursus ini adalah merupakan antara aktiviti yang dijalankan di Masjid Haji Mat Saman .Menurut Pengerusi Tuan Haji Nik Pa bangunan lama Masjid Haji Mat Saman akan dijadikan pusat pengajian dan kegiatan ilmu yang dijalankan di Masjid Haji Mat Saman.

Adun Bangi yang berucap merasmikan kursus mengucapkan tahniah kepada semua pengikut kursus yang dimaklumkan telah mendapat tawaran menunaikan haji. Beliau menyebut, bahawa haji bagi kebanyakan orang hanya sekali seumur hidup dapat pergi ke Tanah Suci, sebab itu ianya hendaklah dikerjakan secara sebaik mungkin dan belajar serta mengikuti kursus seperti pada hari ini merupakan pendekatan terbaik mempelajari kursus haji yang akan dipraktikkan. Haji menurut Adun selaku rukun Islam kelima adalah perlangsungan dari agama Hanif (Islam) sejak zaman Nabi Allah Ibrahim yang mendoakan akan kemakmuran Makkah dan menjadi tempat kunjungan para Haji dari pelbagai ceruk rantau dunia. Ke Makkah memanglah bagi tujuan menyempurnakan rukun Islam, tetapi di samping itu para pengunjung dapat mengukuhkan keyakinan dengan mempelajari sejarah yang berhubung dengan Nabi Allah Ibrahim dan anak-anaknya Ismail dan Ishak, juga kesan sejarah yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w. semasa kehidupan baginda di Makkah dan juga di Madinah. Adun berdoa semoga semua bakal haji insya Allah dapat menunaikan haji sebaik mungkin dan diterima sebagai Haji Yang Mabrur.

Pada pagi hari kedua Ahad 27 Februari Adun berkunjung ke Sungai Ramal Baru, Sungai Ramal Luar, kerana menyertai program gotong royong bagi membasmikan nyamuk aedes. Kehadiran ke sini, iaitu selepas Adun hadir sekejap ke Madrasah Kafa al-Hidayah Taman Seri Intan meraikan jemputan yang dibuat Pengerusinya Encik Mustafa bin Sulaiman sempena Sambutan Maulid ar-Rasul dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan pelajar.

Hadir ke Program gotong royong di Sungai Ramal baru ini ialah Puan Nur Faezah Ketua Timbalan Pegawai Daerah, Tok Rusli bin Muhibbat Ketua Penghulu Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Yusof bin AbdulKadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Pegawai-Pegawai Jabatan Kesihatn Hulu Langat dan para peserta sukarelawan yang hadir bagi bergotong royong.


Tuan Haji Mohd Yusof mengalu-alukan para hadirin dan berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan yang dapat turun menjayakan program gotong royong di Sungai Ramal Dalam. Adun Bangi pula menyatakan kerisauan tentang kedudukan Hulu Langat sebagai tertinggi dengan wabak denggi di Malaysia. Imej ini kurang baik seolah-olah mencerminkan masyarakat di Hulu Langat tidak peka dengan kesihatan. Beliau berharap dengan program yang diadakan ini merupakan salah satu usaha mengurangkan kes denggi di Hulu Langat dan terus mengurangkan bilangan kes denggi di Hulu Langat. Kempen seperti ini dan peningkatan kesedaran sivik tentang kesihatan, menurut Adun hendaklah terus menerus diadakan bagi membaiki taraf kesihatan di Hulu Langat, mengubah statistik dan imej yang tidak menyenangkan Hulu Langat.

Selepas perasmian gotong royong mencari dan membasmi tempat membiaknya nyamuk aedes dilakukan hingga ke tengahari.

Sekian.

1 comment:

  1. salam perjuangan yb..mohon linkkan blog ana..http://addin77.blogspot.com..blog yb dh dilinkkan..t.kasih

    ReplyDelete