February 13, 2011

UNISEL Tidak Perlu Kepada Penukaran Nama

BBB, 12 Februari = 9 Rabiul Awwal (Sabtu):

Sebelum ini penulis tidak begitu jelas berhubung dengan hebahan melalui media cadangan UNISEL menjenamakan semula UNISEL. Terima kasih kepada wartawan Sinar Harian Noor Ainulyakin Mohamad Ishak dan Syahidatul Akmal Dunya yang mewawancara Presiden dan Naib Canselor UNISEL Datuk Dr Rosti Saruwono berhubung dengan konsep penjenamaan semula UNISEL.

Sebelum berbicara lebih lanjut, diperingatkan tulisan ini bersifat ilmu, kalau ada pendapat berbetulan dengan pihak lain atau seperti mempertahankan pihak dahulu, bukan atas dasar politik, tetapi kerana pertimbangan ilmu semata-mata. Berdasarkan keterangan yang diberi oleh Presiden yang juga Naib Canselor UNISEL, nampaknya tidak ada fakta dan hujah yang kukuh yang mewajarkan nama UNISEL diubah dari Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor. Perlunya perubahan jenama, kerana mahu perluaskan kursus di UNISEL kepada bidang yang dianggap luar dari industri seperti komunikasi media dan kewartawanan, bahkan pendidikan Islam atau apa jua nama kursus bagi memperkukuhkan modal insan bukan hujah kukuh hingga perlunya kepada perubahan nama UNISEL. Kemasukan kursus-kursus baru atas nama lama – Universiti Industri Selangor tidak sedikit menghalang dari kemasukan kursus-kursus baru. Kita tidak bergembira, bahkan bimbang, jika didasarkan perubahan bersifat politik, kerana nama lama diwujudkan pada zaman kerajaan sebelum Pakatan Rakyat, maka dengan kerajaan baru nama UNISEL perlu diubah. Jika demikian amat keanak-anakan tindakan yang mahu diambil. Lebih bercelaru dan memalukan takdir berlaku pertukaran kerajaan, maka nama UNISEL akan dikembalikan kepada yang asal.

Penulis menulis sedikit sebanyak berdasarkan pengalaman penulis sebagai pensyarah di universiti selama 25 tahun dan berkecimpung di dalam merangka kursus dan pernah menjadi ahli jawatankuasa kurikulum bagi pengajian ijazah lanjutan fakulti, bahawa pengubahan, penambahan, pembaharuan, bahkan pengurangan bagi kursus-kursus yang ditawarkan adalah perkara biasa. Bahkan menjadi kewajipan bagi penyampai kursus, jabatan dan fakulti meneliti, mengkaji, mengubah dan meningkatkan kursus-kursus yang ditawarkan. Bahkan bagi universiti, fakulti dan jabatan menjadi kebiasaan bagi setiap lima tahun sekali menjemput penilai luar membuat penilaian terhadap unversiti, fakulti dan kursus-kursus yang ditawar dan dijalankan dan membuat cadangan dan perubahan yang sesuai bagi meningkatkan mutu keilmuan yang disampaikan. Ianya merupakan kaedah biasa bagi mempertingkatkan universiti. Kita ingin bertanya dengan usia UNISEL sudah melebihi 10 tahun, sewajarnya sudah dua kali UNISEL menjemput penilai-penilai luar, termasuk luar Negara menilaikan UNISEL, fakulti dan kursus-kursus yang dijalankan. Apakah penilaian-penilaian ini dijalankan? Apakah laporan yang dikeluarkan? Adakah antara cadangan agar diubahkan nama UNISEL?

Sekali lagi ditekankan dengan cadangan pengluasan kursus yang disebut Presiden dan Naib Canselor UNISEL tidak sedikit mencacatkan nama UNISEL yang asal, bahkan itulah unjuran yang biasa berlaku di dalam perkembangan kurikulum dan kursus-kursus bagi sesebuah universiti. Dengan pengekalan nama Universiti Industri Selangor tidak menghalang Universiti Industri Selangor mengekalkan kursus Teras Universiti Industri Selangor berindukkan Industri atau sebagai Major dan dikembangkangkan kursus yang lain yang kurang dari sifat industri sebagai minor atau cabang, dahan dan ranting. Dalam kata yang lain dengan pengekalan nama Universiti Industri Selangor tidak menghalang Universiti Industri Selangor merangka kursus pendidikan Islam, psikologi, sukan bahkan perubatan. Semua kursus ini releven bagi Universiti Industri Selangor dan kehidupan masyarakata industri, urban dan moden.

Penulis melihat dengan penjenamaan semula UNISEL kepada Universiti Selangor sebagai mundur kebelakang. Dengan demikian pihak yang mencadangkan perubahan dan penjenamaan berkenaan berfikir secara umum dan biasa dan meletakkan diri pada tahap biasa, menginginkan konon `kebaikan` pada orang lain dan tidak menyedari kebaikan dan keistimewaan yang sudah ada pada diri. Dalam kata lain penjenamaan semula UNISEL meletakkan UNISEL yang dijenama baru sama dengan universiti-universiti negeri yang ada kini seperti Universiti Pahang, Universiti Perlis, Universiti Terengganu dan sebagainya. Universiti berkenaan lebih bersifat negeri yang tidak menciri dan mengidentitikan diri kepada bidang keilmuan yang lebih khusus. Tidak ada salah dan rendah dengan nama Universiti Industri Selangor, bahkan imejnya lebih unggul kerana menisbahkan diri dengan bidang dan keilmuan khusus sebagai bidang major dan tidak menghalang dari diperkembangkan kepada bidang minor - cabang dan ranting. Dengan nama Universiti Industri sebenarnya UNISEL berada sebaris dengan universiti-universit elit di Malaysia yang menjenamakan universiti dengan ilmu seperti Universiti Teknologi, Universiti Teknikal dan sebagainya. UNISEL dengan nama asal tidak bersifat duplikasi dengan nama universiti-universiti negeri yang lain. Kita berpendapat dengan usia Universiti Industri Selangor baru sedekad dan relatifnya muda, banyak ruang yang belum diterokai dan menuntut keupayaan intelektual memperkembang kursus-kursus secara berkualiti. Janganlah dipersalahkan kepada nama, tetapi persoalkan pada pimpinan universiti mengapa hingga kini imej UNISEL universiti belum terserlah dan pelajar dikatakan makin berkurang, mengapa sumbangan nyata kepada bidang industri dan negeri belum menonjol dan akhir sekali kita ingin bertanya, persoalan dan isu sebegini penting tidak layakkah dibawa berbincang ke peringkat Dewan Negeri Selangor. Apakah ahli-ahli Dewan Negeri Selangor tidak berkelayakan membincang soal-soal ilmiah ?

Mereka layak dan berhak!

Sekian.

No comments:

Post a Comment