February 9, 2011

Sesudah Pulang: Bagaimana Dengan Masa Depan ?

BBB, 05 Rabiul Awwal = 08 Februari (Selasa):


Satu perpindahan –exodus secara besar-besaran berlaku terhadap pelajar-pelajar Malaysia. Sejumlah 10.000 pelajar dapat dipindahkan dari Mesir melalui Jeddah dan lain-lain ke Malaysia dalam masa yang singkat. Semua pihak berterima kasih kepada pihak berkuasa di atas tindakan bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar dari kesan Revolusi Rakyat terhadap pemerintah dictator Hosni Mubarak di Negara Mesir.

Namun harapan revolusi dapat menjatuhkan regime Mubarak tidak berlaku sebagaimana jatuhnya regime Zainal Abidin bin Ali di Tunisia. Zainal Abidin melarikan dirinya ke Saudi, tetapi Hosni Mubarak masih bertahan. Tanda-tanda campur tangan Amerika-Yahudi berlaku bagi menyelamatkan kedudukan Amerika Yahudi di Mesir dan kesan terhadap Israel (Ikhwanul Muslimin disekat dari menyertai sama dalam rundingan), apalagi pihak tentera mulai mempertahankan kedudukan Hosni Mubarak. Pertentangan di Medan Tahrir mulai berpindah ke Medan Rundingan yang sudah tentu banyak tawar menawar akan berlaku. Sudah tentulah banyak yang diharapkan berubah secara total dari kesan revolusi tidak berlaku. Hosni Mubarak dijangka sedikit demi sedikit akan menarik kembali kekuasaannya melalui kerjasama Timbalan Presidennya Omar Suleiman. Ini bermakna Hosni Mubarak dengan pertolongan sekutu-sekutunya Amerika-Israel dapat mengubahkan hala peluru meriam revolusi tertuju kepada dirinya ke arah yang lain dan beliau berjaya mengubah revolusi berdarah kepada penangguhan yang kononnya akan diadakan pilihanraya pada bulan September depan dalam mana kemahuannya dan maruahnya dapat diselamatkan melalui Omar Suleiman yang disenangi oleh Amerika dan Israel. Banyak halangan, sekatan dan rundingan akan ditempoh. Semangat rakyat pada masa ini tidak seampuh pada permulaan kebangkitan. Revolusi tertangguh di Mesir ini memberi kesan kepada tertangguhnya kebangkitan yang dijangka berlaku seperti di Jordan, Syria, Yamen dan beberapa tempat yang lain. Hosni Mubarak kemungkinan berjaya mengubah teks dan episode revolusi yang seharusnya tertulis dengan darah kepada tertulis dengan dakwat biru dan tidak mustahil beliau akan mengubah sejarah yang seharusnya mengecam beliau kepada pujian !

Kesan tertangguhnya gerakan revolusi di Mesir memberi kesan tertangguh kepada pelajar-pelajar Malaysia yang dikeluarkan dari Mesir, sama ada pusat-pusat pengajian tinggi dan universiti-universiti di Mesir yang menjadi tempat pengajian pelajar-pelajar Malaysia meneruskan pengajian atau menangguhkan pengajian sehingga redanya keadaan di Mesir. Perkembalian pelajar-pelajar dari Mesir demi keselamatan dari satu segi menghilangkan keresahan, terutama ibubapa, tetapi bagi pelajar-pelajar yang bercita-cita menghadapi pengajian secara bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan, kemelut politik yang berlaku di Mesir mengeciwakan mereka. Pengajian mereka terganggu dan mungkin terhenti bagi satu semester atau mungkin satu tahun atau mungkin ada yang terganggu terus. Dengan kemelut ini tidak wajar dibiarkan pelajar-pelajar menghadapi secara bersendirian. Kementerian Luar, Kementerian Pengajian Tinggi, bahkan kerajaan perlu mengambil tanggungjawab menyelesaikan kemelut yang dihadapi pelajar-pelajar. Cabaran bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi sepuluh ribu pelajar ini lebih besar dari cabaran mengexoduskan mereka keluar dari Mesir. Jika pihak berkenaan gagal mengatasi masalah berkenaan, keuntungan politik yang didapati oleh pihak pemerintah dari usaha pemindahan akan tenggelam dengan kepelbagaian masalah berdepan pelajar. Kita kira kegelisahan pelajar mulai terbetik sejak mula mereka dibawa pulang dan permasalahan akan lebih membesar, jika mereka dibiar tanpa mendapat pembelaan dan tindakan.

Antara persoalan yang harus diambil tindakan ialah merundingkan dengan pihak universiti-universiti yang pelajar Malaysia belajar bagi mendapat jaminan pelajar dapat kembali belajar dan bagaimana mengatasi pengajian yang tertangguh. Biaya bagi mereka untuk kembali belajar, perlu juga menjadi kiraan, terutama bagi pelajar dari kalangan keluarga miskin.

Andainya pihak universiti di sana juga menangguhkan pengajian dalam kadar yang lama, apakah pelajar yang pulang dibiarkan menunggu tanpa penentuan. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dan rundingan bagi menempatkan pelajar-pelajar di universiti-universiti di Mesir yang setara dan setaraf dengannya. Jika kekurangan tempat bagi universiti-universiti yang dibuka, contohnya bagi pelajar-pelajar perubatan apakah pelajar-pelajar berkemampuan dan kerajaan bersedia menempatkan mereka di universiti-universiti di barat sebagaimana pelajar-pelajar yang lain dari Malaysia dihantar belajar di barat. Setarakah pelajar-pelajar kita dan mampukah mereka ?

Akhirnya jika ruang dan peluang bagi pelajar-pelajar yang dibawa pulang mengecil, pihak berkuasa mesti berusaha menempatkan mereka di universiti-universit tempatan yang setaraf dan setara. Tempat perlu disediakan sepadan dengan jumlah mereka yang dibawa pulang.

Pokoknya pelajar-pelajar yang dibawa pulang jangan dibiar terumbang ambing sehingga menghilangkan arah, matlamat dan azam yang selama ini mereka tanam, berusaha dan perjuangnkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment