February 4, 2011

Perasmian Surau Ar-Raudhah Oleh Ketua Pengarah JAKIM

Taman Bangi Villa/Ria, Pekan Bangi, 25 Safar = 30 Januari (Ahad):

Taman di atas adalah merupakan taman yang relatif baru yang dibangunkan sekitar selepas 2000 di atas tanah lot-lot bungalow yang jumlahnya lebih kurang 70 buah. Sejak taman ini dibangunkan kesedaran kepada didirikan sebuah surau di sini disedari sejak awal lagi. Pada peringkat awal sembahyang berjamaah didirikan di rumah yang dijadikan surau sementara.


Usaha mendirikan surau dilakukan di sini selepas mengenal pasti tapak surau sekarang ini. Pada permulaan didirikan bangunan setingkat sebagai balai musalla, tanpa dinding. Bangunan ini digunakan sejak tahun 2007. Usaha membina sebuah surau secara sempurna dan lengkap dilakukan sejak dari masa itu. Tokoh utama yang mengusahakan pembinaan surau sekarang yang dirasmikan pada hari ini ialah Ybhg. Dato` Us. Hj. Mohd Daud Che Ngah bersama AJK beliau. Mereka mencari derma bagi mencukupkan dana pembinaan. Menurut Dato` Hj. Mohd Daud Bekas Pegawai Kanan Tabung Haji dan kini terus menjalankan kegiatan syarikat Haji dan Umrah dalam ucapan alu-aluannya dalam usaha mencari dana,

``Dalam tempoh tiga tahun di mana saja, saya mengajar dan berceramah, saya membentangkan sejadah atau mengedarkan tong derma untuk membina Surau Ar-Raudhah ini.``

Menurut Dato` Hj. Mohd. Daud, hasil dari pungutan derma secara di atas dapat dikumpulkan sebanyak RM160,000.00 dan dicampur dengan derma-derma yang lain dari berbagai pihak berjumlah RM270,000.00 yang dapat dirikan Surau Ar-Raudhah sebagaimana kini, di samping mengekalkan Balai Musalla yang lama yang menjadi sebahagian dari kompleks surau. Beliau berterima kasih kepada semua penderma dan kepada semua pihak yang menjayakan pembinaan Surau Ar-Raudhah yang pada hari ini dapat dirasmikan.

Perasmian Surau Ar.Raudhah pada petang ini dilakukan oleh Yang Berbahagia Dato` Wan Mohamad Bin Dato` Sheikh Abd. Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Hadir sama dalam Majlis Perasmian pada petang ini ialah Adun Bangi, Tuan Haji Othman bin Mokhtar Imam Masjid Pekan Bangi yang juga mewakili Nazir masjid, Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Pekan Bangi, En. Azlan Ketua Kampong, Kampong Bahagia Bangi, Dato` Sabki Mahmud selaku Penaung Surau serta penduduk setempat yang berjumlah lebih kurang 100 orang.

Dato` Wan Mohamad dalam ucapan alu-aluannya sama bersyukur dapat menyaksikan siapnya Surau Ar-Raudhah. Menurutnbya mendirikan rumah Ibadat seperti surau Ar-Raudhah adalah amalan kebajikan yang besar yang menurutnya beliau juga cemburu melihat kejayaan dan kehadiran semoga dapat sama merasa bahagia di atas kejayaan yang dicapai. Beliau membuat telahan, pemberian nama Surau Ar-Raudhah tentu ada hubungan dengan nama Ar-Raudhah dalam Masjid An-Nabawi di Madinah dan dari gambar kubah surau ini mengambil bentuk Kubah Masjid Nabawi, apalagi Dato` Daud memang orang yang sentiasa mempunyai urusan berterusan di kedua Tanah Suci, Makkah dan Madinah. Dato` Wan Mohamad menggalurkan istilah Ar-Raudhah bukan setakat berkaitan dengan Raudhah yang menjaga bahagian utama di Masjid Madinah, tetapi dikaitkan dengan Hadith Nabi berhubung dengan Raudhah, yang antaranya bermaksud sebagai Taman Ilmu dan juga bermaksud sebagai Syurga. Beliau percaya Surau Ar-Raudhah yang didokong oleh kalangan mereka yang berkedudukan dan wujudnya para ilmuan, akan terus menghidupkan majlis-majlis ilmu sebagai taman yang dituntut oleh Rasulullah kepada siapa yang melaluinya untuk singgah memetik kuntum-kuntum ilmu. Ar-Raudhah sebagai Taman Ilmu dan Musalla adalah jalan cahaya yang membawa kepada syurga.


Sememanglah dilihat dari program yang diaturkan di Surau Ar-Raudhah secara berterusan adalah surau yang aktif dengan kegiatan ilmu antaranya ialah pengajian tafsir, pengajian Hadith, Aqidah, Fiqh, Kelas Tajwid dan Al-Qur`an, Kuliah Subuh – Tanbihul Ghafilin, Kelas Al-Qur`an Wanita, Kursus Haji dan Umrah, Kursus Pengurusan Jenazah, Seminar Keibubapaan, Motivasi Remaja, Manakala aktiviti sosial yang dianjurkan oleh surau ialah sambutan-sambutan perayaan dan hari-hari kebesaran, kejohanan Futsal dan sebagainya. Melihat kepada kegiatan-kegiatan yang diatur sebagaimana disebut oleh Dato` Wan Mohamad kita rasa cemburu dan ingin bersama dengan kegiatan-kegiatan yang amat berfaedah tersebut.

Sekian.

No comments:

Post a Comment