February 10, 2011

Penawaran Tanah Di DUN Bangi: Contoh Negeri Selangor Mempercepatkan Permohonan Tanah Secara Berkelompok

BBB, 06 Rabiul Awwal = 09 Februari (Rabu):


Kerajaan Negeri Selangor berusaha mempercepat bagi meluluskan permohonan-permohonan tanah secara berkelompok di Negeri Selangor. Hasilnya sejak pemerintah Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, banyak permohonan tanah yang selama ini tertunggak dan tertangguh dapat diselesai dan diluluskan kepada mereka yang berkelayakan.


Sebagai contoh di DUN Bangi terdapat beberapa permohonan Tanah secara berkelompok diluluskan seperti:


1) Di Sungai Ramal Luar kerajaan negeri meluluskan sejak 2009 permohonan kelompok bagi seramai 61 orang di kawasan Sungai Ramal Luar berhampiran dengan seksyen 8. Sebahagian dari kawasan ini termasuk di bawah Seksyen 8. Pengukuran dan penyesuaian lot-lot, baru dibuat dan memerlukan pembangunan dari segi infra-struktur untuk didirikan perumahan di lokasi yang begitu strategic yang memang tanah sudah amat terhad di DUN Bangi.


2) Di Kampung Bahagia, Pekan Bangi, pada tahun 2010 kerajaan Negeri juga telah meluluskan permohonan berkelompok di tanah berbukit yang landskapingnya menarik bagi sejumlah 50 unit lot tanah. Bayaran premium bagi setiap keping tanah bergantung pada keluasan. Keluasan terbesar adalah 11,000 kaki persegi yang jumlah premium hingga RM32,000. Keluasan normal ialah antara 5,000 hingga 7,000 kaki persegi yang jumlah premium yang dikehendaki dibayar oleh mereka yang diluluskan ialah antara 16,000 hingga RM20,000. Walau bagaimana terdapat mereka yang tidak berkemampuan membayar premium dan mereka membuat rayuan melalui ADUN Bangi. Al-hamdulillah pengurangan diberi sebanyak 40% kepada mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

3) Pada hari ini ADUN Bangi turun dengan Penolong Pegawai Daerah Bahagian Tanah Encik Rashidi, Pegawai dari Bahagian Ukur Encik Hashim dan Ketua Kampong Encik Shukor bin Jantan bagi menilai permohonan berkelompok tanah bertempat di Jalan Teluk Lebai Chili, di Tepian Sungai Langat di Jalan ke Taman Sentosa. Sebanyak 39 pemohon bagi lebih 30 lot tanah di sini.


Tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan, didapati sebahagiannya tidak memenuhi syarat dan permohonan terpaksa ditolak. Ada daripada pemohon terlebih dahulu mendirikan bangunan perumahan di atas tanah reserve sungai. Tanah sedemikian tidak dapat diberi pemilikan tetap dan berkemungkinan dibenarkan buat sementara atas kategori tanah tol. Mereka sepatutnya tidak mendirikan bangunan kekal yang berharaga beratus ribu, tanpa kepastian dari segi pemilikan, apa lagi melanggar peraturan, kerana ini merugikan pendiri bangunan-bangunan berkenaan.


Pemohon yang benar-benar layak, ialah penduduk tempatan yang sememangnya tidak mempunyai tanah yang lain. Bagi pemohon yang tidak berminat dan membiarkan tanah yang dipohon, apa lagi sudah mempunyai kediaman yang lain, tidak diberi keutamaan dan keutamaan akan diberi kepada yang memerlukan sahaja. Satu tindakan yang tidak wajar dan tidak patut dilakukan, ada pemohon yang masih tidak pasti dari segi pemilikan tanah yang dimohon, bertindak menjual tanah yang dipohon kepada orang yang lain. Jika tidak ada dokumen penjualan yang jelas, mungkin tidak diberi pemilikan dan ditawarkan kepada yang berkelayakan. Bagi yang mendapat tawaran pemilikan tanah setelah melalui siri penilaian diharap dapat membayar premium yang ditentukan.


Adalah diharapkan tanah yang diberi milik sama ada di Teras Jernang, Kg. Bahagia Bangi dan di Sungai Ramal Dalam tidak menjual tanah yang ditawarkan kepada mereka untuk mencari keuntungan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment