February 20, 2011

Aqiqah, Penyampaian Bantuan & Tazkirah Maulid Ar-Rasul Oleh YB Ustaz Nasharuddin Timbalan Presiden Pas

Bandar Seri Putera, 13 Rabiul Awwal = 16 Februari (Rabu):

Pas Bandar Bukit Mahkota malam ini mengadakan sambutan Maulid Ar-Rasul bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat Pas Bukit Mahkota-Seri Putera di sini. Tamu istimewa pada malam ini yang dijemput pihak penganjur ialah YB. Ustaz Nasharuddin Mat Isa Ahli Parlimen Bachok, Timbalan Presiden Pas yang kediaman rasminya di Bukit Mahkota. Turut dijemput ialah ADUN Bangi dan hadir sama saudara Aidil Ketua Pas Cawangan Bukit Mahkota dan Tuan Haji Ahmad Yusof, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Seri Putera serta jemputan-jemputan dan ahli-ahli dari Bukit Mahkota dan Seri Putera.

Sebelum ceramah diadakan selepas sembahyang Isya` yang diimami oleh YB Ustaz Nasharuddin, sebelumnya di pekarangan di hadapan Pusat Khidmat diadakan Jamuan Aqiqah oleh Encik Mohd Sufiyan seorang pengusaha restoran bagi anaknya yang berusia tiga tahun. Selepas Majlis Aqiqah para jemputan naik ke atas – Pejabat Khidmat Masyarakat bersembahyang Isya` berjamaah. Sebelum tazkirah – ADUN Bangi mempersilakan YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyampaikan bantuan kewangan kepada saudara baru dari Nigeria Timur yang menganut Islam di sini dengan nama Mohd. Ibrahim bin Abdullah (26) pelajar Jabatan Komunikasi di KUIS. Beliau adalah dari keluarga Kristian di Nigeria. Nama Mohd. Ibrahim sebelum menganut agama Islam di sini ialah Onoyedika Meshack Ikey. ADUN menerima permohonan bantuan bagi Mohd Ibrahim sejak sebulan lepas dari pihak Imam Masjid Al-Azhar, Masjid KUIS.

Ustaz Nasharuddin dalam tazkirahnya bertolak dari ayat al-Qur`an Surah an-Nahl, 19: 36 bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan dan menyeru mereka) ``Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi pertunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasulnya.

Dalam huraiannya beliau menyebut betapa Nabi Nuh A.S. mendapat tentangan dari umatnya yang liat untuk menerima dakwah dan menuduhnya sebagai tidak rasional apabila membina kapal di tengah padang pasir untuk menyelamatkan diri dan pengikut dari banjir besar.

Situasi seumpama sedemikian juga berlaku di dalam masyarakat moden yang enggan menerima pendekatan dan kebaikan Islam di dalam pentadbiran, politik dan kemasyarakatan. Bukan setakat enggan, tetapi bertindak dan melakukan berbagai sekatan. Tugas kita sebagai pendukung dan pendakwah Islam adalah meneruskan perjuangan keislaman di dalam berbagai bidang, walaupun mendapat tentangan dan sekatan. Ujian yang kita hadapi sebenarnya kecil, berbanding dengan ujian yang diterima oleh para nabi dan rasul.

Dalam huraiannya YB Ustaz Nasharuddin mengingatkan di samping kita patuh dengan perintah Allah, berusaha dan berjihad bagi menegakkan Islam kita dituntut menjauhi dari Taghut. Taghut menurut Ustaz Nasharuddin ialah ``Sesuatu tindakan yang dilakukan melampaui had.

Beliau mencontohi amalan taghut ialah pemerintahan zalim dan dictator sebagaimana berlaku di Tunisia dan Mesir, menyebabkan rakyat bangkit menjatuhkan Ali bin Zainal Abidin di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir.
Amalan taghut juga berlaku di negera kita. Kita mesti berjihad bagi menghapuskan taghut yang berlaku !

ADUN Bangi sebelumnya berucap ringkas berterima kasih di atas kesudian YB Ustaz Nasharuddin hadir ke majlis yang diadakan dan menyampaikan maklumat mengenai kegiatan yang dijalankan di Serdang, khususnya di Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment