January 13, 2011

Meminjamkan Tenaga Dari Bangi Memperkukuhkan Pas Di Labuan

BBB, 02 Safar = 07 Januari (Jumaat):

Majlis melepaskan pemergian saudara Khairul Anuar bin Ismail Timbalan Ketua Pemuda Pas Kawasan Serdang ke Labuan dihadiri ramai pemuda. Saudara Anuar dihantar selama tempoh enam bulan bagi memperkuatkan organisasi Pas di sana. Selepas itu penilaian akan dibuat sama ada misi beliau membantu organisasi di sana akan tercapai atau sebaliknya. Selepas tempoh ini beliau diberi alternative sama ada meneruskan keberadaan di sana atau pulang kembali bagi memperkukuhkan kedudukan di Bangi. Perlu disebut Parlimen Labuan ditandingi oleh PR dari Pas pada pilihanraya umum ke 12 yang lepas. Walaupun dalam pilihanraya itu Pas masih belum menang, tetapi dengan kedudukan undi bersifat campuran, peluang bagi Pas untuk memenangi kerusi Parlimen Labuan di bawah PR adalah cerah. Apa lagi hampir kesemua kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan, terutama Kuala Lumpur dimenangi oleh PR. Penghantaran saudara Anuar adalah bagi meluaskan peluang kemenangan.
Hadir pada malam melepaskan pemergian saudara Anuar bertempat di Dataran Usahawan, Seksyen Satu BBB, selain dari Adun Bangi ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj zon 24, sdr. Mohd. Adram Musa Ahli MPKj Zon 22, Abang, Ungku Faisal. Sdr. Murtaza dan ramai lagi berjumlah 50 orang. Sdr. Anuar bergerak di Serdang selepas penghijrahannya dari Seremban pada bulan Februari 2002. Beliau seorang yang aktif memimpin Unit Amal di Serdang dan banyak kegiatan yang dilakukan. Sebagai meraikannya pada malam ini diadakan BBQ. Ucapan ringkas disampaikan oleh Adun Bangi dan beberapa pimpinan dan sahabat-sahabat yang hadir pada malam itu. Semuanya mengharapkan saudara Anuar menempa kejayaan sebagaimana beliau meletakkan asas kejayaan di Seramban, memperkukuhkan Serdang dan membuka ruang perkembangan di Labuan. Saudara Anuar kini sudah ada dan bergiat di Labuan bermula awal tahun ini. Kita mendoakan kejayaan saudara Anuar bersama-sama dengan aktivis Pas di sana – Insya Allah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment