January 3, 2011

Mangsa Kebakaran & Kembali Ke Sekolah, Kami Memberi Bantuan

Seksyen Satu, BBB, 26 Muharram = 01.01.11 (Sabtu):

Sebagaimana telah dilaporkan sebelum ini, pada pagi Isnin 20 Disember 2010 sebanyak 12 motorsikal yang diparking di ruang tangga bangunan rumah pangsa MPOB, (Malaysian Palm Oil Berhad), Seksyen Satu terbakar, dijangka angkara khianat dan lima tingkat unit-unit ruang tangga ke atas turut terbakar, seorang mengalami kebakaran dan dimasukkan ke Hospital Serdang. Pada malamnya Adun Bangi turut hadir melawat dan berjanji akan mengusahakan bantuan. Adun juga bersama pengiring-pengiring melawat Cik Aishah di Hospital Serdang. Hingga kini beliau masih belum dibenarkan keluar dari Hospital.

Pada petang ini, bertempat di Gelanggang Badminton, Kuarter MPOB berkenaan bermula jam 3.00 petang Adun dengan kerjasama AJK Muslimat dan AJK Pemuda Pas Serdang mengadakan Majlis Sumbangan Mangsa Kebakaran disertai dengan Program Kembali Ke Sekolah dari kalangan anak-anak mangsa dan yang tinggal di sekitaran. Hadir ke Majlis pada petang ini selain dari Adun, ialah Ybhg. Dr. Burhanuddin Abd. Salam Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat MPOB yang mewakili Pengarah MPOB, Ustaz Shafie Ngah, Ahli MPKj Zon 23, En. Sabri Kassim, Penolong Pengarah Kewangan dan Pengurusan MPOB, En. Fadhil Pengurus Kehadiran Mangsa-Mangsa Kebakaran, Pengarah Sambutan En. Amir Othman, Ketua Lajnah Kebajikan Tuan Haji Mohamad Rashidi Lokman, penghuni-penghuni Kuater MPOB, khususnya yang menjadi mangsa kebakaran dan AJK Kebajikan dan kakitangan dari Pejabat Adun Bangi.

Majlis ringkas yang dihadiri lebih kurang 100 orang itu bermula dengan ucapan Ustaz Shafie Ngah yang menyebut bahawa kebakaran adalah di luar jangkaan, bukan sahaja motorsikal di bahagian bawah terbakar, tetapi bahangnya melarat ke atas. Beliau bersyukur tidak berlaku kematian. Dr. Burhanuddin yang berucap selepas itu, berterima kasih dengan majlis yang diadakan yang ditaja oleh pihak Adun. Beliau memaklumkan, selepas kebakaran usaha penempatan kembali penghuni dilakukan dengan menumpang di rumah pangsa Agro Bank di Sungai Merab dan kini mereka dipindahkan ke bangunan di Seksyen 5 Bandar Baru Bangi sementara menunggu kerja-kerja pemulihan dilakukan yang dijangka memerlukan masa berbulan.

Adun Bangi yang berucap selepas itu, bersyukur kepada Allah kerana dapat mengadakan majlis ringkas pada petang ini. Beliau berterima kasih di atas kehadiran mangsa-mangsa kebakaran. Terima kasih juga pada malam Adun melawat berikut dari kebakaran penduduk juga hadir. Beliau berterima kasih kepada pihak bomba dan semua pihak yang memberi pertolongan pada malam kejadian kebakaran berlaku. Menurutnya majlis pada hari ini lebih kepada pernyataan simpati, kerana jika dikira dengan jumlah yang dapat Adun sumbangkan tidak sebanyak mana. Selepas peristiwa ini hubungan Adun dan AJK dengan penduduk di sini menjadi makin rapat dan Adun berharap hubungan seperti ini terus dikekalkan. Sebagai penduduk di bawah Dun Bangi, maka apa-apa masalah yang releven boleh menghubungi Adun atau melalui pejabat Adun atau Ahli MPKj di sini. Kita juga mengharap Cik Aishah yang masih lagi dirawat di Hospital Serdang segera sembuh. Semua pihak yang mengalami kesukaran akibat dari kebakaran diharap kembali pulih dan dapat menjalankan tugas sebagaimana biasa.

Sebagai puncak dari program ialah penyampaian bantuan kepada 20 unit penghuni rumah yang menjadi mangsa kebakaran, oleh Adun bersama Dr. Burhanuddin dan Ustaz Shafie Ngah. Bersama majlis ini juga disampaikan kepada 20 orang murid anak-anak mangsa bantuan `Back to School, termasuk 5 orang dari kawasan Surau Al-Ehsan.

Majlis berakhir dengan jamuan ringan yang disertai semua pihak.

Sekian.

No comments:

Post a Comment