January 7, 2011

Dr. Zulkifli Al-Bakri & Tuan Haji Azmi Abdul Hamid Di Surau Kajang Utama

Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama, 25 Muharram = 31 Disember (Jumaat):


Pada petang Jumaat di atas, Adun berjamaah Maghrib di Surau An-Nur, Kantan Permai, Kajang. Selepas itu bertolak ke Surau Al-Muhajirin di Kajang Utama. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa suku jam, memakan masa hampir sejam kerana sesak di perjalanan. Orang ramai keluar dan kenderaan sesak pada malam tahun baru masihi ini.


Ketibaan Adun disambut Pengerusi surau Tuan Haji Azhar, pada masa itu majlis telah bermula dengan Tuan Haji Azmi menayangkan kepada hadirin tentang Jihad Rakyat Pelastin. Cikgu Azmi dari `Teras Keupayaan Melayu` kini melibatkan diri dengan kempen Pembelaan Rakyat Pelastin yang tertindas akibat kekejaman Israil. Kehadirannya bersama dalam majlis, antaranya meneruskan pembelaan. Antara projeknya bersama dengan NGO yang lain ialah menjayakan projek bagi mendirikan hospital di Ghazzah. Kehadirannya dalam rangka memungut derma yang berkenaan. Pada malam ini antara acaranya ialah penyerahan derma yang dipungut oleh pihak surau kepada Tuan Haji Azmi.


Selepas tayangan, diikuti forum yang bertajuk `Awal Muharram Versus Tahun Baru 2011` yang ahli panelnya ialah Tuan Haji Azmi sendiri dan Ybhg. Dr. Zulkifli Al-Bakri. Adun Bangi diminta merasmikannya. Adun mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan mengucap tahniah di atas kejayaan surau mengadakan forum sesuai dengan kehadiran tahun baru 2011 mengiringi tahun baru Hijriah 1432. Kita bernasib baik kerana berpeluang mendengar buah fikiran dua tokoh terkenal dan diharap dapat dimanfaatkan buah fikiran mereka berdua.Kita perlu bermuhasabah diri dan dengan kehadiran tahun-tahun baru ini perlu menanamkan azam baru dan bercita-cita untuk lebih menambahkan kerja-kerja kebajikan. Allah mengingatkan di dalam Surah al-Asr, bahawa dalam menempuh masa manusia sentiasa dalam kerugian, melainkan orang yang beramal salih. Oleh itu rangkakanlah program, tahunan, bulanan, mingguan, bahkan harian dengan kegiatan-kegiatan yang baik dan bermanfaat.


Tuan Haji Azmi dalam ucapan memperkatakan tentang asal usul takwim Masihi yang antaranya berasal dari taqwim Georgian dan Julian yang menurutnya mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan pada dewa-dewa pada zaman kuno – Yunani. Taqwim Masihi mengalami perubahan dan pembaikan - sebagaimana digunakan pada hari ini. Menurut Tuan Haji Azmi, orang Melayu di Utara mempunyai Kalendar sendiri yang dikenali dengan `Piama`.


Dr. Zulkifli membicarakan sejarah permulaan pemilihan tahun Hijrah yang berlaku pada zaman Khalifah Kedua Islam – Sayyiduna Umar al-Khattab dan significant pilihan yang dilakukan oleh sahabat-sahabat termasuk Sayyiduna Ali k.w. Dr. Zulkifli menekankan Islam amat memberi perhatian terhadap kepentingan masa dan kita tidak terpisah dari masa, sebab itu kita perlu bijak menggunakan masa. Beliau memetik pendapat sufi antaranya mengatakan:


``Manusia adalah anak zaman``, bagi kebaikan manusia mereka hendaklah mewarna zaman dengan kebaikan. Zaman pancaroba boleh menjadikan manusia dalam keadaan pancaroba. Kita sewajarnya pengubah zaman dan bukan pengikut yang hanyut dengan keadaan zaman. Kita tak perlu terikut-ikut dengan budaya yang bercanggah dengan Islam, kerana semata-mata anggapan budaya yang di bawa sesuatu bangsa itu kononnya maju, pada hakikatnya disebaliknya. Beliau menarik perhatian tentang ingatan bahawa akan tiba masanya kamu mengikut budaya yang dibawa oleh pihak tertentu kerana terpesona dengannya, walaupun pada hakikatnya ia menyeret kamu ke lubang yang menjatuhkan. Jangan memulakan tahun baru dengan perbuatan maksiat, sebaliknya tanamkan ke dalam diri azam melakukan kebaikan sebaik yang dapat.


Sebelum majlis berakhir, penyampaian bantuan kepada faqir-miskin dan program `Back to school` disampaiakn oleh Adun Bangi.


Sekian.

No comments:

Post a Comment