December 8, 2010

Imam Supaat Tokoh Maal Hijrah Peringkat DUN Bangi. Y.B. Teo Nie Ching Dijemput Berucap Sempena Maal Hijrah

Sungai Ramal Luar, 01 Muharram 1432 = 07 Disember 2010 (Selasa):

Imam Supaat bin Abdul Rahman (73), Imam I, Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi di sini dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Dun Bangi. Beliau merupakan lulusan pengajian di Madinah dan Universiti Al-Azhar terus menabur bakti menyebar keilmuan Islam. Beliau pernah mengajar di Institut Pendidikan Islam Bangi, KUIS dan Sekolah-sekolah Jais. Kini di samping menjadi Imam giat mengajar di masjid-surau. Sambutan Maal Hijrah peringkat Dun Bangi dianjur oleh Pejabat Dun Bangi dengan kerjasama Masjid Jami` Haji Mat Saman di sini. Majlis dihadiri antaranya Y.B. Sdri. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Encik Yusof Bachik Ahli MPKj, Sdr. Adram Musa Ahli MPKj, Tuan Haji Yusof Abdul Kadir Ketua Kampung Sungai Ramal Luar yang juga selaku Penasihat Sambutan, Encik Shukor Jantan, Ketua Kampung Teras Jernang, Saudara Azmi Ahmad Pengarah Sambutan, Ustaz Kamal Ashari Pencermah Jemputan, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Tuan Haji Hanafi Ismail Nazir Masjid Jami` Kajang, Dr. Marzuki Pengasas Rumah Prihatin Sungai Ramal Luar, Dr. Ahmad Zainuddin Imam Masjid Haji Mat Saman. Ahli-ahli jawatankuasa, ibu bapa dan pelajar-pelajar yang diraikan.

~Imam Supaat, diwakili isteri Hajah Masijah Abd Kadir~


Dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah ini juga Y.B.Teo Nie Ching buat pertama kali, sebagaimana pengakuannya dijemput menghadiri Majlis Maal Hijrah, lebih mengejutkannya, beliau diminta berucap di dalam majlis yang begitu permai. Menurutnya, ``Saya bukan bertazkirah, dengan menghadiri majlis seperti ini dan diberi peluang berucap sangat bermakna bagi saya memahami makna Hijrah.`` Menurutnya lagi, ``Dengan memahami antara agama, memupuk kesefahaman dan mengelak dari perasangka.``. Beliau berterima kasih kepada AJK menjemput beliau hadir ke Sambutan Maal Hirah.


Tuan Haji Mohd Yusof Abdul Kadir selaku Penasihat dan Ketua Kampong Sungai Ramal Luar bersyukur di atas kejayaan sambutan Maal Hijrah yang julung kali diadakan di sini selepas bangunan baru masjid digunakan. Beliau menggalurkan tentang projek masjid sehingga berjaya didirikan sebagaimana disaksikan oleh para hadirin. Beliau juga menyebut tentang aktiviti yang sedang disusun dan akan dijalankan, khusus mulai awal Hijrah yang sedang disambut. Beliau juga memaklumkan tentang projek incinerator kecil yang diwujudkan di masjid bagi melupuskan warkah Qur`an yang lusuh dan bahan-bahan dokumen yang lain. Incinerator ini juga boleh dimanfaatkan oleh masjid-surau yang lain. Insinerator ini boleh disaksikan oleh para hadirin pada hari ini.


Sementara itu, buat pertama kali Pejabat Adun pada tahun ini menyediakan peruntukan bagi Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah-Sekolah Rendah Agama seluruh Dun Bangi yang mencapai peringkat Mumtaz. Seramai 40 orang yang mencapai markah keseluruhan melebihi 95% diberi Anugerah Kecemerlangan. Anugerah yang diberi diharap memberi semangat kepada pelajar-pelajar untuk meningkatkan prestasi dan kemajuan mereka di dalam pelajaran.

Sementara itu Adun Bangi dalam ucapan perasmian memaklumkan bahawa Sambutan Maal Hijrah adalah merupakan Sambutan Tahunan. Pada tahun 1432 ini Masjid Jami` Mat Saman dipilih sebagai lokasi sambutan sempena Masjid ini baru dibuka mulai Hari Raya Idul Fitri yang baru lalu, di samping memperkenal dan mempopularkan Masjid Berkembar (Lama & Baru) yang unik yang popular pula dengan panggilan `Masjid Qiblatayn` - kerana adjustment Kiblat yang dilakukan terhadap bangunan Masji Lama di sini. Adun menekankan Sambutan Maal Hijrah bukan setakat mengenang terhadap peristiwa, tetapi hendaklah menjadi contoh tauladan di dalam kehidupan individu dan berjamaah. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dari Makkah ke Madinah membuka ruang bagi perkembangan agama Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam dan mendirikan sebuah Kerajaan Islam terawal di Madinah. Dari Madinah Islam berkembang luas ke seluruh dunia. Hijrah boleh dijadikan contoh bagi pelajar yang seharusnya memasang niat dan azam memperbaiki diri dengan ilmu pengetahuan dan dapat berhijrah dari kejahilan kepada keilmuan, dari kedaifan kepada kesenangan dan bagi jamaah dapat memperkukuhkan ukhuwwah dan menegkkan keunggulan Islam secara jamaah di tengah masyarakat dan mendapat keredaan dan darajah ketinggian di sisi Allah.

Adun bercakap dan lebih mengulas terhadap firman Allah yang dibaca sebagai pembukaan ucapannya. Ayat berkenaan bermaksud:

``Mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa raga mereka, mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan merekalah orang-orang yang benar-benar berjaya (At-Taubah: 20), juga berpandukan kepada Hadith tentang Hijrah yang diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ``Sesungguh segala amalan bergantung kepada niat (termasuk lanjutannya dari segi Hijrah) – Hadith Bukhari.

Adun mengucap terima kasih kepada AJK dari Masjid Haji Mat Saman dan Pejabat Adun yang bertungkus lumus bekerja bagi menjayakan sambutan yang diadakan pada hari ini. Majlis pada hari ini juga diserikan dengan beberapa nasyid dari kumpulan Rumah Prihatin, Sungai Ramal Luar yang pengasasnya Dr Ahmad Zainuddin turut hadir.


Penceramah Jemputan Ustaz Kamal Ashari dalam ucapannya memuji AJK menjemput yang bukan Islam hadir di dalam Majlis Sambutan. Ini termasuk Y.B. Teo Nie Ching dan beberapa orang pengiringnya yang bukan Islam. Ini merupakan usaha memberi kefahaman kepada mereka tentang Islam. Apa yang disebut Adun, walaupun secara bergurau, bila menyebut tentang Anugerah Tokoh Maal Hijrah, bahawa Y.B. Teo Nie Ching juga boleh diberi pengiktirafan Tokoh Maal Hijrah, jika mendapat Hidayah – insya Allah`` sebenarnya merupakan dakwah. Menurutnya, Islam adalah untuk semua dan rahmatnya untuk semua. Allah menciptakan manusia lelaki, perempuan, berkaum berbangsa untuk berkenalan dan berbaik-mesra. Tetapi yang terlebih mulia ialah yang bertakwa. Marilah kita berusaha membentuk masyarakat harmoni yang dipuncaki taqwa. Ustaz Kamal menyebut tentang ujian yang dihadapi rasul-rasul ulul Azmi didalam berdakwah – termasuklah Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau menekankan mesej utama dalam hijrah ialah menegakkan kalimah tauhid yang menjadi asas bagi dakwah Islam. Penghijrahan minda yang bersifat akidah amat penting. Antara usaha bagi menegakkan kalimah tauhid ialah melalui dakwah keilmuan yang seharusnya menjadi agenda dakwah yang berterusan. Dalam ucapannya beliau membawa contoh perjuangan sahabat-sahabat yang berhubung dengan hijrah seperti Suhayb al-Rumi, Zainab Puteri Rasulullah dan sebagainya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment