October 8, 2010

Pelancaran Dana Surau Al-Amin

Taman Cheras Prima, Balakong, 24 Syawal (Ahad):


Taman Cheras Prima, Balakong – Berhampiran Taman Sutera, mempunyai 200 buah rumah dengan penghuni lebih kurang 1,000 orang. Sejak Taman ini dihuni lebihkurang 5 tahun lepas penduduk berusaha mewujudkan surau dengan menyewa satu unit rumah dijadikan Surau Sementara. Oleh kerana ruangnya sempit dan tidak dapat menampung jumlah jamaah yang ramai, khususnya pada bulan Ramdhan, sebagaimana dialami baru-baru ini dan tahun-tahun sebelumnya, maka usaha untuk mendapat surau yang tetap telah dilakukan sejak beberapa tahun yang lepas (2007). Setakat ini dipastikan bahawa:


1) Tapak memang sedia ada diperuntukkan oleh Pemaju lebih kurang tiga ekar

2) Telah mendapat kelulusan JAIS bagi mendirikan surau

3) Pelan bangunan sedang disiapkan

4) Perlu mendapat kelulusan dari MPKj

5) Telah melancarkan derma pada peringkat pertama.


Surau Al-A,min yang akan didirikan dijangka memerlukan peruntukan sebanyak RM400,000, tetapi setakat ini dana yang dapat dihimpunkan hanya sebanyak RM30,000 sahaja. Atas inisiatif AJK maka pada pagi ini diadakan Majlis Menghimpun Dana Surau Al-Amin (Bagi kali Kedua) bertempat di tapak surau Al-Amin yang kedudukannya amat strategic. Hadir pada Majlis Pelancaran Derma pada hari ini ialah Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Y. B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Haji Mazwan Johar Ahli MPKj, Datuk Nor Hisham Ahli MPKj, Tuan Haji Azman Idris Nazir Masjid Manba`il Ulum, Cheras Jaya, Datuk Adnan Said Pengerusi Persatuan Penduduk, Tuan Haji Zainuddin Hussain Guru Besar Sekolah Kafa dan penduduk setempat. Dato` Adnan Said telah berucap melakarkan hasrat menghimpun dana dan berharap ianya dapat dihimpun dalam masa terdekat. Pelan bangunan juga dalam proses penyediaan.


Berucap sebelum melancarkan derma bagi Dana Surau Al-Amin, Adun Bangi mengucapkan terima kasih dan syabas, terhadap AJK Surau yang berusaha untuk mendirikan sebuah surau di Taman Cheras Prima. Menurut Adun Bangi itu,

``Adalah menjadi hasrat kita untuk mendirikan masjid-surau di mana diperlukan. Kita sedia memberi sokongan, lebih-lebih lagi jika tapak sudah disediakan.``

Adun Bangi berpendapat, ``Dalam keadaan sekarang, jumlah peruntukan sebanyak RM400,000 adalah kecil. AJK perlu memikirkan bagi meningkat usaha mendirikan surau yang agak selesa – mungkin peruntukan wajar antara RM700 ribu hingga ke satu juta.`` katanya.


Pihak AJK perlu memikirkan bagi menghasilkan jumlah tersebut. Kita berharap surau ini dapat digunakan pada bulan Ramadhan akan datang - insya Allah.

Maka dengan lafaz Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim saya lancarkan kutipan derma bagi dana Surau Al-Amin, Cheras Prima dan mendoakan kejayaan dari Allah.

Tabung derma diedarkan. Turut menderma pada pagi itu Y.B. Teo Nie Ching.


Wallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment