October 9, 2010

Mengejar Syawal Yang Makin Menirus

BBB, 29 Syawal = 08 September (Jumaat):


Hari ini adalah hari terakhir Syawal 1431. Puncak dari budaya menyambut Syawal sebulan adalah pada hari Sabtu-Ahad 23 – 24 Syawal = 2-3 Oktober – hujung minggu yang padat dengan jemputan-jemputan berhariraya yang setengahnya disertai dengan Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji, terutama majlis-majlis yang diadakan di masjid atau surau.

Hujung minggu di atas masih tidak cukup memberi ruang, bahkan banyak berlaku pertembungan program, sebab itu selepas hujung minggu – mulai Isnin 4 Oktober hingga Jumaat 8 Oktober – Terakhir Syawal hari ini Adun Bangi masih menerima jemputan raya tak kurang dari 6 jemputan, manakala setiap hari dari Isnin ke Jumaat juga menerima beberapa jemputan raya setiap hari. Antara jemputan yang belum ditimbulkan:

1) Pada Isnin 4 Oktober Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi mengadakan Sambutan Raya bertempat di tanah lapang di tepi gerai Seksyen 16. Adun Bangi, Tuan Pegawai Daerah Tuan Haji Zainal Abidin A`la dan Encik Zubir Ketua Balai Polis Bandar Baru Bangi turut hadir. Adun Bangi dan Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi Persatuan Penduduk BBB bercakap tentang kebersihan yang perlu diberi perhatian terutama oleh peniaga-peniaga pasar malam.


2) Pada 5 Oktober mulai Maghrib Adun Bangi berada di Surau Al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn. Sambutan Raya diadakan selepas solat Isyak di pekarangan Surau. Turut hadir Y.B. Teo Nie Ching. Kami bercakap tentang kerjasarma penduduk yang mengharmonikan kehidupan. Menu utama yang menjadi hidangan ialah sate Kajang yang dibakar di pekarangan.


3) 6 Oktober – rai bakal-bakal haji dan raya di dua tempat sudah disebutkan sebelum ini.



4) Menghadiri Rumah Terbuka Grand Saga di KM 16 Cheras, 7 Oktober pada jam 3.00 petang. Kemudian menghadiri rumah terbuka PKNS di Tingkat 3 Bandar Baru Bangi. Berkesempatan bersama Encik Othman Omar Pengurus Besar PKNS, Puan Zubaidah Kontroller PKNS Bangi dan Dr. Tajul Ariffin Noordin. Kami bercakap perlunya didirikan sebuah Pusat Konvensyen Bandar Baru Bangi sebagai pusat kegiatan dan `Landmark` Bandar Baru Bangi.



5) Petang 8 Oktober Jam 3.00 petang bertolak ke MPKj Kajang menyertai sambutan Hariraya MPKj. Bertemu dengan YDP MPKj sekadar mengucapkan selamat Hariraya. Kemudian berhariraya di Maybank – Islamic. Pulang dan kemudian menghadiri Hariraya di Surau Seri Mewah di Kajang Utama.Solat Maghrib di sini. Kemudian bertolak ke Surau Cheras Perdana meraikan bakal-bakal haji, bersembahyang Isyak dan Hajat – memohon diri.



Dari Cheras Perdana bertolak ke bangunan Dato` Nazir di Pekan Kajang, Persatuan Permuafakatan Ketua-Ketua Kampong Hulu Langat (61 orang) mengadakan Majlis Sambutan Hariraya. Hadir sama Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Y.B. Lee Kim Sin Adun Kajang, Tuan Haji Zainal Abidin A`la Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat, Puan Norfaezah Ketua Penolong Pegawai Daerah dan En. Zulkifli Penolong Pegawai Daerah Bahagian Tanah. Turut hadir isteri-isteri ketua-ketua kampung. Majlis dirasmikan oleh Tuan Pegawai Daerah.

Penutup perayaan pada hari ini ialah menghadiri sambutan hariraya di Surau al-Muhajirin, Taman Melor, Bangi. Turut sama Y.B. Teo dan pengiring-pengiringnya. Tiba jam 10.30 malam para hadirin sudah pulang. Yang masih menunggu hanya AJK. Bercakap tentang mendirikan `Masjid Terapung` di sini. Usaha sedang giat dijalankan ke arah merealisasikan hasrat ini.


Demikianlah berakhirnya Syawal yang sarat dengan kemeriahan dan kesyukuran yang menjadi sebahagian dari budaya umat dan masyarakat di Malaysia.


Syawal pergi mengiringi Ramadhan * Membawa pergi berbagai kenangan

Panjangkah umur ke tahun hadapan * Kembali kita merindui kehadiran


Sekian.

No comments:

Post a Comment