October 2, 2010

Memahami Model Baru Ekonomi Negara

Shah Alam, 21 Syawal = 30 September (Khamis):

Berbagai pendekatan ekonomi dilakukan Kerajaan Persekutuan dari RMK (sejak zaman Tun Razak) yang kini ke X, Koridor Selatan, Utara dan Timur (Zaman Tun Abdullah Badawi) dan kini Zaman Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Model Baru Ekonomi (MBE). Yang kita ketahui Ekonomi Negara makin parah. Misalnya Foreign Direct Investment menjunam dari 2008 berjumlah RM23.47 bilion menurun pada 2010 kepada RM4.43 bilion, iaitu penurunan sebanyak 81%. Malaysia jauh ketinggalan di belakang Philippines, Vietnam, Thailand dan Singapura (Star, Aug,, 2, 2010: 2).

Dengan keparahan ekonomi sedemikian kita memang ingin mengetahui apakah pendekatan yang dinamakan dengan Model Baru Ekonomi itu. Atas kepentingan negeri yang bersifat terbuka dan bagi kefahaman Exco, Pentadbir Negeri dan Pegawai-pegawai, maka pihak Majlis Penasihat Ekonmi Negara (MPEN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri memberi taklimat kepada Exco, Adun-Adun dan pegawai-pegawai negeri pada 30 September 2010 (Khamis) bertempat di Tingkat 2, Dewan Annex, Bangunan SAAS, Negeri Selangor. Pegawai yang dihantar memberi Taklimat ialah Profesor Dr. Normah bt. Mansor Setiausaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara – Dekan Fakulti Ekonomi UM yang dipinjamkan kepada Majlis Penasihat Ekonomi Negara.


Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, ``Model Ekonomi Baru Kerajaan bertujuan untuk mereformasi ekonomi Negara bagi dinikmati rakyat. Sebarang usaha yang baik perlu disokong berdasarkan faktor dan fakta yang tepat.`` Tambah Menteri Besar,

``Daripada 141 buah Negara yang dianalisis dari segi ekonomi – Malaysia berada di antara 68 – 77. Kita merosot dari segi pelaburan asing. Ekonomi Negara kita berada di dalam keadaan yang lembab,`` katanya. ``Sebab itu Negara perlu pertingkat prestasi ekonomi dengan berbagai-bagai rangsangan agar lebih bersifat kompetatif.``


Dari segi `Micro` menurut Menteri Besar, usaha perlu dilakukan bagi mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Gaji minimum juga perlu dipertimbangkan berasaskan produktiviti. Menteri Besar menekankan, musuh ekonomi dan masyarakat, ialah rasuah, perlu dibasmi ke akar umbi. Dari kajian menunjukkan 2% dari peruntukan adalah bocor diakibatkan oleh rasuah. Pembangunan haruslah bersifat menyeluruh dan holistic.


Dalam konteks Selangor yang mempunyai 5.5 penduduk adalah negeri yang paling tinggi menerima pelaburan asing sejak 2008. Selangor memberi sumbangan 20% kepada pendapatan Negara kasar. Sebab itu Selangor perlu diajak berunding. Sebarang kemerosotan ekonomi, kata Menteri Besar, memberi kesan kepada pendapatan ekonomi Negara.


Greater Kuala Lumpur melibatkan ekonomi di Lembah Klang yang memberi kesan kepada ekonomi Selangor. Kita sukacita pembangunan Sungai Klang dimasukkan ke dalam pembangunan Greater Kuala Lumpur. Dalam konteks pembangunan negeri Selangor kata Menteri Besar,

``Kita bercadang membina semula Bandar-bandar seperti Petaling Jaya, Kajang, Ampang dan lain-lain. Kita berharap Model Baru Ekonomi mengambil kira perancangan pembangunan negeri Selangor yang menjadi nadi perkembangan ekonomi Negara dan kata Menteri Besar, ``Kita bersedia mendengar ulasan dari Profesor Dr. Normah, bahkan bersedia duduk berbincang bagi perkara-perkara lain yang melibatkan ekonomi negeri ini dan Negara pada keseluruhannya.``


Profesor Normah mengibaratkan Model Ekonomi Baru sebagai penggunaan infrastruktur yang telah disediakan, katanya ,``Jika Idris Jala Perangka Ekonomi Negara menyediakan lebuhraya, maka beliau dan pasukannya dalam Model Ekonomi Baru adalah pengguna lebuhraya tersebut, dengan melihat kekurangan, kerosakan dan kepincangan lebuhraya berkenaan, maka dibaiki dan dapat digunakan dengan baik dan selamat.``


Walau bagaimana ekonomi Negara menerima kesan dari perkembangan ekonomi luar, misalnya resesi dunia, khususnya Amerika dua tahun lepas, walaupun sedang pulih, tetapi berlaku dengan kadar amat perlahan (The Economist, September, 18-24, 2010: 13), manakala Malaysia terpinggir dari kebangkitan ekonomi Cina – India dan Jepun hingga terlempar di belakang Vietnam dan Phlippine.


Pelaburan asing juga turut merosot dengan agak teruk sebagaimana disebut di atas, manakala pelabur dalaman dari pihak swasta jika sebelumnya 30% turun kepada 10%. Export Negara juga turut terjejas. Penggunaan tenaga luar, walaupun memberi sumbangan kepada pembangunan, tetapi kesan pembawaan keluar pendapatan mereka ke Negara asal mereka melemahkan ekonomi Negara. Kehadiran pekerjaan asing meletakkan kedudukan pekerja tempatan sebagai tidak cekap dan amat bergantung pada tenaga luar. Kehadiran mereka juga membawa kepada masalah sosial. Jenayah makin meningkat.


Ini menyebabkan kualiti hidup menurun. Disamping gejala sosial ialah gejala rasuah yang perlu dibasmikan bagi menarik keyakinan pelabur dan jaminan ketelusan.


Profesor Normah seterusnya bercakap tentang perlunya:

  • Jaminan sosial dan golongan miskin tidak dipinggirkan
  • Pembangunan peringkat wilayah dan sub wilayah
  • Menghidup dan menggalakkan perniagaan pada peringkat mikro
  • Menjaga alam sekitar bagi menjamin keselesaan
  • Menggalakkan pertumbuhan social protection
  • Otonomi tempatan
  • Menumbuhkan aktiviti ekonomi tempatan secara berkelompok `cluster`
  • Memberi peluang yang baik kepada golongan professional untuk mengelak mereka dari berhijrah ke luar Negara.
  • Pertumbuhan industri luar Bandar dengan menggunakan bahan tempatan
  • Memperbaiki sistem pendidikan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment