September 7, 2010

Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar UKM Pulang Ke Rahmatullah

Bandar Baru Bangi, 28 Ramadhan = 7 September (Selasa):


Jam 5.00 pagi Dato` Haji Mohd Mustafa bin Mokhtar (57) mengadu sakit dada, pihak ambulans dipanggil dan beliau dikejarkan ke Hospital Serdang, tetapi dengan kehendak Allah beliau berpulang kepadaNya dalam perjalanan ke Hospital tersebut Jenazahnya di bawa pulang dari Hospital ke rumahnya di Seksyen Dua BBB jam 10.00 pagi ini, kemudian dibawa ke Surau Damai berdekatan dengan rumah al-Marhum dan disolat jenazah diimami Ustaz Hashim sahabat al-Marhum dengan makmum memenuhi surau pada jam 12.00 tengahari hari ini. Seterusnya jenazah beliau dikebumikan di Perkuburan Lama Sungai Tangkas tengahari ini.

Sebelum itu orang ramai menziarah jenazah al-Marhum memenuhi surau, bahkan melempah ke luar. Mereka kebanyakan adalah dari pegawai-pegawai dan kakitangan UKM dan penduduk setempat. Antara yang hadir Tan Sri Prof Dr.Mohd. Salleh Yassin Bekas Naib Canselor UKM yang kini Naib Canselor Universiti United Nation, Prof. Dr. Mohd Nor Embi, Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat yang merupakan jiran al-Marhum, ADNS Bangi dan ramai lagi.

Secara kebetulan pada hari ini ketiadaan air, oleh kerana Sungai Semenyih dicemari ammonia dan terpaksa ditutup bekalan air. Pihak Syabas dihubungi dan diminta jasa baik menghantar lori bekalan air untuk mandi jenazah dan wudhu` mereka yang hadir untuk bersembahyang jenazah. Terima kasih kepada Syabas yang dapat mengatasi masalah.

Adalah difahamkan malam tadi al-Marhum Mohd Mustafa masih biasa menunaikan solat Isya` dan Tarawih di Surau Damai. Walau bagaimana beliau mempunyai sejarah sakit jantung dan pernah menjalani pembedahan `by pass`. Beliau dijangka berpencen pada bulan November hampir dan kini mengambil cuti sebelum berpencen. Al-Marhum adalah bekas pelajar UKM generasi ketujuh dan memasuki jawatan pegawai pentadbir sebaik menghabisi pengajian di UKM.

Semoga Allah mencucuri Roh al-Marhum Haji Mohd Mustafa. Al-Fatihah.

1 comment: