August 22, 2010

Merasmikan Cawangan Pasti Al-Faizin Dan Menyampaikan Sumbangan

Bandar Sei Putra, 12 Ramadhan = 22 Ogos (Ahad):


Selepas 5 tahun Bandar Seri Putra dihuni dan pertambahan penduduk amat menggalakkan, pada masa itu kita menggalakkan Cawangan Pas di Seri Putera membuka Pasti di sana. Atas inisiatif Tuan Haji Ahmad Yusof yang pada masa itu menjadi Setiausaha Pas Serdang, maka beliau dengan AJK termasuk isterinya Puan Faridah dapat mewujudkan Pasti Pertama di Bandar Seri Putra pada tahun 2006. ADNS Bangi telah merasmikan Pasti Al-Fa`izin berkenaan.


Pada hari ini ADNS Bangi dijemput pula merasmikan pembukaan Pasti Al-Faizin Kedua sebagai cawangan Pasti Al-Faizin Pertama. Pasti Al-Faizin Kedua ini beralamat di:

PASTI AL-FAIZIN 2,
No. 28, Jalan Seri Putra 3/6.
Bandar Seri Putra,
43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan.


Apa yang membanggakan, jika Pasti Al-Faizin Induk (Pertama) masih menyewa bangunan hingga kini, tetapi bangunan Pasti Al-Faizin Kedua ini adalah dibeli oleh pihak Pasti Al-Faizin sendiri dengan harga RM400,000 (RM Empat ratus ribu), iaitu sebuah bangunan dua tingkat di bahagian tepi dan mempunyai ruang tanah yang agak luas yang amat sesuai untuk Pasti. Pasti Al-Faizin Dua ini mulai beroperasi sejak Disember 2009.


Kedua buah Pasti Al-Faizin ditadbir oleh AJK:

Penasihat: Tuan Haji Ahmad Yusof
Pengerusi: Encik Azli bin Ariffin
Penyelia : Puan Faridah


Setakat ini Pasti Al-Faizin Dua mempunyai murid seramai 55 orang dengan 3 orang guru,
Manakala Pasti Induk mempunyai 100 orang murid dengan 5 orang guru.

Pada hari pembukaan ini turut hadir Saudara Fadli Daud Setiausaha Pas Serdang, Saudara Halimi Ketua Cawangan Pas Bandar Seri Putera, Ustaz Saifullah Pensyarah KUIS dan ahli-ahli Pas Cawangan Seri Putera.


Sempena merasmikan Pasti Al-Faizin ADNS Bangi mengucap tahniah di atas kejayaan pentadbir membuka cawangan Pasti Al-Faizin 2. Beliau tumpang bergembira dan bersyukur ke hadrat Allah kerana pihak AJK Tadbir berjaya membeli bangunan yang strategic sebagai bangunan Pasti Al-Faizin Kedua. Kejayaan yang dicapai adalah dari dedikasi dan usaha keras AJK dapat memajukan Pasti dan mempunyai bangunan sendiri. Beliau berharap Kedua-dua Pasti terus menunjukkan kemajuan dan membentuk murid Pasti yang berkualiti sehingga dipercayai oleh ibu bapa dan mendorong mereka untuk terus menghantarkan anak-anak mereka ke Pasti Al-Faizin. Beliau mau Pasti Al-Faizin maju di dalam bidang akademik dan juga ko-kurikulum dan dapat mewakili Pasti ke pertandingan-pertandingan pada peringkat kawasan, negeri dan Pusat seperti kejayaan Pasti Ar-Rawdah, Seksyen 5 BBB yang menjadi Johan Bola Sepak pada peringkat Pusat (Kebangsaan) 2010. Beliau berharap murid-murid Pasti Al-Faizin menjadi murid-murid terkehadapan dan mempunyai peribadi yang tinggi bila mereka keluar menyambung pengajian pada peringkat Sekolah rendah. Majlis yang dibuka dengan doa oleh Ustaz Saifullah itu dirasmikan Pasti Al-Faizin 2 oleh ADNS Bangi dengan lafaz Bimillahir-Rahmanir-Rahim dan menandatangani plug perasmian. Sebelumnya En. Azli Ariffin selaku Pengerusi Pasti telah berucap mengalu-ngalukan dan berterima kasih di atas kesudian ADNS Bangi yang juga selaku YDP Pas Serdang hadir bagi merasmikan Pasti Al-Faizin Dua. Beliau menggalurkan Perkembangan Pasti Al-Faizin, jumlah guru dan murid.

Sementara itu pada bahagian kedua iaitu penyampaian sumbangan kepada Warga Mas, Ibu Tunggal dan Anak-Anak Istimewa, majlis dimaklumkan sejumlah peruntukan sebanyak RM3,300 dikeluarkan bagi penyampaian sumbangan. Penerima sumbangan berjumlah 33 orang (15 ibu tunggal, 8 Anak Yatim, 5 kurang upaya dan 5 miskin) selain menerima wang tunai mereka juga menerima sumbangan beras, kuihraya, buah tamar dan barangan. Hadiah-hadiah ini disumbang oleh berbagai pihak seperti Pas Kawasan Serdang, Pas Cawangan Seri Putera, Pasti Al-Faizin, Motion Pot, Memory Fun, Awan Hijau, Kedai Kek Salsabila, dari Fidyah dan orang-orang perseorangan. Sebelumnya Ustaz Saifullah dari Kuis menyampaikan tazkirah berhubung dengan sadaqah kepada majlis yang dihadiri penerima-penerima bantuan, AJK, Guru-guru, ibu bapa dan ahli-ahli Pas yang datang menyertai Majlis Perasmian dan Penyampaian Sumbangan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment