July 30, 2010

Pendemokrasian Dalam Islam - Oleh Yusuf Al-Qardhawi

Kediaman MB, Shah Alam, 10 Sya'ban = 22 Julai (Khamis):


Entah kali keberapa kuliah bulanan di kediaman Menteri Besar yang diadakan petang hari Khamis (malam Jumaat) aku tidak tahu, tapi inilah kali kedua yang aku ada masa menghadirinya. Siapa pun yang mengajar dia mesti menyambung pengajaran yang telah dilakukan oleh guru sebelumnya. Teks adalah satu, iaitu Fiqhud-Daulah fi al-Islam oleh al-Allamah Syeikh Yusuf al-Qardhawi ulama semasa yang amat terkenal itu. Buku mengenai Politik Pentadbiran Di Dalam Islam. Tetapi tafsiran berpelbagaian bergantung kepada guru. Masa aku hadir kali pertama dulu yang mengajar – Mentafsir ialah Prof. Madya Ustaz Ruslan Muhammad dari Universiti Malaya. Kali ini yang mengajar ialah Ustaz Dr. Azhar Yaakob dari Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Bezanya kali ini berganda ramainya yang datang berbanding kali pertama aku datang dahulu. Jumlah mencecah 250 orang. Ada ketua-ketua kg. dan ahli JKK datang sejauh Tanjung Karang dan Kuala Langat.

Kali ini topik dari buku yang aku beri rumusan sebagai – Pendemokrasian Di Dalam Islam. Sebenarnya masa mengikuti kuliah tiap orang dibekalkan dengan teks berkenaan, macam baca Yasin dan tahlil semua orang diedar dan diberi satu naskhah untuk dibaca. Sesudah dibaca dipulangkan. Banyaknya teks Fiqhud- Daulah, hampir setiap orang mendapati teks untuk diikuti, ia diedarkan kepada hadirin selepas wirid dan doa sembahyang Maghrib. Ada seorang jamaah mendekati Menteri Besar (selepas pengajaran) memohon memiliki sebuah teks yang diikuti.

Kata Menteri Besar, ``Ok, boleh, ambil, ambillah.``

Barangkali yang datang dari jauh. Mungkin untuk buat kenang-kenangan. Bukan mudah dapat bersama Menteri Besar, berpeluang bersembahyang sama sesaf, macam di surau di kampong sama berpakaian baju Melayu dan berkain pelikat yang sudah agak lusuh dan dapat bersalam selepas wirid dan doa. Kedua-dua kali aku datang YAB Menteri Besar Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim hadir – aku tak tahu pada kali yang lain. Suasana mencerminkan sifat demokrasi, ketua negeri bersama bersila bersama rakyat, bagai tidak ada beza. Mana biasa sebuah kediaman Menteri Besar dapat dinikmati duduk di dalamnya rakyat jelata. Sekurang-kurangnya rumah bagai istana, bukan saja dapat didatangi, tetapi dapat dinikmati bersama, walaupun di dalam tempoh masa yang terhad.


Teks yang dibaca dan dihurai oleh Dr. Azhar tentang pendemokrasian di dalam Islam. Bahawa pada harta kekayaan yang dimiliki individu, ada bahagian daripadanya menjadi hak bagi rakyat miskin. Pemilikan harta kekayaan oleh orang kaya, tidak didapati kekayaan secara berseorang. Misalnya kalau dia seorang kontrektor, dia bergantung kepada tenaga pekerja boroh dan banyak lagi konteknya dengan manusia dari berurusan seperti pentadbir, perkeranian dan membawa kepada jaga. Mungkin dari segi bayaran dibuat lebih rendah dan tidak sepadan dengan tenaga yang diberi oleh pekerja-pekerja kepada majikan. Di samping itu banyak lagi kemudahan yang didapati, misalnya dari segi keselasaan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan dan keamanan yang dinikmati dari wujudnya polis dan tentera yang dinikmati dari pemerintah yang sebenarnya tidak dibayar nilainya. Sebab itu orang kaya ini sebenarnya perlu membayar hak-hak rakyat, kuli, boroh dan kemudahan dari pemerintah yang dinikmati. Hak yang kena dibayar ini ada atas nama zakat, cukai, lesen, hasil tanah dan sebagainya. Ini adalah kewajipan orang kaya yang harus dibayar secara tidak langsung yang merupakan hak bagi rakyat, apabila hasil bayaran itu digunakan untuk kemudahan rakyat seperti jalanraya, khidmat kesihatan, air percuma dan sebagainya. Ayat al_Qur`an menegaskan:

Bermaksud:

Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sadaqah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk; dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Amat Mendengar, lagi Amat Mengetahui. (Al-Taubah: 103).

Ayat di atas menegaskan sifat pendemokrasian di dalam Islam. Dari satu sudut lagi mencerminkan sifat kebajikan di dalam Islam. Ustaz Dr. Azhar menyebut bahawa tidak sempurna iman seseorang, walaupun dia menunaikan kewajipan fardu seperti sembahyang, puasa dan Haji jika jiran dan dalam kelompok masyarakatnya ada anak yatim dan fakir miskin tidak diambil perhatian dan dibiarkan mereka di dalam kesusahan dan penderitaan. Mereka ini patut dibela oleh pemerintah dan orang-orang yang berada. Firman Allah bermaksud:

Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajatinya dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati, ``Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu, semata-mata kerana Allah; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih.`` (Al-Insan: 8-9).

Tentang anak yatim Al-Qur`an mengingatkan, jika ada harta peninggalan bagi anak yatim, maka hendaklah dijaga sebaik mungkin bagi manfaatnya. Firman Allah bermaksud:

Janganlah kamu mendekati (menggunakan) harta anak yatim melainkan dengan cara terbaik bagi manfaatnya sehingga dia mampu mentadbir hartanya sendiri (Al-An`am: 152).
Ustaz Dr. Azhar menambah, kita hendaklah mengasihi dan rahmat terhadap anak yatim. Mereka kehilangan kasih sayang yang sepatutnya didapati dari ibu bapa mereka yang telah meninggal. Beliau menyebut maksud Hadith:

Jika kita bersua dengan anak yatim kita hendaklah melahirkan rasa rahmat dan kasih sayang, seseorang yang mengusap rambut kepala anak yatim nescaya Allah memberi pahala kepadanya sebilangan rambut anak yatim tersebut.

Pengajaran yang didapati pihak pemerintah dan juga mereka yang berada tidak boleh mengabaikan faqir miskin, orang susah dan anak-anak yatim. Mereka hendaklah dibela dengan menyediakan skim bantuan, perumahan yang mampu mereka miliki dan pekerjaan yang boleh mereka dapati bagi menampung kehidupan mereka. Bagi anak yatim pula mereka hendaklah dijaga dan dibela dari segi persediaan tempat tinggal, makan minum, pelajaran dan kebajikan. Mereka hakikatnya sebahagian dari masyarakat yang menyempurnakan masyarakat berkenaan sekiranya mereka disempurnakan.


Demikianlah dua aspek penting yang dibicara dan dihurai oleh Ustaz Dr. Azhar pada malam itu.
Lebih kurang 9.30 malam sembahyang Isyak berjamaah didirikan di bawah pimpinan Imam Muda yang mungkin setiap kali Kuliah didatangkan dari Masjid Negeri. Selepas bersembahyang sunat dan bersalam-salaman semua yang hadir, terutama dengan MB, dijemput makan malam.
Aku juga makan bersama MB bersebelahan dengannya dan di Sebelahku YB Dr. Ahmad Yunus bin Hairi ADUN Sijangkang, seorang lagi Wakil Rakyat yang hadir ialah YB Yaakob bin Sapari Exco, tapi beliau tidak berkesempatan makan bersama kerana ada urusan. Selepas makan, hampir semua yang datang, sebelum pulang datang menemui YAB Menteri Besar bersalam dan tentunya bersalam sama denganku dan yang lain semeja dengan YAB. Kami menunggu hingga orang terakhir datang menemui YAB dan tentunya antara yang terakhir pulang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment