July 20, 2010

Bila Minyak Dan Gula Naik Harga


Hari ini
Tanpa mukadimah dan acara
Hampir ke tengah malam diumumkan
- bagi mengurang reaksi spontan
Petrol – Lpg dan gula naik harga !!!
Naiknya ketara antara 5 – 10 sen berbeza
Cukup merencat tenaga kemampuan
Cukup alasan untuk menaikkan barangan.

Sebenarnya rakyat tidak bodoh
Membuat jangkaan dan ramalan
Bila gula kurang di pasaran
Sama ada sengaja disorot
Atau dikurangkan pengeluaran
Tunggulah kenaikan harga
Kerana biasanya perang antara
Raja Gula dan Kerajaan
Biarpun pihak kerajaan lengkap
Dengan tentera dan alat senjata
Akhirnya pihak kerajaan mengalah
Kepada Raja Gula bersenjata sekatan
Tiada langkah diambil lebih dari itu
Mengancamnya dengan tindakan
Begitulah berulang.

Cuma kali ini mengejutkan
Yang dijangka naik hanya gula
Tapi serentak kenaikan
tenaga Lpg dan Petrol
walaupun kita pengeluar lumayan
kenaikan kedua sumber tenaga
lebih kritikal tanpa keduanya
melumpuh kerja didapur
mengganggu pergerakan-penghantaran.

Berikut pengumuman kenaikan
Kita mendengar ulangan klisye ungkapan
Kenaikan adalah bertujuan
Menyelaraskan bantuan subsidi
Mengurangkan beban kerajaan
Langkah kukuhkan keyakinan dunia
Mengurang kekurangan difisit Negara
Meningkatkan kesihatan – kurangkan gula
Menyekat penyusupan di perbatasan
Kenaikan adalah masih rendah
Berbanding dengan Negara jiran
Dan berpuluh lagi alasan.

Bagi rakyat yang lemah
Apa lagi mau disanggah dikatakan
Selain dari mengeluh terbeban
Menilai tenaga tersisa dan kemampuan
Mengira tanggungan dan kehidupan
Cuma mengharap bagi yang mampu
Membuat bantahan dan menentang
tetapi selamanya sementara dan tenggelam
dalam kecoh – kehendak mereka berterusan.

Kini bersediakah rakyat menghadapi
Menegak naik harga barang-barang
Mengganda harga perkhidmatan
Melebarkan jurang kaya dan papa
Mengecilkan nilai, jika ada simpanan
Kini jangan impikan lagi
Sekeping kuih tiga kupang
Sebungkus nasi lemak seringgit
Juga seringgit secawan teh tarik
Jika tengahari kelaparan untuk makan
Tidak cukup dengan hanya 2 ringgit
Walau pun bersama air kosong
Demikian meledaknya harga tenaga
Walaupun antara lima ke sepuluh sen cuma
Bahana kenaikan berangkaian
Mencabar kemampuan.

Bagi pelajar di Pengajian Tinggi
Yang pinjaman kecil berbaki
Setelah ditolak yuran pengajian
Dan berbagai keperluan bayaran
Jika tiada dari keluarga subsidi
Tentulah lebih kerap makan maggi
Mengurangkan nasi sekali sehari
Jika demikian dari mana diharap tenaga
Kecergasan menghadapi pelajaran
Demikian bahana kenaikan barang.

Bagi yang menyimpan hasrat
Membeli sebuah rumah teres biasa
Terpaksa menangguhkan keinginan
Kerana harganya melambung berganda
Mungkin bertukar membeli rumah panga
demi kebahagiaan diri dan keluarga
mengelak dari sewa juga berganda
asalkan ada tempat berteduh sekeluarga.

Demikianlah kehidupan
Berdepan dengan keperluan material
Kita dimainkan dengan fatamurgana angka
Dianjakkan dari masa ke masa
Menjadikan manusia letih berlumba
Yang miskin dan papa jatuh tersungkur
Yang kaya tak pernah bersyukur
Tidak jarang yang hilang pedoman
Tanpa pegangan dan iman
Hentikan kenaikan harga
Nilaikan kemampuan rakyat jelata
Mereka juga berhak hidup bahagia.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,

03 Syaaban 1431
15 Julai 2010.

No comments:

Post a Comment