June 30, 2010

UMI - Menabur Bakti

Taman Sutera Kajang, 14 Rajab = 27 Jun (Ahad):


Seindah kata bagi nama taman – Taman Sutera, demikian indah lahirnya istilah – UMI sebagai wadah bagi kegiatan kaum Ibu di sini. UMI adalah singkatan bagi - Untuk Mu Ibu. UMI manifestasi dari kegiatan Kaum Ibu berpaksikan Surau Taman Sutera. Taman ini walaupun relatifnya baru – tidak sampai sedekad, tetapi penduduknya yang relatifnya muda-muda adalah bersatu dan aktif. Surau dan Persatuan Penduduk menjadi wadah kegiatan mereka baik yang bersifat ibadat, pendidikan, sosial, kebajikan dan sukan. Kegiatan tidak hanya berlaku di kalangan lelaki, tetapi juga di kalangan wanita dan ibu. Badan ini adalah berada di bawah Helwa.


Kalau sebelum ini kaum ibu dan wanita menjalankan kegiatan secara adhok, dan kurang tersusun, maka difikirkan perlunya sebuah badan bagi menyelaraskan kegiatan bagi wanita dan kaum Ibu. Pertemuan pertama diadakan di surau ini pada 23 Mei 2010 bagi menaja badan kegiatan. Maka pada hari ini iaitu selepas penubuhan, ADNS Bangi dijemput bagi merasmikan penubuhan UMI.


Hadir pagi ini sempena perasmian penubuhan UMI ialah Saudara Wan Mohd Nazri bin Wan Mohd Nasir selaku Penasihat UMI yang beliau juga selaku Pengerusi Surau, Puan Izny Wahida Zainon selaku Pengarah dan Penyelaras, Pn. Emilia Mat Piah selaku Penolong Pengarah dan Penyelarasan, Setiausaha Pn Dewiana Malisa Putri Hafizon, AJK-AJK dan para hadirin yang lain.


Dalam ucapan alu-aluan bagi penubuhan UMI, Pengarahnya, Pn. Izny Wahida menyatakan:

"Program UMI merupakan salah satu program bulanan (setiap hari Ahad ke – 4) yang dianjurkan oleh Unit HELWA, Surau Taman Sutera hasil dari kerjasama bersepadu semua pihak Surau Taman Sutera. Program ini bertujuan memberi sumbangan motivasi dan menerapkan nilai kerohanian, khususnya kepada Muslimat dan amnya kepada seluruh Penduduk Taman Sutera. Objektifnya ialah memberi penerapan Ilmu Islam kepada para hadirin untuk mempertingkatkan lagi keperibadian dan akhlak yang dibentuk dari al-Qur1an dan Sunnah. Mengeratkan ikatan silaturrahim di antara penduduk Taman Sutera khususnya di kalangan kaum wanita."


ADNS Bangi dalam ucapan perasmiannya menyatakan kesyukuran kepada Allah sejak awal Taman Sutera dihuni dan kita mengikuti perkembangan berterusan, bahawa masyarakat penduduk di sini meletakkan asas keislaman sebagai dasar kegiatan, bahkan surau menjadi induk bagi segala kegiatan. Pada hari ini kita melihat kaum ibu dan wanita juga menubuhkan badan yang lebih menyatu dan memfokuskan kegiatan mereka berasaskan nilai-nilai keislaman. Kita berharap badan ini tidak hanya mengadakan kegiatan pada hari Ahad sahaja, tetapi hendaklah diperluaskan kepada berbagai-bagai kegiatan selain dari ceramah ialah seperti mengadakan kelas-kelas bimbingan membaca al-Qur`an dan agama, kursusu-kursus rumah tangga, bimbingan kesihatan, sambutan-sambutan hari kebesaran, kelas tuisyen kepada anak-anak dan berbagai-bagai kegiatan ibadat, kemasyarakatan dan kebajikan.


Pada akhir ucapan dan perasmian ADNS Bangi menyampaikan sumbangan kepada surau berupa 8 buah meja dan 20 buah kerusi untuk diguna di dalam berbagai kegiatan yang berkenaan. ADNS akan terus memberi kerjasama dan bantuan yang bersesuaian pada masa akan datang – Insya Allah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment