June 27, 2010

Tragedi Murid Lemas Berulang Lagi

Taman Desa Sentosa, Sepang, 9 Rajab = 22 Jun (Selasa):

~Keratan Akhbar Sinar Harian, Khamis, 24 Jun 2010~

Tragedi murid lemas kembali berlaku pada hari ini di Sungai Langat berhampiran Taman Desa Sentosa di sini. Ini bukan kali pertama tragedi sedih berlaku menimpa anak-anak penduduk di sini, sekurang-kurang sejak 2005, tiga kali berlaku tragedi anak-anak lemas dilokasi yang hampir sama di sini. Seorang daripadanya pernah diketemui selepas 17 hari kejadian lemas berlaku. Cara hampir sama, iaitu anak-anak bersama kawan-kawan keluar di masa lapang memancing atau bermain di tepian tergelincir atau mandi dan lemas.


Kejadian terbaru hari ini, sekumpulan anak-anak berjiran dari rumah pangsa di sini keluar jam 6.00 petang ke tepi Sungai Langat dengan tujuan memancing, tetapi antara mereka mulai mandi dan dua dari mereka dihanyut air. Seorang abang- Muhammad Akmal bin Muhammad Arshad (16) dari anak yang lemas bertindak terjun dan berjaya menyelamatkan adiknya, Muhammad Alif Ehsan (11) dan beliau dengan berani terjun kembali untuk menyelamatkan anak kedua yang juga lemas, iaitu Mohd Faris Ridzuan, jiran satu rumah pangsa, tetapi oleh kerana arus kuat dan Muhammad Akmal keletihan, beliau tidak berjaya membawa Mohd Faris Ridzuan (11) ketepian, sebaliknya mereka berdua dihayut air. Berita ini segera disampaikan kepada ayah Muhammad Akmal, iaitu Muhammad Arshad Salleh (41), ayah Mohd Faris Redzuan, iaitu En. Azman Abas (41) serta keluarga masing-masing dan penduduk setempat. Mereka bertindak memanggil pihak polis dan bomba. Mayat Mohd. Faris Ridzuan yang merupakan murid di Sekolah Jalan 6 Bandar Baru Bangi berjaya diketemui selepas itu, tetapi hingga kini Muhammad Akmal masih belum diketemui.



ADNS Bangi bersama isteri pada petang Jumaat 25 Jun mengunjungi kedua-dua keluarga berkenaan yang masih sugul dan orang ramai juga masih mengunjungi kedua-dua keluarga berkenaan. 2 buah khemah yang tidak berjauhan di pasang bagi kemudahan pengunjung-pengunjung tiba bagi mengucapkan takziah. Kami berjumpa dengan En. Azman Abas dan isteri dan En. Muhammad Arshad dan isteri mengucap takziah kepada mereka dan berharap bersabar. Kami diberitahu oleh En. Muhammad Arshad anaknya Muhammad Alif Ehsan yang diselamatkan oleh abangnya yang kedua-dua bersekolah di Putra Jaya tidur dan masih trauma dengan tragedi yang dialami.



Setelah bercakap-cakap dengan jiran-jiran dan orang ramai yang berkunjung, ADNS Bangi ditemani beberapa orang berkunjung ke tempat kejadian. Isteri ADNS masih bersama keluarga malang. Tempat kejadian tidak jauh dari rumah mereka, iaitu lebih kurang 3 km. Pada penghujung jalan mati, turun ke kiri melalui lembah curam dan licin (baru lepas hujan) merentasi kebun pisang dan tiba ke tepi Sungai Langat yang di tepiannya himpunan bukit-bukit pasir yang sedang dilombong dari sungai. Di tepian terdapat khemah yang didirikan oleh pihak Bomba Cyber Jaya. Beberapa orang masih bertugas dan bermalam di situ sejak kejadian lemas berlaku. Bahkan sebuah kereta bomba masih dilokasi. Kenderaan dapat ke sini melalui jalan hadapan Sekolah Teknik Sepang. Selain daripada itu pencari-pencari juga bertugas memerhati dan mencari hingga ke kuala – Kuala Langat. Oleh kerana kunjungan kami selepas hujan, air Sungat Langat agak deras dan dalam. Kami ditunjukkan tepian di mana berlakunya tragedi lemas dan dimaklumkan peristiwa lemas yang lepas berlaku lebih kurang pada tempat yang sama. Pada kali ini kemungkinan mangsa tergelincir ke lubuk yang digali mesen pengeluar pasir dari tempat berkenaan. Di lokasi di sini pada petang ini turut hadir bersama ADNS Bangi, Tuan Haji Ahmad Makki YDP Pas Sepang. Lebih kurang jam 7.00 petang kami beredar menemui kembali kedua-dua keluarga anak-anak yang lemas dan memohon diri bersama isteri. Semoga yang hilang segera ditemui dan didoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas arwah-arwah yang kembali menemui Nya – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment