June 12, 2010

Pengukuhan PAS Menerusi Pendekatan Sistematik

Kota Bahru: 28 Jamadil Akhir = 11 Jun (Jumaat):


PAS bergerak dan berkembang secara teliti dan sistematik. Bermula sebagai sebuah parti yang dianggap khusus bagi orang Islam dan takut didekati oleh bukan Islam. Lantaran itu permulaan PAS berkembang hanya di kalangan lebai dan orang kampong. Kemudian PAS bergerak langkah dengan mengetengahkan kosep "Islam Syumul" kontra dengan apa yang didakwa Umno, bahawa agama adalah asing dan tidak boleh dicampuradukkan dengan politik. Maksudnya terpisah dari agama. Tetapi atas penerangan berterusan dengan contoh al-Quran dan perjuangan Rasulullah. Hujah kukuh ini mengalahkan hujah Umno dan kini tidak lagi kedengaran dakwaan yang melihat Islam luar dari politik. Konsep memperlihatkan Islam adalah bersifat lengkap, bahkan ianya bukan dalam erti kata agama dalam maksud yang sempit, tetapi Islam ialah Al-Din iaitu "A way of life" - Satu cara hidup yang teratur yang melibatkan hidup di dunia dan akhirat. Penerangan ini memikat golongan intelektual dan PAS bergerak dari kampong ke kawasan urban dan Bandar dan mulai mendapat dokongan intelektual dan pelajar.

Pada masa yang sama PAS bergerak memberi kefahaman kepada orang-orang bukan Islam, bahawa Islam tidak memusuhi orang bukan Islam. Untuk mendekatkan mereka dengan PAS dan untuk mereka memahami perjuangan PAS ditubuh seperti Hak (Hal Ehwal Kaum), berkembang kepada Kelab Penyokong PAS dan Perpaduan Nasional. PAS pula mengambil pendekatan dengan mengemukakan gagasan "PAS For All". Secara kebetulan orang-orang India bermasalah dengan kepimpinan MIC yang menimbulkan ungkapan "Makkal Sakti" dan begitu juga orang-orang Cina hilang kepercayaan terhadap MCA.

Dengan kerjasama parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan dengan gagasan-gagasan dikemukakan oleh PAS dan Pakatan menarik rakyat menyokong Pakatan Rakyat hingga memenangi 5 buah negeri (kini empat). Perluasan konsep PAS for all ini diterangkan bahawa PAS menekankan pembelaan kepada semua pihak dan memberi hak mereka. PAS membela mereka yang tertindas, menentang rasuah dan penyelewengan. Membela kemanusiaan. Ungkapan dikeluarkan oleh Tuan Guru Dato' Nik Aziz, bahawa semua manusia adalah berasal dari Adam, sebagai sesama bangsa manusia mereka berhak sama mendapat pembelaan. Apa yang diketengahkan oleh Pas bukan setakat cakap-cakap, tetapi dipraktikkkan ke dalam amalan, bahawa mereka bersifat jujur dan amanah serta dipercayai.

Pendekatan PAS yang bersifat kreatif dan innovative dan sokongan orang bukan Islam tidak terhenti setakat ini. Di dalam perkembangan bagi meluaskan kefahaman orang bukan Islam terhadap Islam dikemukakan gagasan kerjasama menerusi Kelab Penyokong PAS yang kemudian dipertingkatkan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS Ianya dilancarkan pada 23 Mei 2010.


Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 56 pada hari ini mencatat sejarah, ketika PAS kini berusia 60 tahun memperlihatkan ianya lebih matang. Pada hari ini Dewan Himpunan Penyokong PAS diberi pengiktirafan. Pengerusi Dewan Himpunan Peyokong di jemput hadir dan berhak memberi pandangan. Maka pada hari ini sempena 60 tahun dan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong, maka tema Muktamar pada hari ini adalah betemakan "Islam Adil Untuk Semua". Ini dapat dikatakan sebagai sanjungan kepada sokongan dan sebagai menjelaskan konsep keadilan di dalam Islam yang merangkumi semua, baik bagi yang Islam dan yang bukan Islam.

Berhubung dengan Islam adil Untuk Semua ini Presidin PAS YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyatakan:

"Tema kali ini menuntut untuk setiap di antara pemimpin dan kepimpinan, amilin dan amilat, diseluruh lapisan organisasi untuk memperteguhkan model pentarbiyahan dalaman sendiri, dengan disemai oleh fikrah yang jelas dankeperibadian yang unggul, seterusnya menjadi parti yang ikhlas kerana Allah dan beriman kepadaNya bagi menegakkan keadilan untuk semua, kerana ianya ialah adalah keadilan Ilahi yang terpancar dari Islam, sebagai Al-Din yang sempurna." Menurut Presiden lagi, "PAS wajib menegakkan keadilan untuk semua tanpa mengira batas agama dan kaum, kerana Islam dalam cara hidupnya adalah untuk seluruh manusia sejagat." (Ucapan Dasar Kali Ke 56: 3).

Semua perwakilan memuji pendekatan PAS yang mengiktiraf Kelab Penyokong PAS dan meningkatkannya kepada "Dewan Himpunan Penyokong PAS". Mereka percaya dengan peningkatan ini dan wakil mereka berada bersama di dalam PAS akan meningkatkan keyakinan dan sokongan mereka terhadap PAS.


Walau bagaimana sebagaimana diperkatakan, di dalam keghairahan PAS mendapat sokongan bukan Melayu, PAS jangan mengabaikan sokongan orang Melayu. Jangan sampai mereka merajuk dan menarik sokongan dari PAS. PAS hendaklah berusaha memberi keyakinan terhadap orang Melayu menyokong PAS. Mereka adalah base utama bagi PAS. Berdasarkan ketelitian PAS selama ini mengolahkan pendekatan secara sistematik dan berjaya mengukuhkan parti itu dan mendapat dokongan berbagai kaum, kita percaya PAS mampu meneroka pendekatan yang mendapat sokongan dari orang Melayu dan juga orang bukan Melayu, bukan setakat itu sahaja pendekatan mampu diolah dan dijana kepada peringkat international dan global, lantaran Islam membawa rahmat bagi Alam.


Sekian.

No comments:

Post a Comment