June 24, 2010

Meningkatkan Kualiti Dan Prestasi Insan

Bandar Bukit Mahkota, Bangi, 06 Rajab = 20 Jun (Ahad):

Meningkatkan kualiti dan prestasi insan adalah merupakan topik popular. Berbagai istilah merujuk kepadanya seperti "Bina Insan", "Modal Insan" dan sebagainya. Sesungguhnya insan adalah paksi awal bagi sebarang gerak daya yang mampu mengubah diri dan kelilingan. Lantaran itu diri insan menjadi objek utama bagi peningkatan kualiti dan prestasi dalam menuju kemajuan. Pemupukan ditujukan kepada insan baik melalui pengajian, pembelajaran, latihan, kursus dan sebagainya. Ianya menjadi keperluan baik kepada pelajar, pekerja, pegawai, pentadbir dan pimpinan.


Menyedari kepentingan ini, bagi memperbaiki diri dan prestasi organisasi serta ahli, maka diatur sebuah bengkel "Peningkatan Prestasi Insan" (PPI) agar dapat membantu individu dan pendukung organisasi menilai dan memperbaiki corak berfikir dan bertindak di dalam organisasi. Usaha bagi merealisasikan bengkel ini dilakukan oleh Saudara Haji Mazwan Johar selaku Ahli MPKj zon 24. Beliau berjaya mendapat seorang motivator terkenal, iaitu Profesor Dr Yahya Mat Som Profesor dari Universiti Georgia, Amerika yang kebetulan pulang bercuti di Negara ini.


ADNS Bangi yang menyampaikan alu-aluan mengucap tahniah atas inisiatif saudara Mazwan yang dapat mengadakan bengkel di tempat yang selesa di Bukit Mahkota dihadiri 70 orang peserta. Kursus yang melibatkan pembinaan insan amat penting, lantaran insanlah sebagai modal yang merangka dan menggerakkan sesuatu sarana dan menjayakannya ke peringkat sempurna. Kemajuan sesebuah Negara lebih bergantung kepada modal insan dari muka bumi yang subur atau mengandungai bahan kekayaan, tetapi tidak mempunyai kekayaan modal insan. Ini dapat dilihat contoh kemajuan Singapura yang lebih terletak pada kekayaan modal insan dari muka buminya yang tidak mempunyai sumber kekayaan. Begitu juga kemajuan sesebuah organisasi banyak bergantung pada kemampuan dan kreativiti kepimpinan. Kita berharap melalui bengkel yang diikuti hari ini akan merubah dan meningkat prestasi minda peserta-peserta dan mencetuskan fikiran-fikiran segar, inovatif dan kreatif di dalam meningkatkan prestasi kepimpinan dan memajukan organisasi.

ADNS Bangi mengcapkan tahniah, tetapi kesal tidak dapat menyertai bengkel seterusnya oleh kerana mempunyai program-program di tempat lain yang mesti dihadiri.


Berdasarkan pada kertas panduan yang disediakan bengkel memfokuskan `Peningkatan Prestasi` pada:

Memikirkan semula cara dan corak kita berfikir, bertindak dan berorganisasi dan penyelesaiannya dengan menggunakan kaedah peningkatan prestasi insan (PPI). Kaedah PPI adalah satu kumpulan teknik, kaedah dan prosedur yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kualiti dan prestasi insan. Berfokus ke arah mencapai matlamat organisasi secara saintifik, sistemik dan sistematik dengan mengutamakan sistem nilai yang tinggi. Tujuan menggunakan PPI untuk meningkatkan Kualiti dan Prestasi di dalam organisasi dengan menyelesaikan masalah kini,mencipta peluang, mengelak kesilapan masa depan, menentukan kualiti dan prestasi dan meningkatkan produktiviti. Menjadikan diri individu berkesan tinggi.


Difahamkan dari peserta-peserta, mereka mengikuti satu bengkel yang bermutu. Walaupun penyampainya hanya seorang, tapi penyampai dapat menyampaikan wawasan dan gagasan secara menarik dan berkesan sejak dari awal dari jam 9.15 hinggalah ke akhir jam 4.30 petang. Semoga bengkel yang diikuti memberi mafaat dan meningkatkan prestasi peserta dan organisasi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment