May 10, 2010

Dari Sidang Dewan Negeri Selangor

Jawapan Kepada Permohonan Tanah Secara Berkelompok Penduduk Taman Seroja, Jalan Reko Kajang.

Sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini hanya berlangsung selama tiga hari sahaja, iaitu dari 12 hingga 14 April. Sebab itu banyak soalan-soalan lisan tidak sempat dijawab. Selama 3 hari (sebenarnya dua hari bagi jawapan lisan, hanya 16 soalan sempat dijawab di dalam sidang. Hari pertama acara Pembukaan Sidang sahaja). Daripada 10 soalan lisan ADNS Bangi, hanya sebuah soalan sahaja sempat dijawab, iaitu mengenai Pendidikan Pra-Sekolah. Walaubagaimana soalan-soalan yang tidak sempat dijawab sama ada lisan dan tulisan (semestinya dijawab secara tulisan) akan dihantar kepada penanya secara bertulis. Pada 7 Mei ADNS menerima sebahagian jawapan yang telah ADNS Bangi kemukakan kepada DNS. Di bawah diperturunkan satu soalan dan jawapan bersifat tempatan untuk maklumat pihak yang berkenaan.

Tajuk: Tanah Kerajaan Di Taman Seroja, Jalan Reko, Kajang

1) Sekelompok penduduk India dan Cina telah mendiami di atas tanah tol sejak 30 tahun yang lalu. Mereka memohon pecah lot bagi memiliki tanah tersebut dan mengangkat permohonan kepada pihak berkuasa.

Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:

a) Apakah kedudukan status tanah tersebut ?
b) Adakah kemungkinan permohonan mereka diluluskan ?
c) Jika tidak, mengapa sebahagian tanah-tanah berdekatan telah diberi hak milik ?

Jawapan:

a) Tanah tersebut masih berstatus tanah kerajaan dan termasuk di dalam sebahagian Rizab Sungai Langat.

Terdapat sebanyak 36 permohonan pemberimilikan tanah (Jadual 1) telah diterima oleh Pejabat Tanah Hulu Langat pada 10 Februari 2010 dan masih dalam tindakan. Dari rekod pejabat, hanya terdapat seorang pemohon sahaja yang pernah dikeluarkan lesen Menduduki Sementara (LMS) di kawasan berkenaan tetapi tidak diperbaharui sehingga kini.

b) Pertimbangan bagi kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

1) Ulasan dari Jabatan Teknikal yang berkenaan seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Majlis Perbandaran Kajang, Jabatan Kerjaraya (JKR) Daerah Hulu Langat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hulu Langat dan lain-lain jabatan yang berkaitan; dan
ii) Permohonan diproses secara berkelompok untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Semua permohonan sedang dalam proses dan akan diangkat untuk keputusan MMKN dalam masa 4 bulan selaras dengan Piagam Pelanggan Bahagian Tanah Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat tertakluk penerimaan semua ulasan jabatan teknikal.

c) Tanah-tanah berdekatan yang telah diberi hak milik sejumlah satu (1) permohonan adalah berdasarkan kepada permohonan secara individu dan tidak terlibat dengan faktor alam (pengalihan sungai) pada ketika itu.


Sekian.

No comments:

Post a Comment