April 11, 2010

Pas Gerak Jentera Pilihanraya Bantu Calon Pakatan Rakyat

Batang Kali, 25 Rabiul Akhir = 10 April (Sabtu):

Semua Pimpinan Pas peringkat negeri dan kawasan negeri Selangor hari ini turun ke Batang Kali menerima amanat dan taklimat dari Timbalan Presiden YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang diberi amanah Mengetuai Pas Pusat menggerakkan jentera Pas membantu kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor. Turut sama Pengarah Pilihanraya Peringkat Negeri Saudara Jamaluddin Alias dan Ketua Jabatan Pilihanraya Negeri (JPPN) Cikgu Radhi. (Mengetuai pihak PKR ialah YB saudara Azmin Ali dan Pengarah ialah YB Abdullah Thani).

Dalam amanatnya Timbalan Presiden meminta ahli-ahli Pas yang akan turun membantu hendaklah mengamalkan tiga prinsip (Tiga I) yang dapat membantu menghasilkan kualiti kerja yang baik dalam mencari keredhaan Allah. "Tiga I" itu ialah:

1) Bekerja dengan Ikhlas sebagai I pertama. Beliau menyebut tentang Hadith Nabi yang diriwayat oleh Sayyida Umar Ibn al-Khattab "Sesungguhnya segala amalan itu bergantung pada niat". Niat yang baik akan menghasilkan natijah yang baik, sebaliknya niat yang tidak baik menghasilkan natijah yang tidak baik. Niat kita datang membantu calon pilihanraya dari PR di sini bagi menegakkan keadilan dan kebaikan sesuai dengan tuntutan Islam, Kita hendakalah berikhlas "Mukhlisin lahud-Din" di dalam kerja-kerja kebajikan. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah dan kemenangan berpihak kepada kita.

2). Bekerja dengan penuh Itqan sebagai I yang kedua. Kerja dengan penuh tekun adalah mencerminkan kualiti kerja yang baik. Hadith Nabi bermaksud, "Allah suka kepada orang yang apabila bekerja dia bekerja dengan penuh ketekunan".

Masa bekerja dan berkempen dalam pilihanraya adalah pendek, sebab itu gunakanlah masa yang pendek dengan sepenuhnya. Para pekerja hendaklah mempastikan kerja-kerja yang ditugaskan kepadanya baik secara individu, mahupun secara jamaah dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi supaya mencapai penghasilan secara maksimum dan berkualiti.

3). Bekerja dengan Istiqamah sebagai I yang ketiga. Apabila kita menerima tugas dan berasaskan prinsip dan keyakinan yang kita pegang kita hendaklah beristiqamah dengan prinsip dan kerja kita. Kita bukan semata-mata bekerja setakat mau menang, tetapi mempunyai matlamat perjuangan yang unggul, iaitu "Islam" yang kita mau tegakkan. Prinsip dan keunggulan perjuangan inilah yang menjadi katalis bagi gerakkerja kita

Pendek kata kita petugas-petugas dari Pas seharusnya mempunyai kewajaan dalaman bertunjangkan tauhid kepada Allah, kepatuhan kepadaNya dan memohon pertolongan darpadaNya. Kerja luaran yang kita lakukan adalah terjemahan dari dalaman. Sebab itu jangan ada kerja-kerja luaran kita bercanggah dengan dalaman. Bila keselarian berlaku kita bekerja dengan ikhlas, itqan dan istiqamah yang insya Allah membawa kepada kejayaan.

Selepas amanat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden, Cikgu Radhi selaku Pengarah JPN, menerangkan kepada pimpinan-pimpinan Pas negeri dan kawasan berhubung dengan lokasi pilihanraya, taburan pengundi, di mana kekuatan dan kelemahan, tumpuan-tumpuan yang perlu diambil. Penempatan-penempatan petugas-petugas yang ditentukan. Kefahaman perlu diberikan terlebih dahulu kepada petugas-petugas agar tidak berlaku kecelaruan. Ini adalah penting bagi petugas-petugas dari Selangor, khususnya dari Pas sebagai tuan rumah. Dengan ini mereka dapat memberi panduan apabila petugas-petugas negeri-negeri luar dari Selangor datang membantu. Penerangan sedemikian akan dilakukan lagi apabila petugas-petugas pergi ke lokasi yang ditentukan. Adalah lebih licin jika petugas-petugas dari Selangor dapat membantu dan bekerjasama dengan petugas-petugas luar dari Selangor datang membantu.

Islam menuntut kita bekerja secara berjamaah dengan Ikhlas, Itqan dan Istiqamah dengan demikian menghasilkan kejayaan dan keberkatan. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment