March 15, 2010

Usia Bagi Pemilihan AJK Surau Diberi Kelonggaran Umur Hingga 65 Tahun

Di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor (STANCO) pagi ini bertempat di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam ADUN Bangi membangkitkan mengenai perkara yang ditimbulkan oleh Nazir-Nazir Masjid dan Pengerusi-Pengerusi Surau di DUN Bangi di dalam Majlis Dialog dan Pelancaran Portal Masjid-Surau DUN Bangi bertempat di Dewan Masjid Al-Hasanah pada 14 Mac lalu, bahawa sukar untuk melantik AJK yang disyaratkan berumur 60 tahun ke bawah.

Sebagai jawapan YB Dato` Dr. Hasan Ali Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang mempengerusikan majlis menjawab bersama Ybhg. Dato` Haji Muhammad Khusrin bin Haji Munawi Pengarah JAIS, bahawa pihak JAIS telah membuat keputusan melonggarkan umur jawatankuasa surau yang dipilih kepada tidak lebih dari 65 tahun.

Untuk mempastikan ADUN tidak tersalah, sekali lagi sebelum mesyuarat berakhir ADUN meminta izin untuk memaklumkan kepada orang ramai, khususnya bagi surau-surau di DUN Bangi, bahawa umur ahli jawatankuasa yang dilantik tidak melebihi 65 tahun. Mereka bersetuju dan ditambah oleh Pengarah Dato` Haji Muhammad Khusrin. Pemilihan itu hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor.

Sekian makluman. Terima kasih.

Dr. Shafie Abu Bakar
ADUN Bangi.
Merangkap Pembantu Exco
Hal Ehwal Islam Dan Adat-Adat Melayu,
Negeri Selangor Darul Ehsan.

No comments:

Post a Comment