March 7, 2010

Ijtimak Pondok dan Pusat Pengajian Islam Terengganu

Kg. Pinang Merah, Paka, Dungun, 19 Rabiul Awwal = 05 Mac (Jumaat):


Saya dijemput membentangkan kertaskerja pada hari ini di dalam Ijtimak Pondok dan Pusat Pengajian Islam Terengganu. Ini membawa saya hadir ke Ijtimak ini yang diadakan secara besar-besaran dan berlangsung selama tiga hari, iaitu dari 4 Mac -6 Mac bertempat di Madrasah Darul Bayan beralamat di atas. Ijtimak adalah anjuran Lajnah Tarbiyyah Dewan Ulama Pas Terengganu dengan Penasihat Ijtimak Ustaz Saiful Bahari bin Mamat merangkap Pengerusi Induk Markaz Tarbiyyah Islamiyyah Darul Bayan, Pengerusi Ijtimak Ustaz Jamaluddin bin Jusoh dan Pengarah Che Wan Mustafa Che Wan Kaman. Perasmian Ijtimak dilakukan oleh YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa Timbalan Presiden Pas. Menurut Saudara Che Wan Mustafa Che Wan Kaman Pengarah Program, YB Timbalan Presiden dalam amanat bagi perasmian mencadangkan agar diadakan persatuan di dalam pengajian ilmu-ilmu Islam yang menurut Ustaz Nasharuddin, ianya juga merupakan permintaan dari al-Allamah Dr. Yusof al-Qaradhawi Ketua Persatuan Ulama Sedunia semasa beliau menghadiri Ijtimak di Qatar baru-baru ini. Sebagaimana yang diminta Timbalan Presiden, hasrat itu terlaksana apabila hari ini (6 Mac), sebanyak 37 buah pondok-pengajian menghantar perwakilan bermesyuarat dan bersetuju mengadakan Persatuan Pengajian Pondok. Kepimpinan akan ditentukan di dalam mesyuarat jawatankuasa akan datang.


Dilihat kepada kandungan program, ijtima bertujuan menerus dan meningkatkan dakwah dan pendidikan Islam yang telah berkembang di Terengganu sejak dari akhir abad ke 13M. Bagi mencapai hasrat, maka wadah pendidikan hendaklah diperkasakan melalui berbagai pendekatan pendidikan. Bagi mencapai objektif berbagai tokoh dijemput berbincang, berceramah, berforum dan membentang kertas kerja. Misalnya Kertas kerja bertajuk, Institusi Pendidikan Islam, Survival dan Daya Saing menghadapi Alaf baru dibentang oleh Ustaz Abu Bakar Chik AJK Pas Pusat dan Pengulas ialah Ustaz Mokhtar Senik dan Ustaz Husin Awang (Ketua Dewan Ulama Pas Negeri Terengganu), manakala kertas kedua dibentang oleh YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi dengan kertas berjudul, Sejarah Perkembangan Institusi Pendidikan Islam Di Pantai Timur: Kesannya Pada Sosio-Budaya dan Kerajaan dengan Pengulas Us.Berhanuddin Abdullah dari UDM dan Ustaz Zaidi Abdullah (Pondok Lubok Tapah). Juga Kuliah Menjana Sumber Institusi Pengajian Islam oleh Ustaz Subki Abdul Rahman (Pondok Repek)


Sempena dengan Maulid al-Rasul, maka antara program adalah berkenaan Maulid al-Rasul seperti Sebuah forum bertajuk, Warisan Nabawi Pemangkin Ummah yang mana ahli panelnya ialah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri dan Ustaz Saifuddin Abdul Rahman dari Pusat Pembangunan Pondok di Kelantan dengan dipengerusikan oleh Ustaz Jamaluddin Jusoh al-Hafiz demikian dengan kuliah, 23 Tahun Perjuangan Nabi Muhammad Dalam Mendidik Ummah: Sumbangan Kita Setelah Kewafan Baginda disampaikan oleh Ustaz Asmuin Shamsuddin. Demikian dengan Kuliah Maulid ar-Rasul, Kuliah Pagi Jumaat oleh Dr. Ibrahim dari UDM.


Pengisian yang lain merupakan kuliah dan tazkirah mengiringi salat-salat fardu. Majlis diakhir dengan Ceramah Perdana Penutup yang penceramah-penceramah terdiri dari YB Dato' Dr. Isa Ismail, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Ustaz Wan Hassan Ramli dan Dr. Hamzah Jaafar. Majlis dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Aruddin Nawi.


Kita terpesona dengan kegigihan Jawatankuasa yang mampu mengadakan Ijtima yang begitu besar dalam masa tiga hari berturut-turut dan dapat membawa tokoh-tokoh penting dalam Ijtimak. Lebih dari itu orang ramai yang datang dari dekat dan jauh terus memberi sambutan dari satu program ke program yang lain. Kita difahamkan setiap hari beberapa ekor lembu yang diderma dan diaqiqah disembelih bagi menyediakan makan kepada yang hadir. Kita kira puncak dari kejayaan Ijtimak ialah tercapainya kata sepakat antara pengajian pondok mewujudkan persatuan yang kelak melalui persatuan banyak lagi cadangan dan pendapat dapat dijanakan bagi kepentingan persatuan dan pengajian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment