March 13, 2010

Diskusi Ummah: Islam Penyelamat Ummah

Teras Jernang, 26 Rabiul Awwal = 12 Mac (Jumaat):

Kita bersyukur kepada Allah dan memujiNya di Bangi ini bahawa pada setiap hari Jumaat, sebelum azan dan sebelum khatib menaiki mimbar, biasanya pegawai masjid mengumumkan kegiatan ilmuan seminggu bagi masjid berkenaan. Di surau-surau juga tidak kecuali membuat pengumuman secara lisan dan juga tulisan, bahkan makluman sedemikian juga disebarkan melalui internet.


Demikianlah semarak ilmu berlaku di DUN Bangi, setiap pagi dan malam guru-guru mursyid menyampaikan pengajaran-pengajaran mengiringi salat terutama selepas salat subuh dan antara Maghrib dan Isyak. Demikian tazkirah-tazkirah ringkas mengiringi salat-salat. Para jamaah tetap dan para pelajar sebenarnya boleh menghadiri kuliah-kuliah ilmu yang disampaikan oleh guru-guru tempatan dan guru-guru jemputan.

Demikianlah pada malam ini di Masjid as-Salihin Teras Jernang berlaku salah satu aktiviti Majlis Ilmu yang agak istimewa yang diberi judul Diskusi Ummah bagi mengupas tajuk: Islam Penyelamat Ummah dengan menjemput seorang Penceramah Khas, iaitu Dr Danial Zainal Abidin.

Diskusi Ummah pada malam ini adalah anjuran bersama Kabinet Bangi Bandar Ilmu ADUN Bangi, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Masjid As-Salihin, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Jamaah Islah Malaysia (JIM), Gabungan Pelajar Islam Semenanjung (GAMIS) dan Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM).


ADUN Bangi dalam kata-kata aluannya mengucapkan tahniah kepada pihak Masjid dan penganjur-penganjur yang dapat mengadakan majlis ilmu. Terima kasih kepada Penceramah Dr Danial Zainal Abidin dan kepada pendengar-pendengar yang datang memenuhi ruang masjid. ADUN memetik firman Allah yang bermaksud:

"Kamu adalah sebaik-baik Ummah dilahirkan di kalangan manusia dalam mana kamu menyuruh membuat baik dan melarang dari membuat perkara mungkar (Ali Imran: 110)."

Allah meletakkan status manusia sebagai khalifah, insan Rabbani, bahkan Insan Kamil. Insan muslim berstatus sedemikian yang mendukung Islam seharusnya adalah pemakmur, pengangkat darjat dan penyelamat Ummah dan alam. Bagaimana merealisasikannya adalah pengolahan-pengolahan dan pendekatan-pendekatan yang harus diambil menurut landasan Islam. Semuanya adalah melalui ilmu, amalan menurut etika Islam. Kerakusan manusia yang tamak hanya mengundang kemusnahan. Hanya melalui Islam yang menjamin keselamatan di dunia dan akhirat.


Sebelum dari itu Ustaz Basir Alias Nazir Masjid as-Salihin selaku tuan menyampaikan ucapan alu-aluan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Diskusi pada malam itu. Turut menyampaikan alu-aluan Ustaz Rujhan dari JIM.

Penceramah yang merupakan lulusan Pengajian Perubatan dari Universiti Iskandariah Mesir sebagaimana diberi biodata oleh pengerusi Ustaz Jameer Saad mengambil pendekatan menjelaskan konsep Selamat dan Rahmat berdasarkan ayat al-Qur`an bermaksud:

"Tidaklah aku utuskan engkau (Wahai Muhammad), melainkan sebagai Rahmat bagi alam."

.Beliau membicarakan selanjutnya mengenai konsep daruriyyat yang diutarakan oleh ulama-ulama Islam. Iaitu bagi menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Seterusnya berhubung dengan hajiyat yang dirukhsahkan dalam keadaan tertentu dan tahsiniyat yang merupakan pelengkap.Ini membuktikan Islam mementingkan keselamatan ummah.

Seterusnya pengerusi meluaskan perbincangan dan kemudian majlis dibuka kepada hadirin. melibatkan diri di dalam perbincangan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment