February 8, 2010

Sungai Ramal Kawasan Terawal Calon PAS Bertanding Pilihanraya

Sungai Ramal Luar, 21 Safar = 6 Februari (Sabtu):


Tokoh Warga Emas Sungai Ramal yang dipilih sempena Khidmat Mesra Rakyat Bersama ADUN Bangi hari ini, iaitu Tuan Haji Yahya bin Kassim (81) yang lebih dikenali sebagai Pak Itam memberitahu bahawa Cawangan Pas ditubuhkan di Sungai Ramal sejak dari awal kemerdekaan negara. Cawangan Pas di sini telah dirasmikan oleh Ybhg. Profesor Zulkifli Muhammad Pemimpin PAS terkenal pada masa itu yang pernah berkhidmat sebagai Pensyarah di Kolej Islam Malaya. Apabila pilihanraya umum diadakan pada kali pertama, iaitu pada tahun 1959, PAS Sungai Ramal mengemukakan calonnya bertanding di Sungai Ramal yang pada masa itu terletak di bawah Kawasan Sepang. Calon yang bertanding menurut Pak Itam, ialah Hj. Omar bin Bujang melawan calon Dato' Abu Bakar Baginda dari Batu Tiga Belas, Jalan Cheras di Kajang. Haji Omar walaupun kalah, tetapi tidak hilang wang deposit. Manakala Dato' Abu Bakar Baginda menjadi Menteri Besar Selangor pertama yang dipilih melalui pilihanraya. Sebuah kampong di Sungai Merab diabadikan dengan namanya, iaitu Kampung Dato' Abu Bakar Baginda. Sekarang kampung ini menjadi pintu masuk Satu ke Putra Jaya.

Kedudukan Sungai Ramal dalam hubungan dengan PAS dan kemasukan Hj. Omar bin Bujang sebagai calon PAS dalam pilihanraya merupakan catatan sejarah yang penting bagi PAS, khususnya di Serdang. Dengan ini membuktikan bertapak dan beradanya PAS di Sungai Ramal sudah melebihi 50 tahun, juga bererti PAS di Sungai Ramal menjangkau usia JUBLI MAS. Perlu difikirkan kemungkinan diadakan sambutan Jubli MAS Pas di Sungai Ramal dan kemungkinan lebih banyak maklumat berhubung dengan Pas di Sungai Ramal. Penyelidikan lebih mendalam perlu dilakukan.


Adapun Tuan Haji Yahya bin Kassim tak kurang penting dari segi sejarah dan hubungannya dengan PAS, beliau adalah merupakan Wakil Calon Pas bagi Tuan Haji Omar. Ini bererti Tuan Haji Yahya adalah antara tokoh dan Ahli PAS trerawal di Sungai Ramal yang patut diberi penghargaan. Mungkin banyak maklumat yang boleh digali dan diselidik dari Tuan Haji Yahya yang lebih dikenali sebagai Pak Itam dan kawan-kawannya yang seangkatan dengannya di dalam menegakkan PAS dan memperjuangkan Islam bukan saja di Sungai Ramal, tetapi juga di Selangor.


Tuan Haji Yahya bin Kassim adalah anak jati Sungai Ramal, dilahirkan pada tahun 1929, bersekolah di Sungai Ramal. Pernah berkhidmat di dalam pasukan SC pada Zaman Darurat. Beliau berkhidmat dari tahun 1948- 1956 bertempat di West Country dengan no. keahlian 0645. Kerana khidmat cemerlangnya beliau pernah dikurniakan Bintang Diraja . Beliau juga pernah bekerja di Lembaga Bandaran Kajang (kini MPKj) dan lama menjadi Bilal di Masjid Sungai Ramal Luar – Masjid Mat Saman dan berkesempatan dengan 5 orang Imam di masjid tersebut. Beliau terkenal sebagai pemimpin kelas Barzanji dan Marhaban di Sungai Ramal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment