February 11, 2010

Rasmi Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Seksyen 9

Seksyen 9, BBB, 22 Safar = 7 Februari (Ahad):

Program terawal hari ini ialah menghadiri dan merasmikan mesyuarat di atas. Seksyen 9 adalah seksyen paling baru dihuni (2005) dan seksyen ini banyak keistimewaannya, selain daripada seksyen ini berada di Pusat Bandar, seksyen ini paling dekat dengan Masjid al-Hasanah dan pada hari ini Mesyuarat Agung Kali Ke 2 ini diadakan di salah satu Dewan Masjid al-Hasanah. Hadir sama dijemput sebagai tamu ialah Encik Yusof Bacik Ahli MPKj Zon 20.

Penubuhan Persatuan Penduduk Seksyen 9 ini dipelopori antaranya oleh Hj Abdul Rahim bin Hj. Abdul Wahab yang merupakan Pengerusi Persatuan, Tuan Haji Muhammad Zin bin Mohd Supaat Timbalan Pengerusi, manakala Setiausaha ialah Hj. Che Bahanuddin bin Che Yob, Penolong Setiausaha En.Muzarudin bin Musa, manakala Bendahari ialah Encik Ahmad Tarmizi bin Abu Hassan dengan seramai enam orang Ahli Jawatankuasa dengan keahlian menjangkau kepada 185 orang. Persatuan ini telah diluluskan pada 09 Oktober 2008. Selama setahun yang lepas persatuan telah menjalankan berbagai-bagai kegiatan seperti Kempen Keselamatan dan mengadakan jaga yang mengawal keselamatan, gotong royong membersihkan kawasan Seksyen 9, gotong royong membersihkan kawasan Masjid al-Hasanah, berbagai kegiatan bagi penghayatan Ramadhan, sambutan Hariraya Idul Fitri dan mengadakan qurban Idul Adhha, Sambutan Maulid al-Rasul, Kursus Mengurus Janazah, mengadakan Kelas Kafa yang kini bertempat di Masjid al-Hasanah, manakala Biro Hal Ehwal Wanita mengadakan Kelas Agama, Pembacaan Yasin, Kelas Tajwid, Tadarus al-Qur`an, Senaman Robik, Kelas Jahitan dan Masakan dan mengadakan Hari Keluarga. Berdasarkan baki kewangan tahunan memperlihatkan persatuan ini berada di dalam keadaan yang mantap dari selesa.

Sebelum Mesyuarat Agung dijalankan, Tuan Haji Abdul Rahim YDP persatuan menyebut tentang keperluan adanya sebuah dewan untuk kegiatan penduduk setempat,, perlunya ada sebuah pondok polis di Seksyen Sembilan sebagai Pusat Bandar Baru Bangi. Beliau juga menyebut masalah longkang tersumbat dan lampu yang tidak menyala.

ADUN Bangi di dalam ucapannya mengucap tahniah kepada Persatuan Penduduk yang pro-aktif dan mengadakan berbagai kegiatan sepanjang tahun. Persatuan dan penduduk amat bertuah dapat tinggal di kawasan berdekatan dengan masjid dan berperanan mengadakan kegiatan dengan masjid dan memakmurkan masjid itu sendiri. Persatuan dan penduduk secara tidak langsung bersama menegakkan syiar Islam di Bandar Baru Bangi yang beridentitikan keislaman. ADUN Bangi juga menyebut tentang kepesatan pembangunan di sekeliling kawasan Bangi, persatuan juga perlu peka dan tidak hanya menonton dari pinggir tentang kepesatan pembangunan, kalau boleh persatuan dan penduduk yang berada di kawasan segi mas Bandar Baru Bangi ini juga berusaha melalui persatuan memiliki asset bangunan bagi kepentingan persatuan dan penduduk kawasan seperti dilakukan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi melalui koperasinya memiliki bangunan-bangunan komersil di kawasan-kawasan strategik di Bandar Baru Bangi ini.

ADUN juga menyebutkan kejayaan penduduk di Seksyen 9 dan tempat lain di Bandar Baru Bangi ini, ialah kerana kejayaan penduduk di dalam pelajaran dan kerjaya. Kita sedikit sebanyak telah berjaya, tetapi anak-anak kita akan menghadapi saingan yang sengit bagi menentuklan survibal mereka di Bandar ini. Kalau boleh biarlah mereka lebih baik dari kita. Bagi menjamin masa depan mereka tidak lain dari membekalkan mereka dengan ilmu pelajaran dan pendidikan. Sebab itu perhatian kepada mereka hendaklah diberi oleh ibu bapa dan persatuan juga. Bandar Baru Bangi adalah terkenal sebagai Bandar Ilmu, sebab itu kita dan anak-anak kita hendaklah mementingkan ilmu. Jangan melihat pelajar-pelajar dari luar Bangi berlumba-lumba datang belajar di berbagai pengajian tinggi di Bangi dan sekelilingnya sahaja, sebaliknya kita hendaklah mendahului mereka.

Sebelum dari ADUN merasmikan Mesyuarat Agung Encik Yusof Bachik berucap menerangkan fungsi MPKj dan peranan Ahli-Ahli MPKj. Beliau berjanji untuk memberi perhatian terhadap aduan dan keperluan penduduk setempat.

Selamat Bermesyuarat Agung.dan Berkhidmat Untuk Kepentingan Masyarakat Setempat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment