February 22, 2010

Khidmat Masyarakat Pelajar UNITEN

Sungai Ramal Luar, 06 Rabiul Awwal = 20 Februari (Sabtu):


Sejumlah 540 orang pelajar UNITEN turun padang ke Sungai Ramal Luar kerana menjalankan khidmat masyarakat di sekitar kawasan perkampungan Sungai Ramal Luar. Ini merupakan sebahagian dari kerja kursus yang dikehendaki pelajar-pelajar melaksanakannya. Khidmat masyarakat ini termasuk di bawah kerja kursus pelajar-pelajar yang mengambil kursus Islam dan Peradaban sebagai satu dari kursus universiti yang lebih banyak menekankan pengajian sains. Nilai kerja kursus yang bersifat kemasyarakatan ini adalah sebanyak 10 unit.

Sebelum turun menjalankan khidmat masyarakat ini, dua minggu sebelumnya pihak universiti telah menghubungi Ketua Kampung Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir bagi mendapat keizinan dan kerjasama universiti yang kedudukannya tidak berapa jauh dari UNITEN (5 km.). Pihak Ketua Kampung tidak berkeberatan menerima, kerana ianya bukan saja memenuhi keperluan kursus pelajar-pelajar, tetapi memberi faedah kepada kampung terutama dari segi kebersihan.


Pihak Ketua Kampung dengan anak buah JKKnya menyediakan logistic dan pembahagian tempat-tempat untuk dihantar pecahan kumpulan-kumpulan pelajar. Segala perbelanjaan bagi khidmat masyarakat ini dibiayai oleh pihak UNITEN, namun pihak MPKj memberi kerjasama menyediakan lori-lori untuk mengangkut sampah yang dibersihkan oleh pelajar-pelajar. Pengangkutan dan kehadiran mereka diuruskan oleh UNITEN yang kebanyakan mereka datang dengan bas-bas yang disediakan. Mereka datang berhimpun di padang berhampiran dengan surau Sungai Ramal Luar.


Pelajar-pelajar ini dipecahkan kepada lima kategori:

Pertama - Kumpulan yang mengendalikan kenduri. Tugas mereka ini menyediakan makanan, seperti memasak air minum, menyediakan makanan tengahari secara masak kawah (nasi), gulai ayam, goring sayur, ikan masin dan ulam bersambal belacan.

Kumpulan Sukanika, mereka mengatur kegiatan-kegiatan permainan, sukan dan aktiviti padang yang dapat disertai penduduk, terutama dari kalangan muda-mudi. Hadiah-hadiah turut disediakan.

Kumpulan Gotong Royong: Kumpulan-kumpulan paling utama, mereka dipecahkan kepada sepuluh kumpulan dan selepas berhimpun dan taklimat dihantar ke kawasan-kawasan ditentukan bagi mereka menjalankan khidmat dan pembersihan.

Kumpulan Baiti Jannati (Rumahku Syurgaku) . Beberapa kumpulan dipecahkan dan dihantar kerumah-rumah pilihan. Mereka membawa buah tangan ke rumah-rumah pilihan, terutama yang miskin dengan membawa beras dan keperluan dapur. Mereka membersih kawasan perumahan dan menyusun peralatan dalaman, setengah daripada mereka, terutama pelajar-pelajar perempuan membersih periuk, kuala dan mangkok pinggan.

Kumpulan Majlis Penutup. Kumpulan ini menyediakan keperluan majlis penutup, hadiah-hadiah, menyusun majlis dan mengendalikan majlis itu sendiri.


Semua kumpulan bekerja dan berkhidmat dari jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 tengahari. Mereka dikehendaki kembali semula ke padang tempat awal perhimpunan yang disediakan khemah-khemah dan berlakunya aktiviti masakan dan sebagainya.

Sebelum makan tengahari diadakan acara penutup dalam mana ADUN dijemput merasmikan acara penutup yang dihadiri pensyarah-pensyarah dan ketua-ketua kegiatan kemasyarakatan, Tuan Haji Yusof Ketua Kampung, Major Yusof selaku Pengerusi Persatuan Penduduk, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh selaku Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, Pengarah Gotong royong En. Azhar yang merupakan Setiausaha JKK, En Faisal dan En. Fuad, En. Saadon dan lain-lain yang merupakan tenaga-tenaga pelaksana.

ADUN dalam ucapan penutupnya mengucapkan syabas kerana gotong royong dapat dijalankan dengan sempurna. Kejayaan bergantung kepada semua pihak, pihak UNITEN, pelajar-pelajar, Ketua Kampung, JKK dan penduduk yang amat memberi kerjasama. ADUN berharap kepada pelajar tidak menmgganggap gotong royong sebagai keperluan kursus semata-mata, tetapi lebih penting interaksi dengan masyarakat dan perhubungan ukhuwwah. Dengan kerja luar pelajar tidak hanya mengenali alam kampus semata-mata, tetapi juga masyarakat sekeliling yang sebenarnya tidak begitu jauh dari kampus UNITEN. Hubungan mesra ini diharap menjadi kenangan kepada pelajar-pelajar bila keluar menamatkan pengajian. Kepada pihak UNITEN ADUN berharap dapat meneruskan kegiatan yang seumpama ini, kita sedia menerima kehadiran di mana-mana kawasan pilihan terutama di DUN Bangi. UNITEN menjadi sebahagian institusi yang mengukuhkan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Kerjasama di dalam bidang-bidang yang lain juga dapat difikir dan dilakukan pada masa hadapan.

Wakil bagi pelajar-pelajar mengucapkan terima kasih kepada ADUN dan Ketua Kampung yang sudi menerima mereka. Kemesraan dan kerjasama yang diberi menjadi pengalaman dan kenangan bagi mereka, manakala Ketua Kampong di dalam ucapan balas sebelum penutup berharap segala persediaan yang disusun dapat memuaskan pihak UNITEN. Bagi pihak diri dan penduduk Haji Yusof mengucapkan terima kasih. Kami sedia bekerjasama bagi kegiatan-kegiatan akan datang. Sebelum bersurai pelajar-pelajar menunaikan salat zohor berjamaah di surau berdekatan dengan padang.

No comments:

Post a Comment