January 21, 2010

Spekulasi Pilihanraya: Adakah Pas Selangor Bersedia ?

Bandar Baru Bangi, 05 Safar = 21 Januari (Khamis):

Belum pun genap dua tahun Pakatan Rakyat memerintah Negeri Selangor, spekulasi mengenai kemungkinan pilihanraya kali ke 13 akan diadakan pada pertengahan 2011 mulai bertiup. Spekulasi ini dibawa ke dalam Majlis Pelancaran Jubli Perak Pas Serdang pada 16 Januari 2010 lepas oleh YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan diperkuatkan oleh YB Iskandar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Cempaka di dalam majlis yang sama. Ramalan ini diperkukuhkan lagi oleh Ketua Umum Keadilan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutup di Majlis Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Pahang yang menggesa Perkemas jentera parti bagi menghadapi pilihanraya tahun hadapan (Suara Keadilan. 19-26 Januari, 2010:3).

Pada pertengahan tahun hadapan cukup tempoh minima (3 tahun) seorang ADUN atau Ahli Parlimen di dalam perkhidmatan. Pada pertengahan tahun tersebut dijangka kemelut dan perpecahan di dalam parti-parti kompenan BN, khususnya di dalam MCA dan PPP dapat dipulihkan. Ramalan-ramalan dibuat pada tahun hadapan prestasi ekonomi Negara akan pulih dan bertambah baik. Lantaran itu pemimpin-pemimpin BN digerak mulai awal tahun ini turun padang. Mereka tidak lagi mengikuti pola pendekatan mereka sebelum ini dalam mana bila tiba musim pilihanraya baharulah mereka mencurah projek dan menurap jalan-jalan ke tangga-tangga rumah penduduk hingga ke pagi hari pilihanraya. Ego mereka menurun berbanding semasa mereka kukuh dari segi politik dan pemerintahan. Mereka mulai tidak malu dari meniru mana-mana yang difikir agak baik dari Pakatan Rakyat. Misalnya mereka turut menggunakan kata sakti 'Rakyat' yang menjadi trade mark dan identiti bagi Pakatan Rakyat ke dalam slogan-slogan politik mereka seperti "Rakyat Didahulukan", mereka turun padang 'bersama rakyat' dan 'ziarah rakyat' di luar musim pilihanraya.

Di dalam perlumbaan meningkatkan pengaruh dan menguasai politik pemerintahan, Selangor nampaknya menjadi fokus utama pihak BN bagi merampas negeri tersebut. Ada petanda perebutan pengaruh di dalam UMNO negeri bagi menjadi juara kepimpinan dan mengumpul pengkut-pengikut, kerana di kalangan mereka ada yang merasa lebih berkemampuan memimpin UMNO negeri dari kepimpinan yang ada dan mampu memecahkan kekebalan Pakatan Rakyat.

Jika perlumbaan ini menjadi pertandingan terbuka, maka UMNO Selangor akan menempah perpecahan sebagaimana MCA dan PPP.

Di dalam suasana politik mutakhir dan parti-parti politik mulai bangkit bersiap sedia menghadapi pilihanraya, di manakah Pas Selangor berada? Adalah diakui selama ini Pas dengan kekuatan organisasi dan kekukuhan sokongan akar umbi banyak membantu pengusaan PR memerintah negeri Selangor. Kita percaya kekuatan dan kekukuhan ini berterusan sehingga musuh tidak mampu untuk memecahkan benteng ini. Mereka mencari pendekatan-pendekatan yang lain dan pola pendekatan ini sedang digunakan.
Antara pendekatan yang ketara ialah mengaitkan sesuatu isu dengan kepimpinan dan menimbulkan isu-isu yang memerangkap kepimpinan yang tidak semestinya terperangkap. Contoh isu yang lepas seperti isu arak. babi dan lembu, kini berhubung dengan isu penggunaan kalimah "Allah" yang memecahbelah pendapat dan menimbulkan pergeseran antara institusi dan kepimpinan. Perangkap mereka ada yang mengena dan menjadi masalah dalaman kita. Ini mengganggu kelicinan pentadbiran dan pengukuhan organisasi parti. Ibarat dulu kita bergerak di atas padang yang selesa, kini kaki kita mengharungi lumpur yang mengganggu dan melambatkan langkah dan perjalanan. Tumpuan kita yang sepatutnya kepada memperkukuhkan parti, meningkatkan sokongan di tempat yang kita menang dan menggandakan usaha di tempat yang kita belum menang terpaksa dialihkan kepada pembersihan lumpur kotoran dan pembetulan imej dan tanggapan. Dari segi psikologi akibat minda dan fikiran kita terganggu menjadikan kita berada di dalam suasana yang kurang selesa, teragak-agak dan tidak seberani dan selantang dahulu dalam mengeluarkan pendapat dan pandangan. Adakah kita sedikit ketinggalan?

Kesedaran dari awal adalah lebih baik dan memberi peluang bagi kita bermuhasabah dan mengatur langkah. Kita masih belum terlambat. Kita masih kuat, tetapi perlu menambahkan kekuatan. Musuh politik kita di Selangor masih berusaha memerangkap kepimpinan dan usaha ini terus berjalan. Mereka sebenarnya makin bimbang dengan kekuatan kita. Kebimbangan mereka kadang-kadang membuat mereka mengambil tindakan yang tidak rasional contoh terbaru pihak Suruhanjaya Pilihanraya bercadang untuk memperluaskan peluang mengundi pos dengan meminda akta pilihanraya 1981. Cadangan ini adalah kurang rasional, mundur ke belakang dan bercanggah dengan tuntutan rakyat dan prinsip demokrasi. Walau bagaimana ini adalah antara petanda pilihanraya makin mendekat dan mereka mencari helah, walaupun kurang rasional dan kita perlu tentang. Kita dituntut supaya lebih bersedia dan memperkasakan kedudukan kita.

Sekian.

No comments:

Post a Comment