January 13, 2010

Dua Aktiviti Serentak Di Dataran Usahawan

Dataran Usahawan, 24 Muharram = 10 Januari (Ahad):

Pada malam ini dua aktiviti serentak diadakan. Pertama ceramah Hijrah al-Rasul yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Ridhuan Mohd Nor dan kedua penyampaian beg sekolah kepada murid-murid berkelayakan terutama dari Seksyen 2 Bandar Baru Bangi. ADUN Bangi yang dijemput oleh pengerusi Sdr. Azmi Ahmad Ketua Lajnah Penerangan, berucap ringkas mengharapkan Sirah Rasulullah dijadikan contoh tauladan bagi meningkatkan diri di dalam mendekati Allah dan memperbaiki kehidupan. Menurutnya dengan semangat Hijrah kita penghuni-penghuni Bandar Baru Bangi berhijrah ke sini sejak tahun 1977 dan bersama-sama memajukan diri dan Bandar Baru Bangi sehingga menjadi sebuah Bandar idaman untuk dihuni kerana keunikannya sebagai Bandar Ilmu. Beliau juga berharap kepada murid-murid belajar bersungguh-sungguh di tempat yang terkenal sebagai lubuk ilmu. Murid-murid mesti memajukan diri dengan ilmu pengetahuan dan menjadi generasi pelapis bagi memajukan Bandar Ilmu.

Ustaz Ridhuan Mohd Nor menggalurkan tentang Hijratul Rasul, significant dari segi pemilihan Hijrah sebagai kalinder Islam dan hikmah dari peristiwa Hijrah itu. Beliau juga menyeru terutama dari golongan muda menjadikan Hijrah sebagai panduan di dalam kehidupan dan inspirasi perjuangan bagi menegakkan Islam.

Sebelum ceramah berjalan, majlis yang dijayakan oleh Pejabat ADUN Bangi dengan kerjasama Persatuan Penduduk yang dihadiri sama oleh YDPnya Dr. Tajul Ariffin Noordin dan AJK yang lain itu didahului dengan penyampaian beg-beg kepada murid-murid sekolah. Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama bagi menjayakan sambutan ini.




No comments:

Post a Comment