December 10, 2009

Pendidikan Islam Negeri Di Bawah Satu Yayasan ?

Shah Alam, 21 Zulhijjah = 8 Disember (Selasa):

Terdapat banyak sekolah agama di Negeri Selangor. Sebahagain besar di bawah pentadbiran JAIS seperti Sekolah Rendah Agama (197), Sekolah Rendah Agama Integrasi (10), Sekolah Agama Menengah (23) dan Tahfiz (2) melibatkan 6,500 guru dengan murid-murid sejumlah 150,000. Terdapat Kelas Quran dan Fardu Ain yang berjumlah 275 buah dengan 3,200 guru dan 90,000 murid dan PRA Sekolah yang berjumlah 12 dengan 25 guru, 58 pengasuh dan lebih 1,200 anak-anak.

Sebahagian lagi adalah bersifat swasta. Contoh Maahad Tahfiz yang di Selangor berjumlah lebih daripada 70 buah, Sekolah Rendah Islam, melebihi 100 buah, Sekolah Menengah Islam (19), Tadika Islam 112 buah. (Tidak dipastikan jumlah guru dan murid-murid).

Dengan banyaknya sekolah, banyaklah masalah yang dihadapi, terutama oleh sekolah atau institusi swasta. Masalah utama kekurangan kewangan yang melibatkan kekurangan dari segi bangunan, infrastruktur, kekurangan latihan dan kelemahan dari segi pentadbiran. Menyedari tentang kelemahan dan bagi menjaga kepentingan serta kebajikan sekolah atau institusi terdapat usaha dari institusi pengajian menubuhkan persatuan bagi menjaga kepentingan dan mendapat pembelaan seperti Rangkaian Pendidikan Islam (RAPI), Majlis Pendidikan Islam Selangor (MAPIS), Gabungan Sekolah-Sekolah Islam Selangor (GASIS), Persatuan Institut Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dan Majlis Permuafakatan PIBG SAR (MPPIBG).

Walau bagaimanapun, institusi pendidikan terutama swasta tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi mereka. Demi hasrat untuk menyatukan pendidikan agama, telah wujudnya bantuan khas terutama peruntukan RM2 juta bagi sekolah dan institusi pendidikan agama, sebagaimana diperuntukkan bagi sekolah Cina dan Tamil, mendorong lebih kuat lagi dirasakan perlunya penyatuan sekolah/instusi pendidikan Islam bersatu di bawah satu bumbung bagi memudahkan penyaluran bantuan tahunan. Atas hasrat sedemikian dilihat sebagai dorongan perlunya diadakan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Selangor 2009. Untuk mencari contoh pelindung bagi pendidikan agama ini, maka dijemput Yayasan Islam Kelantan membentangkan contoh perjalanan YIK bagi pendidikan Islam di Negeri Selangor. Kertas dibentangkan oleh Tuan Haji Muhammad bin Ya, Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan.

Pembentangan kertas kerja itu menyatakan, bahawa YIK berfungsi menjalankan aktiviti di bidang pendidikan Islam dan pangajian Bahasa Arab sejak 1 Julai 1974. YIK diamanahkan mentadbir Maahad Kerajaan (18), SMU(A) (45), Maahad Tahfiz Quran (2), Maahad Tahfiz Sains (2), Tadika (3), Kolej YIK (1), Pusat Pengajian Pondok Moden (1) yang melibatkan 37,900 pelajar dan 2,312 guru.

Pendidikan YIK mengamalkan dua kurikulum serentak, iaitu Kurikulum Buuth al-Azhar dan Kurikulum Kebangsaan yang melayakkan pelajar-pelajar yang berjaya menyambung pengajian ke Timur Tengah dan ke pengajian dalam Negara atau luar Negara menurut sistem Kebangsaan. YIK ditadbir oleh Ahli Lembaga terdiri daripada Menteri Besar Kelantan, Timbalan Menteri Besar, Pengerusi Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti, Ketua Hakim Syarie, YDP MAIK dan Adat Istiadat Melayu, Pengarah Kerajaan Negeri Kelantan dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan.

Peruntukan tahunan antara RM40 hingga RM50 juta yang biasanya memerlukan bajet tambahan pada setiap tahun.


~Hadirin muslimin dan muslimat yang hadir menyertai Konvensyen Pendidikan Islam Selangor 2009~


Berbanding dengan negeri Selangor, YIK menurut apa yang dibentangkan menumpukan kepada pengajian di bawah kawalannya semata-mata. Konsep pendidikan YIK tidak memberi tumpuan pada pendidikan swasta yang dipercayai banyak terdapat di Kelantan seperti pengajian-pengajian pondok, tahfiz dan tidak memberi tumpuan kepada pembelajaran pada peringkat pra sekolah dan pada peringkat rendah. Berbeza dengan negeri Selangor yang begitu luas dan bervariasi sifatnya.

Dalam kata lain pendidikan keislaman di negeri Selangor lebih luas dan banyak. Apa yang dibentang oleh Timbalan Pengarah YIP ialah pendidikan di bawah YIK semata-mata, berbanding dengan negeri Selangor iaitu yang di bawah JAIS. Namun di bawah JAIS lebih luas kerana ia melibatkan pengajian pada peringkat rendah yang amat banyak dan tidak termasuk di bawah skop YIK. Barangkali perbandingan pendidikan YIP dan JAIS kurang bersamaan. Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan perlu memperkukuhkan cara pendidikan masing-masing.

Apa yang releven bagi Konvensyen Pendidikan Islam 2009 ialah menumpukan perhatian pada peringkat permulaan ialah menyatukan pengajian-pengajian Islam swasta di Selangor yang tidak diberi perhatian dan tidak mendapat pembelaan selama ini. Alhamdulillah dalam usaha mengadakan konvensyen telah terbentuk Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS). Melalui MAPPIS diharap menyatukan pengajian-pengajian Islam, terutama swasta. Perlu difikirkan adakah pengajian-pengajian Islam swasta ini diletak di bawah satu yayasan dan sebagainya. Model-model dapat dicontohi dari berbagai-bagai, termasuk sebahagian dari YIK, tetapi hendaklah beridentiti tersendiri. Manakala pendidikan di bawah JAIS yang begitu luas dan mempunyai identiti tersendiri, tetapi masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki. MAPPIS haruslah bergerak bagi membina kekuatan, memperbaiki pendidikan Islam swasta dan mendapat saluran pembelaan daripada pihak kerajaan. Dalam hal ini, jika peruntukan tahunan sebanyak RM2 juta tentulah tidak mencukupi, tetapi sejumlah peruntukan yang sesuai hendaklah diberikan untuk mempertingkatkan kualiti pentadbiran dan pendidikan.

No comments:

Post a Comment