December 18, 2009

Hijratur-Rasul

Hijrah
Istilah terserlah pemilihan barakah
Peristiwa agung pendekatan teragung
Berstrategi mewarnai sejarah Islami
Mengubah peta dan lakaran sejarah
Revolusi aqidah menentang syirik
Seluruh umat adalah berukhuwwah
Revolusi sosial masyarakat berakhlak
Di dalam Negara Baldah Tayyibah.

Hijrah
Adalah ijtihad dan jihad
Dari Mustafa manusia pilihan
Titih bertitih dari Ibrahim a.s.
Turun menurun kepada Muhammad s.a.w.
Adalah permata di tengah batu-batu bertaburan
Cahayanya menyerlah ke seluruh alam.

Hijrah
Cetusan manusia pilihan
Lelaki al-Amin di tengah qabilah
Sejak kecil berperibadi mulia
Tatkala remaja menjadi pilihan
Menyelesaikan konflik antara kaum
Meletakkan kembali Hajarul Aswad
Ke Ka`bah sekian kali dibaikpulih
Menyerlahkan kebolehan dan bakat kepimpinan
Tertarik hati kepadanya perempuan hartawan
Mengendalikan dagangannya ke Sham
Penuh amanah dan keberuntungan
Melamarnya menjadi suami tersayang.

Hijrah
Adalah pendekatan dan strategi dakwah
Bermula dari wahyu pertama di Gua Hira`
Tugas utama menyebarkan dakwah
Di kalangan kaum bersikap keras
Abu Jahal, Abu Lahab ketuai tentangan
Berdekad lamanya secara berterusan
dengan pengikut Rasul hanya ratusan
Ditambah ugutan sekatan dan pembunuhan.

Hijrah
Adalah tektik mengatur kekuatan
Pernah berlaku ke Ta`if dan Habashah
Walaupun hasil tidak memberangsangkan
Usaha diubah dengan menerima perutusan
Dari Najran, khazraj dan pertemuan dua Aqabah
Membuka ruang bertambah sokongan
Di Tanah Yathrib tapak bersesuaian
Menunggu ketika dan kesempatan.

Hijrah
Adalah tawakkal dan nekad
Setelah terhidu rancangan pembunuhan
Oleh pemuda-pemuda qabilah
Di satu malam secara kepungan
Baginda Rasul, Abu Bakar dan Ali
Mengatur tektik keluar kepungan
Ali menggantikan di tempat pembaringan
Abu Bakar menunggu memulakan penghijrahan
Pemuda-pemuda dikelirukan dengan perlindungan
Baginda dan Abu Bakar selamat ke Gua Thur
Meskipun dijejaki usaha mereka terbentur
Lagi dikeliru oleh jaringan lelabah
Dan pilihan jalan dan pemandu berpengalaman.

Hijrah
Mengubah suasana
Dari keadaan tertekan ditinggalkan
Kepada kesyukuran dan kegembiraan
Marhaban dengan kehadiran Rasul
Menyerlah cahaya bulan purnama
Dengan lembut memupuk wajah dunia
Cahaya hidayat memartabat umat.

Hijrah
Adalah pembaharuan dan tindakan
Mendirikan masjid pusat ibadat dan pendidikan
Al-Qur`an menjadi panduan dengan Hadith mengolahkan
Mempersaudarakan Aus dan Khazraj golongan Ansar
Dengan Muhajirin golongan pendatang
Mengikat semua warga dengan perjanjian
Sahifah Madinah perjanjian bermutu diiktirafkan
Menjana ekonomi dengan perniagaan, ternakan dan pertanian
Memperkukuh pertahanan dari ceroboh musuh
Menyertai pasukan ke medan peperangan
Mengenakan cukai dan jizyah menjana kekuatan
Membina Negara Madinah pertama Kerajaan Islam
Darinya tersebar Islam ke seluruh Alam.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi
01 Muharram 1431
18 Disember 2009.

No comments:

Post a Comment