September 25, 2009

Dari Satu Kepada Tiga Program

BBB, 26 Ramadhan = 16 September (Selasa):

Pada hari ini jangkaan program asal yang disusun ialah berjamaah Isyak dan tarawih di Surau Ibtida`iyyah, Taman Bangi Indah, Pekan Bangi. Peruntukan dan persediaan barang-barang telah dilakukan. Tetapi saat akhir berlaku pertambahan, program ke Masjid Pekan Bangi yang sepatutnya pada petang esok ditukar ke petang ini, atas permintaan masjid tersebut, sedangkan dua hari lepas jemputan diterima dari Pegawai Daerah untuk berbuka di Surau Pejabat Daerah, seterusnya tarawih di sana. Jemputan dari Masjid Dengkel yang juga petang ini – Di bawah Kawasan Angkat ADUN Bangi yang sebelumnya belum diberi jawapan kata putus, hari ini terpaksa dipohon keuzuran, kerana mahu menghadiri majlis berbuka puasa di Surau Pejabat Daerah. Jemputan ke sini tidak dijawab hitam putih.

1) Ke Masjid Pekan Bangi

Atas persetujuan program pertama petang ini di Masjid Pekan Bangi, maka ADUN bersama Saudara Azizi bertolak ke Masjid Pekan Bangi dan berada di sana jam 6,00 petang. Barang-barang di bawa oleh Haji Rushdi dan AJK Lajnah Kebajikan.


Turut sama ke Masjid Pekan Bangi, Ustaz Shafie Ngah selaku Ketua Lajnah Masjid dan Surau. Majlis utama di sini ialah penyampaian bantuan kepada anak-anak yatim dan faqir miskin. Peruntukan dan barang-barang disediakan oleh ADUN, pihak Masjid dan derma orang-orang perseorangan di Pekan Bangi dan jumlah barang-barang agak banyak. Majlis ringkas bermula dengan ucapan Nazir Masjid Ustaz Halim bin Mukhtar, diikuti ucapan ADUN, memuji kejayaan mendapat derma yang lumayan.


Bersama Ustaz Shafie Ngah, Ketua-Ketua Kampung. Tuan Haji Hashim dan En. Azlan, ADUN menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada penerima dari kalangan anak yatim dan faqir-miskin berjumlah 70 orang. Majlis sempurna jam 7.00 petang dan menunggu waktu iftar.

2) Ke Pejabat Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi


Oleh kerana ruang masa masih cukup bagi ADUN ke Majlis Berbuka di Surau Pejabat Daerah, ADUN memohon maaf dan meminta izin untuk ke Pejabat Daerah di Bandar Baru Bangi. Saudara Azizi selalu berkata, ``Perkara baik yang kita lakukan, selalu disempurna oleh Allah``, demikian banyak pengalaman yang kami alami. Dengan niat baik, mau menyempurnakan jemputan, kami tiba tepat waktu berbuka. Kata Pegawai Daerah selaku tuan rumah bersama Tuan Kadhi dan dua pegawai lain ``Sedang elok ada dua kerusi kosong di meja Tuan Pegawai Daerah yang sebelumnya diminta dipenuhi, tapi enggan diduduki sesiapa``, Seolah-olah dua kerusi itu disediakan untuk kami``. Jadi kami terus sama berbuka dengan Tuan Pegawai Daerah Tuan Haji Zainal Abidin bin A`la dan pegawai-pegawai lain, diikuti sembahyang maghrib di surau dan kembali makan nasi ke meja yang sama.

Kira-kira 20 minit sebelum waktu Isyak kami memohon kemaafan dari pihak Tuan Pegawai Daerah, kerana tidak dapat bersama seterusnya bersembahyang Isyak dan Tarawih di Surau Pejabat Daerah, sebaliknya segera bertolak ke tempat ketiga, iaitu Surau Ibtidaiyyah di Taman Bangi Indah, Pekan Bangi.

3) Ke Surau Ibtida`yyah, Pekan Bangi


Setibanya kami disurau, saya diminta mengimami fardhu Isyak dan seterusnya tarawih dan kemudian bersama di dalam acara khatam Qur`an di kalangan remaja yang dibimbingi oleh Imam & AJK Surau berkenaan dengan disaksikan oleh para jamaah – ibu bapa anak-anak dan keluarga mereka. Berikut dari pembacaan doa khatam Qur`an penyampaian cenderahati dilakukan oleh ADUN terhadap anak-anak yang khatam Qur`an dan juga kepada mereka yang menjayakan khatam Qur`an dari kaum muslimin dan muslimat. Majlis diakhiri dengan moreh dan bersurai.

No comments:

Post a Comment