August 4, 2009

KARNIVAL HUFFAZ NEGERI SELANGOR

Stadium Kuala Selangor, 10 Sya`ban = 01 Ogos: Satu fenomena baru di dalam pendidikan Islam yang bersifat positif, ialah kelahiran ma`had-ma`had tahfiz, khususnya di negeri Selangor. Pada dasarnya ma`had tahfiz tidaklah lain dari pembelajaran terhadap keilmuan Islam, khususnya tumpuan kepada `Penghafalan al-Qur`an`. Ianya merupakan penjenamaan khususnya terhadap pengajian yang berindukkan al-Qur`an. Apa lagi sambutan terhadap pembelajaran al-Qur`an amat menggalakkan. Satu ciri yang menarik, bahawa ma`had-ma`had tahfiz yang ditubuhkan adalah atas inisiatif individu secara swasta dan bukannya dari pihak kerajaan.

Adalah membanggakan di negeri Selangor sekarang terdapat sebanyak 77 buah tahfiz dengan jumlah pelajar seramai 5,000 orang dengan tenaga pengajarnya lebih kurang 500 orang. Ma`had-ma`had thfiz ini berperanan dan berjasa di dalam mengeluarkan pelajar-pelajar berkhidmat di masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah agama, rumah-rumah persendirian dan berbagai-bagai institusi keagamaan.

Oleh kerana setiap ma`had mempunyai pendekatan masing-masing, banyak pula masalah dihadapi dan perlunya kerjasama bagi membaiki pengajian ma`had, maka satu usaha yang baik dilakukan oleh tenaga-tenaga yang membimbing tahfiz, iaitu mengadakan persatuan tahfiz.’ Lantas lahirlah Persatuan Institusi Tahfiz al-Qur`an Negeri Selangor – dengan nama ringkasnya PITAS. Persatuan ini telah ditubuhkan pada 13 November 2003. Kini dipengerusikan oleh Tuan Haji Sahri bin Haji Sartu. Karnival Huffaz Selangor 2009 yang disertai tahfiz-tahfiz seluruh Selangor bertempat di Stadium Kuala Selangor ini mencerminkan tekad dan kerjasama antara pimpinan tahfiz bagi memperkenalkan tahfiz-tahfiz dan juga usaha mendapat dana bagi menggerakkan PITAS.

Majlis malam itu adalah Majlis perasmian yang ADUN Bangi selaku Pembantu Exco diamanahkan oleh YB Dato` Dr. Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam merasmikan Karnival. Turut hadir ke Dewan Stadium Kuala Selangor ialah Tuan Haji Zainal Abidin bin Sulaiman Pegawai Tadbir Hal Ehwal Islam, Kuala Selangor, Tuan Haji Zamri bin Ahmad yang mewakili YB Dr. Dzulkifli bin Haji Ahmad Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Haji Sahri Pengerusi PITAS.
Dalam ucapannya ADUN Bangi mencadangkan agar persatuan berusaha mewujudkan kurikulum sepadu dan mengatasi masalah pelajar-pelajar tidak berpeluang mendapat sijil-sijil yang diiktiraf dan diperlu oleh mereka pada masa hadapan. Pengiktirafan terhadap lulusan tahfiz juga perlu diusahakan. Kaedah melatih guru-guru hendaklah disediakan dan pengajian tahfiz juga seharusnya mempunyai jaringan dengan pengajian-pengajian di dalam dan di luar negara bagi memungkinkan pelajar-pelajar menyambung pengajian mereka. Tahfiz-tahfiz dan persatuan PITAS sewajarnya mendapat sokongan dan peruntukan dari kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat. Selepas pelancaran disampaikan hadiah-hadiah bagi pelajar-pelajar yang berjaya di dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.

No comments:

Post a Comment