July 17, 2009

SPRM Perlu Bertanggungjawab


SHAH ALAM, 16 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bertanggungjawab terhadap kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teo Beng Hock, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurutnya, ini kerana Teo ditemui mati, dipercayai jatuh daripada tingkat 14, bangunan Plaza Masalam, selepas disoalsiasat oleh suruhanjaya itu, sehingga awal pagi tadi.

Tan Sri Khalid berkata, Teo dibebaskan kira-kira jam 3.45 pagi tadi selepas disoalsiasat selama hampir 10 jam bermula 6 petang semalam.

Terdahulu itu, Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah yang menunggu di pejabat SPRM
bersama peguamnya, Govind Singh Deo, tidak dibenarkan bertemu mangsa yang sedang disoal siasat.

Kedua-dua mereka kemudian meninggalkan bangunan itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Teo bagaimanapun, ditemui mati di bahagian bumbung tingkat lima bangunan itu, kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Difahamkan, Teo bakal mendaftarkan perkahwinannya bersama seorang gadis, Sue Sue Quay, 28 tahun, di Melaka esok.

Dalam satu sidang media tergempar di bangunan Annex, Shah Alam, petang tadi, Tan Sri Khalid meminta Ketua Polis Selangor menjalankan siasatan terpeinci bersama pakar pathologi dari Pusat Perubatan Subang Jaya yang mewakili kerajaan.

Katanya, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar juga telah memberi jaminan untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap kes ini.

“Selaku Menteri Besar saya telah menghubungi Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar dan beliau membenarkan Kerajaan Negeri untuk menghantar pasukan pathalogi untuk jalan siasatan tersebut bersama pasukan pathalogi pihak polis,” katanya.

Dengan nada sedih, beliau memberitahu ini adalah kejadian pertama berlaku dalam pentadbiran kerajaan pakatan rakyat Selangor, melibatkan kakitangan Exco.

“Saya harap tak berlaku lagi dan ini merupakan satu kerugian kepada negeri Selangor,” jelasnya.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluar Teo dan menganggap ia sebagai satu tragedi kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada waris mangsa bagi meringankan bebanan mereka menguruskan upacara pengkebumian Teo.

Sementara itu, Ean dalam sidang media yang sama berkata, beliau cuba mengeluarkan Teo daripada pejabat SPRM itu dan mencadangkan siasatan disambung esok, tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian.-TV SELANGOR

No comments:

Post a Comment