December 31, 2007

Pembatalan projek jambatan: Permasalahan

Pendahuluan

Pelancaran RMK9 (2006-2010) pada 31 Mac 2006 dengan peruntukan sebanyak RM200 bilion adalah takah dua bagi Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia melaksanakan projek pembangunan Negara. Kelemahan-kelemahan pada takah pertama (dari perlantikan Oktober 2003 ke RMK 9) sebagai permulaan dijangka dapat ditebus dan diserlahkan dengan kejayaan RMK 9.

Dalam RMK 9 diperuntukkan antaranya sejumlah RM2.7 bilion bagi pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang. Projek ini akan menyerlahkan nama Abdullah sebagai kejayaan projek besar yang dapat dilaksanakan dalam era beliau. Adalah menjadi harapan namanya lebih menyerlah jika projek `Jambatan Indah` antara Johor Bharu dan Singapura menggantikan tambak Johor yang berusia 82 tahun itu berharga RM1.113 bilion berjaya dibina.

Andainya kedua-dua projek jambatan ini siap terpahat kejayaan Abdullah sebagai Pembina jambatan-jambatan penting negara di samping projek-projek `pertanian negara` sebagai kecintaan Abdullah. Ianya menandingi Tun Dr Mahathir yang pada zaman pemerintahannya suka membina bangunan-bangunan tinggi dan istimewa, di samping projek `kereta nasional`.

Anti klimaks

Sedang gembar-gembur, ulasan dan pujian terhadap RMK9 berterusan sejak dilancarkan pada 31 Mac 2006, pengumuman pembatalan projek `Jambatan Indah` yang menjadi harapan itu oleh Perdana Menteri pada 12 April 2006 adalah merupakan `anti klimaks` yang sekaligus mengundang banyak persoalan serta masalah dan menjatuhkan kredebiliti, imej dan maruah pihak kerajaan.

Ini mengganggu momentum kelancaran publisiti memprojek dan mempromosi Perdana Menteri dengan keistimewaan RMK9. Hasrat membina `Jambatan Indah` lebih memperlihatkan `kemahuan sebelah pihak` dan hasrat sebelah pihak ini dijadikan aset sebelah pihak yang lain `Singapura` sebagai `modal` tuntutan dan tawar menawar terhadap Malaysia yang tidak dapat menyembunyikan kemahuan sebagai taktik rundingan.

Permasalahan bertambah dengan kritikan Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri yang tidak bersetuju dengan keputusan kabinet membatalkan projek pembinaan jambatan.

Latar `Projek Jambatan Indah`

Cetusan awal mengenai perlunya `Tambak Johor` digantikan dengan jambatan yang lebih baik datangnya dari Dr Mahathir bermula sejak 1996 dan rundingan berlaku antara Kuala Lumpur dengan Singapura sejak Julai 2002. Ini diikuti dengan rundingan sebanyak 4 kali dan terakhir (kelima) berlangsung di Putrajaya pada bulan April 2006 baru-baru ini.

Dari segi perancangan projek Tambak Johor yang dibina pada 24 Julai 1924 itu sudah tidak sesuai dan tidak dapat menampung secara licin 'volume' pertambahan lalu lintas antara Johor Bharu dengan Singapura. Malaysia pada zaman Dr. Mahathir mencadangkan agar diganti dengan jambatan lurus di mana Malaysia akan membina di sebelah Johor Bahru sepanjang 1.2 km dan Singapura membina pada bahagiannya sejauh 0.85 km.

Jambatan ini jika disiapkan (jangkaan April 2009) akan memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak, iaitu memudahkan aliran kemasukan kenderaan membawa pengunjung dan barangan kedua belah pihak, memulihkan keadaan alam sekitar, mengalirkan air yang selama ini tersekat dan tercemar dan memulihkan kualiti air yang memberi ruang kepada kehidupan marin secara sihat dan bermanfaat.

Selain daripada itu kenderaan air dan kapal-kapal dapat melalui saliran air yang dibuka ini secara lebih cepat dan selamat. Bila jambatan berkenaan siap ianya menjadi daya tarikan dan pandangan indah yang dapat menarik pelancong yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Ego dan kepentingan

Dilihat kepada pentingnya jambatan kepada kedua belah pihak, logiknya tidaklah sukar bagi kedua belah pihak berunding, menyusun butir-butir perjanjian dan melaksanakannya secara bersama. Tetapi mengapakah kewajaran menjadi sebaliknya dan Malaysia membatalkannya secara sebelah pihak?

Sikap Singapura dapat dibaca dari sejarah Singapura yang mementingkan keselamatan, kepentingan dan egonya tersendiri. Singapura sedar ianya merupakan sebuah negara yang wujud hasil dari kehadiran penjajah di Timur Jauh. Singapura amat kecil (seluas 700km per. dengan 4 juta penduduk) dibanding dengan Australia atau New Zealand yang merupakan negara-negara baru hasil dari kedatangan penjajah yang mendominasi penduduk asli. Berlainan dengan Australia dan New Zealand merupakan dua negara berdekatan dan jauh dari negara-negara asal dan tradisi yang berjiran dengan mereka.

Kedua-dua negara jiran adalah kukuh, selamat dan boleh mencabar negara-negara jiran lain dari segi kekuatan. Singapura adalah amat kecil dan tersepit di tengah-tengah negara-negara asal yang asli dan tradisi. Wujudnya membawa iklim ekonomi, politik, budaya dan sosial yang berlainan dengan jiran sekeliling yang hakikatnya dari segi ekonominya ia amat bergantung survivalnya pada negara-negara jiran sekelilingnya.

Singapura amat sedar dan dari segi psikologinya ia amat mencurigai jiran sekelilingnya yang mungkin mengancam survivalnya, walaupun pada hakikatnya tiada negara jiran berhasrat sedemikian. Untuk terus hidup Singapura mesti berjiwa, bekerja keras dan bercita-cita besar. Singapura menyertai Malaysia 1963 untuk memberi peluang pemimpinnya muncul pada waktu bersesuaian menerajui Malaysia. Malangnya ianya dikeluarkan 1965. Sebab itu Singapura di bawah pimpinan Perdana Menteri pertamanya , Lee Kuan Yew pada masa itu berjuang dan 'struggle' bagi menempatkan Negara dan pimpinannya sekurang-kurang sebagai terkehadapan di Asia.

Dalam hal ini Singapura yang pemimpinnya selari dengan pandangan Barat dapat dikatakan berjaya. Lee Kuan Yew diperlihatkan oleh media Barat sebagai pemimpin Asia. Majalah Time keluaran December 12, 2005 menyifatkan Lee Kuan Yew yang walaupun sudah tidak memimpin Singapura (bersara dari Perdana Menteri 1990) sebagai, ``The Man Who Saw All``, kata Time lagi:, `` Lee Kuan Yew and his ideas helped to make Asia what it is today`` (Time, December 12, 2005: 38).

Dari segi ekonomi pendapatan perkapita ialah US$24,220 berbanding dengan Malaysia hanya RM4,250. Singapura berjaya menjadi salah sebuah Negara Paper Tiger di Asia dan mempunyai persiapan pertahanan yang canggih dengan penasihat-penasihat ketenteraan dari Israel.

Pemimpin yang datang selepas Lee Kuan Yew sama ada Goh Chok Tong, maupun anak Lee Kuan Yew, iaitu Lee Hsien Loong tidak mampu menyamai Lee Kuan Yew dan masih terlindung di bawah bayangannya. Namun mereka tetap terus megah dan ego dengan penerusan pencapaian mereka yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew. Dengan keegoan ini mereka mendepani Negara-negara jiran.

Pembinaan jambatan menyentuh kepentingan dan ego mereka

Cadangan membina jambatan, walaupun memberi faedah kepada kedua belah pihak, tetapi dari sudut yang lain mengancam kepentingan, keselamatan dan ego mereka. Keengganan Singapura membina jambatan sudah ditunjukkan sejak zaman Dr Mahathir.

Namun Malaysia di bawah Dr. Mahathir melalui rundingan-rundingan `tidak beri muka` terhadap pimpinan Singapura dan perancangan membina jambatan belum sempat dilaksanakan. Menurut Dr. Mahathir persetujuan didapati dari Perdana Menteri Singapura pada zamannya iaitu Goh Chok Tong berdasarkan surat kepadanya (UM 18 April, 2006:9), namun tidak ada perjanjian antara kedua Negara dimetrai secara resmi.

Dengan pertukaran Perdana Menteri kedua-dua belah pihak perancangan tergendala. Pembinaan jambatan penting, tetapi bagi Singapura ianya membawa berbagai-bagai implikasi kepada kepentingan dan keselamatan Singapura.


Antaranya dengan terbukanya laluan air antara Johor –Singapura dan pendalaman dasarnya akan mengancam pelabuhan Singapura apabila kapal dari hala barat dan timur boleh terus secara cepat dan ekonomik ke Pelabuhan Pasir Gudang (termasuk Tanjung Pelepas) di Johor Bharu yang sama canggihnya dengan Singapura. Dengan bertambah majunya Pasir Gudang akan mengancam ekonomi Singapura.

Dengan wujudnya jambatan yang lebih canggih dan laluan air yang lebih dalam bererti menyediakan infra-struktur ketenteraan yang lebih canggih dan lebih segera sebagai ruang mengancam Singapura. Dengan siapnya jambatan ini bererti lebih menggalakkan rakyat Singapura keluar ke Malaysia, bertambah lebih dari sekarang. Ini bererti lebih memajukan sektor pelancongan Malaysia, iaitu sesuatu yang tidak diingini Singapura.

Pertahan kepentingan

Sebab itu Singapura perlu mempertahankan keunggulan pelabuhannya. Singapura hendaklah kekal menjadi pusat perniagaan utama di Timur Jauh. Status pengawal lalulintas laut (termasuk udara) dari timur dan barat tidak seharusnya dikorban dan menyerahkan kepada Negara lain. Dari sudut pandangan Singapura, tindakannya mempertahankan bersesuaian dengan perundangan antara bangsa bahawa:

``International law confers sovereign rights on the population of a state, which the government exercises on its behalf. According to the law, the government freely decides both domestic and foreign policy. As a consequence of globalization these decisions are, in fact and to some extent in law, effected by external actors. They include not only companies and organizations that operate across borders, but also other influential states.`` (De Feyter, C., Human Rights: Social Justice In The Age of The Market, 2005: 11).

Tindakan Singapura mempertahankan kepentingan mereka dalam hubungan dengan negara jiran adalah merupakan haknya yang tidak boleh dipaksa tanpa kerelaannya. Bagi mempertahankan kedaulatan dan melindungi kebimbangan tersembunyi, Singapura menggunakan tektik `tarik tali` di atas kesungguhan Malaysia untuk mendirikan jambatan untuk membuat tuntutan tawar menawar dengan Malaysia bagi kepentingan dan keselamatan Singapura.

Singapura mahu memastikan keuntungan berganda berpihak kepada Singapura sebagaimana untungnya Singapura mendapat bekalan air mentah dengan harga murah iaitu 3 sen bagi seribu meter padu dari Malaysia hingga 2061 dan memprosesnya dan menjual kembali kepada Malaysia secara untung berganda. Kali ini Singapura membuat tuntutan yang tidak ada kena mengena dengan jambatan.

Singapura menuntut agar Kerajaan Malaysia membenarkan Singapura membeli pasir dari Johor sebanyak 1 bilion kubik meter dalam tempoh 20 tahun untuk menambak dan meluaskan kawasan (reclaim) Singapura, iaitu aktiviti yang pernah dilakukan oleh Singapura secara haram yang dibeli dari penjual-penjual haram. Aktiviti ini merosakkan ekologi perairan Malaysia dan mengancam kehidupan marin dan nelayan-nelayan Malaysia.

Tuntutan yang mengancam Malaysia ini sudah wajar tidak disetujui oleh Malaysia. Sikap ini melebihi pepatah yang mengatakan `Belanda minta tanah`. Di samping itu Singapura juga menuntut agar Malaysia membenarkan Singapura menggunakan ruang udara di Selatan Johor untuk membolehkan kapal terbang Singapura berlatih dari segi penerbangan.

Tuntutan sedemikian akan menjejaskan kedaulatan Malaysia dan membuka ruang kepada pihak musuh mengintip Malaysia di samping berlaku pencemaran bunyi dan merosakkan ketenteraman. Sudah tentulah tuntutan sedemikian tidak boleh dilayan dan tidak ada kompromi berhubung dengannya sama sekali.

Tindakan Malaysia dipersoalkan

Pendirian Singapura adalah jelas, ia mau keuntungan tambahan dan berganda sebagai balasan dari Malaysia sekiranya persetujuan Singapura dikehendaki. Malaysia pula semata-mata memperlihatkan keghairahan yang tinggi terhadap pembinaan jambatan.

Semua media utama di Malaysia, khususnya akhbar-akhbar perdana di Malaysia menerbitkan artikal pentingnya jambatan antara Johor dan Singapura didirikan. Tidak ada bantahan dan tidak ada pendapat yang menentang pembinaan jambatan (sebelum pembatalan).

Menteri Luar, Tan Seri Syed Hamid Albar orang yang paling banyak bercakap berhubung dengan kepentingan jambatan ini diikuti komen-komen yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Pihak Malaysia bercakap tentang pentingnya jambatan, tetapi tidak mempunyai strategi tuntutan sebagaimana dilakukan oleh Singapura.

Dari segi ini Malaysia sebenarnya dari awal adalah lemah dan kalah dari segi strategi. Keghairahan yang berlebihan dipihak Malaysia seperti memaparkan reka bentuk jambatan secara lurus dan bengkok (jambatan Indah) dan berbagai-bagai artikal dan pendapat yang menyokong pembinaan jambatan secara sebelah pihak (tanpa persetujuan Singapura) adalah membelakangi rakan yang perlu mendapat persetujuan darinya, kerana melibatkan hak dan kedaulatannya.

Ini memperlihatkan kelemahan Malaysia dari segi strategi dan diplomasi. Ianya memperlihatkan sikap Malaysia sebagai `Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong`.

Yang lebih anih dan perlu dipersoal dan perlu mendapat jawapan dari pihak Malaysia, mengapakah selepas diumumkan pembatalan pembinaan jambatan secara sebelah pihak oleh kerajaan Malaysia, baru ditimbulkan implikasi undang-undang jika didirikan jambatan, walaupun di sebelah perairan Malaysia.

Mendirikan jambatan yang menghubungkan antara dua negara adalah perkara besar, kerana ianya melibatkan sempadan, kedaulatan dan keselamatan negara. Kita bertanya adakah urusan negara sebesar ini sebelum ini tidak diambil kira dari segi perundangan? Kementerian Luar menurut sesedap cakap sahaja? Tidakkah perkara ini diminta dirujuk dan dikaji oleh Peguam negara dan pakar-pakar undang-undang dari fakulti-fakulti undang-undang di universiti-universiti di negara ini?

Di Kementerian Luar Negara sendiri tentu ada pakar berhubung dengan perundangan antarabangsa. Tidakkah perkara ini dikaji terlebih dahulu. Yang jelas timbulnya aspek perundangan selepas dibatalkan pembinaan jambatan memperlihatkan `kecuaian, tidak teliti dan tidak prehatin` serta lemahnya bahagian R & D Kementerian Luar Negara. Ini adalah memalukan Negara dan pimpinan Negara. Dalam hal ini Profesor Khoo Kay Kim dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya terkejut dengan keputusan Malaysia membina jambatan tanpa sebarang perjanjian dengan Singapura.

Kata Profesor Khoo Kay Kim:
``The government was confident in wanting to build half a bridge, and now it is not clear why it has suddenly decided to call off the whole project`` (The Star, April 14, 2006: N8).

Turut menyatakan pandangan ialah Peguam Malik Imtiaz yang mengendalikan kes-kes hubungan antarabangsa yang mengatakan bahawa, projek jambatan tidak sepatutnya dimulakan tanpa sebarang perjanjian persetujuan yang kukuh dari Singapura (Ibid.).

Sikap Malaysia yang boleh disifatkan sebagai kata pepatah, mendengar guruh di langit air di tempayang dicurahkan` memperlihatkan kelemahan yang jelas di pihak Malaysia. Kita bertanya dalam keadaan tidak wujudnya kepastian mengapakah pihak

Malaysia mengambil tindakan melancarkan pembinaan pada 18 Januari 2006 yang lepas? Alasan untuk mengelak kontrektor Gerbang Perdana Sdn. Bhd. membuat tuntutan pampasan kerana kelewatan projek dimulakan adalah lemah berbanding dengan kepentingan persetujuan antara kedua belah pihak membina jambatan.

Tindakan membatalkan pembinaan jambatan adalah satu kesilapan, ianya adalah merupakan salah satu rangkaian kesilapan. Silap dari menunjukkan ghairah yang berlebihan dan dibiarkan oleh pihak Singapura untuk memerangkap Malaysia, silap melancarkan projek secara sebelah pihak dan arah Gerbang Perdana Sdn. Bhd. menghentikan kerja secara mengejut dan serta merta.

Seharusnya semua kesilapan ini tidak berlaku dan tidak dilakukan sebelum keputusan hitam putih dan perjanjian bilateral dilakukan. Jika semua perkara ini tidak dilakukan tidak ada masalah bagi Malaysia mendepani Singapura, biarkan isu jambatan terus tergantung selagi keputusan secara adil dan faedah bersama belum tercapai. tanpa pembatalan.

Dalam keadaan perkara di atas telah terjadi dan timbulnya kesedaran dari segi implikasi undang-undang, sebaik-baiknya pihak Malaysia hanya menangguhkan projek, tetapi tidak membatalkan sama sekali. Rundingan-rundingan hendaklah diteruskan dalam masa yang bersesuaian. Dengan ini tidak merugikan Malaysia dan juga Singapura dalam jangka panjang.

Implikasi pembatalan secara rasmi

Dengan pembatalan pembinaan jambatan secara rasmi oleh pihak Malaysia bererti Malaysia mengikat dirinya dengan kata-katanya yang seharusnya dikotakan. Ini bererti jambatan tidak akan dibina selama-lamanya ? atau sekurang-kurangnya pada zaman Dato' Seri Abdullah dari pihak Malaysia dan Lee Hsien Loong bagi pihak Singapura. Dengan keadaan ini menyusahkan generasi akan datang, kerana lambat laun jambatan perlu dibina walaupun perlu kepada puluhan atau ratusan tahun akan datang atau secepat-cepatnya dengan pertukaran perdana Menteri sepihak atau kedua belah pihak.

Di sini kritikan Dr Mahathir terhadap keputusan kabinet membatal bukan menggantung ada kewajarannya. Ianya mencerminkan kegagalan Kementerian Luar Negara memainkan peranannya di dalam bidang diplomasi dan hubungan antara bangsa. Tindakan ini secara langsung pula menjejaskan imej Perdana Menteri yang sedang dibena dengan RMK9.

Malaysia menolong Singapura?

Berlambangkan Lee Kuan Yew yang disifatkan oleh barat sebagai `Negarawan Asia` dan kejayaan-kejayaan negara kecil itu dari berbagai-bagai kemajuan, Singapura dan kepimpinannya, walaupun kepimpinan kedua dan ketiga tidak sehebat mana, namun ianya masih berdiri megah berhadapan dengan Negara-negara jirannya.

Pimpinan Malaysia misalnya tidak mudah untuk mengajak pemimpin Singapura bersantai dan berunding sebagai adik abang untuk mencari keputusan. Berdepan dengan Singapura berdepan dengan aura dan kehebatan yang menuntut ketelitian dan hati-hati dari Malaysia. Kelicikan pimpinannya – bayangkan Lee Kuan Yew sukar diatasi pimpinan Malaysia. Dalam hal rundingan jambatan memperlihatkan Malaysia heboh senegara mengenai perancangan pembinaan jambatan.

Semua media perdana memperlihatkan sokongan rakyat, sedangkan Singapura tenang dan tidak tergopoh gapah menanganinya. Ibarat permainan catur, Malaysia kalah sebelum mencapai 'haji'. Bagi Singapura baru pada peringkat permulaan rundingan lawannya telah mengaku kalah (Catatan Lee Kuan Yew sekeluarga termasuk Lee Hsien Loong peminat dan pemain catur Cina (Time December 12, 2005: 40-41).

Anehnya sebaik diumumkan pembatalan projek jambatan, media-media perdana memprojekkan pandangan rakyat 100% berubah kepada bersetuju dibatalkan rundingan. Suatu tindakan yang boleh dipersoalkan.

Sebenarnya kekalahan diplomasi, strategi dan taktik Malaysia berhubung dengan Singapura mengenai pembinaan jambatan, secara tidak langsung Malaysia menolong Singapura di dalam menghadapi pilihan raya yang diadakan oleh pemerintah Singapura dalam masa terdekat.

Isu ini pasti digunakan oleh pemerintah Singapura di dalam meraih sokongan rakyat. Keadaan di sebaliknya bagi Malaysia. Ianya memperlihatkan kelemahan di pihak Malaysia di dalam rundingan-rundingan Malaysia dengan Singapura. Dengan ini menjatuhkan kredebiliti pemimpin-pemimpin Malaysia di mata rakyat.

Isu jambatan ini tidak mudah dipadamkan, kerana Dr Mahathir yang jambatan berkenaan dicadangkan pada zamannya, mulai mengeluarkan kritikan-kritikan terhadap keputusan membatalkan projek pembinaan jambatan antara Malaysia dan Singapura itu.

Adakah isu dan pertikaian ini berpanjangan yang akan menambahkan beban Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi selepas menerima beban kenaikan harga petrol dan kelak dengan kenaikan tariff elektrik? Nampaknya makin banyak munculnya masalah sebelum RMK 9 menyerlah.

Bangi,
20 Rabiul Awal 1427.

No comments:

Post a Comment