December 31, 2007

Mendamba SPR yang berwibawa

Pendahuluan

Salah satu ciri pemerintahan demokrasi bahawa mereka yang diberi mandat memerintah hendaklah dipilih oleh rakyat.

Bagi melaksanakan pemilihan ini sebuah badan berwibawa diamanahkan menjalankan proses pemilihan. Malaysia sebagai sebuah Negara demokrasi, perlembagaan memperuntukkan badan mengendalikan pemilihan bagi peringkat Federal dan state bahawa:

``Selection for both the House of Representatives and State Legislative Assemblies are conducted by the Election Commission`` (The Constitution of Malaysia, 1964: 77). Badan ini yang dikenali dengan `Suruhanjaya Pilihan Raya` (SPR) mula ditubuhkan pada 4 September 1957 berdasarkan artikal 113 dan 114 Perlembagaan Negara.

Badan ini amat penting dan perlu jujur serta telus di dalam menjalankan tugas-tugas, kerana ia melibatkan kenaikan, pengekalan dan penurunan sesebuah kerajaan. Dalam masa 50 tahun kemerdekaan Negara SPR telah menjalankan tugas-tugasnya, tetapi tidak terlepas dari kelemahan-kelemahan.

Kritik terhadap SPR diutarakan berhubung dengan kelemahan aturan dan perjalanan pilihanraya akibat dimanipulasi dan diexploitasi terutama oleh pihak berkuasa bagi kepentingan politik dan pengekalan kuasa sehingga mewujudkan budaya politik yang tidak sihat yang mencabuli akta pilihanraya.

Budaya politik yang tidak sihat ini perlu dicegah. Akta pilihanraya yang berusia setengah abad yang sudah tidak sesuai itu perlu dirombak dan diperbaiki agar SPR berwibawa dan semua hak terpelihara.

Tiada Kebebasan SPR

Antara Kritik terhadap SPR, ialah badan ini bukan sebuah badan yang benar-benar bebas. Ianya tidak diperuntukkan dengan kuasa-kuasa bertindak sesuai sebagai suruhanjaya bebas. Ini ditegaskan bahawa: ``...the sitting government and the commission, criticism has been leveled at the commission questioning the latter's independence.`` (Jayum A. Jawan, Malaysian Politics & Government, 2003: 75).

SPR bukan saja tidak bebas, bahkan berada dan dipertanggungjawab di bawah Perdana Menteri yang berkepentingan dari segi partinya yang memerintah dan boleh memanipulasi dan mengexploitasinya bagi kepentingan politik pihak pemerintah. Contoh Perdana Menteri berkuasa secara berseorangan menentukan tarikh pilihan raya menurut kepentingan partinya. Sepatutnya Parlimen meletakkan SPR sebagai suruhanjaya bebas dari kuasa executive dan setaraf kedudukannya dengan badan perundangan Negara.

Tidak Puas Hati

Bagi parti-parti pembangkang tindak tanduk kerajaan yang bercanggah dengan peraturan pilihanraya dan perlanggaran undang-undang dan perjalanan SPR yang antaranya diperkuda oleh pihak pemerintah merupakan perkara berterusan. Pemboikutan parti pembangkang dari barisan alternatif dan DAP yang turut tidak bertanding bagi pilihan raya kecil Batu Talam yang akan berlangsung pada 28 Februari adalah manifestasi ketidaksenangan parti pembangkang terhadap SPR dan pihak kerajaan. Pihak-pihak tertentu dari parti pemerintah contohnya Nazri Aziz (UM, 10 Januari 2007: 3) tentulah mempertahankan SPR dan tidak setuju dirombak dan diperbaiki, kerana mereka mengetahui di atas kelemahan yang ada pada SPR itulah merupakan peluang yang ada dapat diexploitasi dan dimanipolasi bagi kepentingan parti-parti dan kerajaan yang memerintah.

Ironi

Adalah sesuatu yang ironi dan tamparan kepada pihak pemerintah yang mempertahankan kedudukan SPR sebagaimana sekarang, sedangkan Pengerusi SPR, iaitu Tan Sri Abdul Rashid bin Abdul Rahman sendiri menyedari kelemahan dan kepincangan yang ada di dalam SPR. Lantaran itu sebelum pilihanraya kecil Batu Talam Abdul Rashid di dalam Majlis Pelancaran Akademi Pilihan Raya di Bangi pada 8 Januari 2007 melaporkan: ``The Election Commission is pushing for a review of election laws so that it can uphold the democratic process of fair and transparent election``. (The Sun, Tuesday, January 9, 2007: 1). Menurut Pengerusi SPR itu : ``There is a need to update the current system because the old laws are lacking in many things and thus we cannot deliver what the people want today - free and fair elections``. (The Sun, Ibid.).

Kenyataan Abdul Rashid ini disambut baik oleh banyak pihak terutama dari parti-parti pembangkang, NGO dan orang perseorangan yang maukan SPR menjadi sebuah badan yang berwibawa dan perjalanan pilihan raya lebih adil dan saksama. Pengakuan ini juga menjadi hujah (terbaru) bagi pihak BA memboikot pilihan raya Batu Talam. Namun tidak sedemikian dari pihak pemerintah. Perdana Menteri Malaysia Datuk Sri Abdullah Badawi masih tidak memberi respond terhadap cadangan Pengerusi SPR. Kalangan Menteri mempertahan SPR tidak perlu dirubah. Ini memberi maksud mereka takut dan bimbang dengan perombakan, wibawa dan ketelusan SPR menutup peluang bagi mereka mengeksploitasi dan memanipulasi SPR sebagaimana selama ini.

Bukan Perkara Baru

Luahan Pengerusi SPR dan sikap pemimpin parti Kerajaan yang memerintah terhadap cadangan merombak SPR bukan perkara baru. Akibat dari pilihan raya 2004 banyak penyelewengan dan memuncaknya rasa tidak puas hati terutama dari pihak pembangkang. Bagi setengah tempat terutamanya di Terengganu berlaku `over acting` dari segi pengeksploitasian dan manipulasi pengundian bagi menjamin kemenangan BN yang amat diperlukan di Terengganu. Peratusan keluar mengundi di luar dari kewajaran berlaku yang mencerminkan ada tindakan-tindakan di luar peraturan berlaku. Jumlah keluar mengundi di negeri Terengganu hitung panjang melebihi 87% Contoh: Peratusan mengundi P 37 Marang - 88.84% P 39 Dungun - 90.12% N 22 Manir - 98.33% N 10 Teluk Pasu - 90.17% N 21 Telemong - 90.33% N 30 Kijal - 90.11%

Ini memberi kepercayaan bukan saja di Terengganu dan tempat-tempat yang lain berlaku pengimportan pengundi secara teratur dan sistematik, tetapi melampau di Terengganu dan juga tempat-tempat yang lain yang dianggap kritikal. Selain dari itu berlaku pemindahan pengundi-pengundi dari lokaliti-lokaliti tertentu tanpa permohonan dan wujudnya pengundi-pengundi yang mengundi lebih dari sekali. Juga timbulnya tuduhan ada konspirasi dari segi membekalkan kad-kad pengenalan kepada bukan warganegara untuk melayakkan mereka mengundi.

Sebagai contohnya berlaku pertambahan pengundi mistri sebanyak 67,000 pengundi (NST, April 14, 2004: 1). Sementara itu kekecohan berlaku contohnya di Selangor termasuk DUN Bangi, akibat kelainan dari segi buku daftar pengundi dan kesukaran mendapat kepastian tempat mengundi dan paling serius di Selangor ialah berlakunya penambahan waktu mengundi dari jam 5.00 hingga jam 7.00 petang. Rasa tidak puashati juga ditimbulkan adanya no. siri bagi kertas undi yang memungkinkan boleh dikenalpasti pengundi. Manakala dari segi persempadanan semula dilihat berlaku ketidakwajaran bagi setengah-setengah kawasan yang dipotong, dikerat, dimasuk dan dipindah secara sewenang-wenang dan di luar kewajaran. Ini semata-mata bagi menjaminkan kemenangan bagi pihak BN.

Bagi Abdul Rashid beliau sendiri menimbulkan kepincangan-kepincangan dalam pilihan raya. Oleh kerana penyelewengan-penyelewengan yang berlaku Abdul Rashid sendiri mencadangkan berikut dari kekecohan perjalanan pilihan raya ke 11 pada Mac 2004 agar sebuah badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat Suruhanjaya Pilihan Raya. Ini termasuk memperbaiki Undang-Undang Pilihanraya yang telah lapuk. Badan ini hendaklah bersifat bebas dan ahli-ahli terdiri dari pakar-pakar, NGO, parti-parti politik termasuk pembangkang utama dan ahli-ahli perseorangan yang berwibawa (UM, 25 Mac 2004: 1).

Pada kali yang lain Abdul Rashid menyebut kepincangan-kepincangan dalam pilihanraya dan ketidakadilan terhadap pembangkang yang menghadapi pertandingan di atas padang yang tidak rata seperti parti pemerintah berhak membubarkan parlimen mengikut kepentingan mereka, semasa `caretaker government`. Pihak parti pemerintah sepatutnya tidak sewenang-wenang menggunakan kemudahan dan jentera kerajaan bagi kepentingan parti, contohnya menggunakan saluran-saluran media dan tv kerajaan.

Parti pembangkang disusahkan mesti memohon permit polis bagi satu-satu perhimpunan terbuka, tetapi tidak bagi parti BN. Sewajarnya dimaklumkan sahaja kepada pihak Polis. Pihak BN menggunakan kemudahan media termasuk media cetak secara bebas dan berleluasa, sedangkan pembangkang terhad kepada penerbitan dwi-bulanan dan dihadkan penyebarannya kepada ahli-ahli sahaja. Tv kerajaan digunakan sewenang-wenang sebagai saluran dan suara parti BN. Wujudnya undi pos meragukan pihak pembangkang dan aturan-aturan pilihanraya pada hari mengundi tidak dipatuhi, terutama oleh pihak parti BN dan tidak diambil tindakan (NST, Nov. 13, 2005: 8-9).

Cadangan-cadangan Abdul Rashid terutama pada Mac 2004 di atas adalah merupakan kewajaran, tetapi malangnya pihak kerajaan yang sedang mabuk kemenangan menolak cadangan Abdul Rashid. Datuk Sri Abdullah Badawi sebaliknya mengatakan kekalahan pembangkang sebagai ``A defeat of its own making``. (Sundaystar, 28 March 2004: 23). Sebaliknya Abdullah yang menolak perlantikan badan bebas mencadangkan agar SPR memperbaiki dirinya dari dalam, tidak dapat diterima pembangkang. Lim Kit Siang mengatakan, ``It is unacceptable for the EC to have an internal committee investigate the problems because it made a mess of the general election and should not be allowed to judge itself``. (The Sun, March 31, 6).

Kita menjangka di dalam keadaan kelam kabut dan tuduhan-tuduhan terhadap SPR dan Kerajaan dan Abdul Rashid yang menyedari tentang kelemahan SPR dan perjalanan pilihanraya dan dengan penuh sedar membuat pengakuan dan cadangan, bahawa bagi mempertahankan maruah dan kredebilitinya, dengan penolakan pihak kerajaan terhadap cadangannya beliau sewajarnya meletakkan jawatan. Sememangnya pihak pembangkang termasuk Lim Kit Siang meminta beliau meletakkan jawatan.

Bolehkah Dipercayai?

Dengan kenyataan yang dibuat oleh Abdul Rashid Ismail pada 8 Januari 2007 maukan dibentuk satu suruhanjaya bebas mengkaji kelemahan SPR dan perjalanan pilihanraya apakah cadangan ini yang kelihatan baik dan diterima baik oleh banyak pihak, ianya dapat diharapkan menjadi realiti dengan SPR dan mutu perjalanan pilihanraya di Negara lebih baik dan berwibawa ? Kita maklum buat kali ini Perdana Menteri tidak memberi sebarang respond terhadap cadangan Pengerusi SPR. Maka harapan akan tinggal harapan. Ianya merupakan perulangan dengan apa yang disuarakan oleh Abdul Rashid pada 24 Mac 2004 yang lepas dan ditolak oleh perdana Menteri.

Apa yang dapat dilihat sikap Abdul Rashid yang tidak mempertahankan maruahnya dan sering berdolak dalik antara untuk memperlihatkan kepada kerajaan komitmennya terhadap SPR dan mempertahankannya dan sering pula menempelak pihak pembangkang kerana menganggapnya bias terhadap kerajaan (NST, January 14, 2007: 12) menghakiskan kredebilitinya dan hilang keyakinan pembangkang terhadapnya. Sebaliknya melihat kepada kelemahan Abdul Rashid dan takutnya untuk mengambil tindakan digunakan oleh kerajaan memanipulasi kelemahan di dalam SPR dan pimpinan bagi mengekalkan pemerintahan. Dapatlah dibuat kesimpulan `peluang yang ada dan dinikmati selama ini tidak akan dilepaskan. Perubahan, rombakan dan pembaikan SPR akan berlaku hanya hasil dari tekanan-tekanan dari luar yang dapat meruntuhkan benteng yang telah reput itu.

Tindakan

Perlu diperjelaskan kepada rakyat sebarang kelemahan SPR dan penyelewengan pilihanraya adalah merupakan pencurian dan perampasan hak rakyat. Meletakkan SPR secara berwibawa dan perjalanan pilihanraya secara saksama merupakan amanah yang dipertanggungjawab oleh rakyat. Boikot pilihan raya Batu Talang hendaklah dianggap sebagai permulaan mendesak Kerajaan mengadakan perubahan SPR secara bebas. dan menjadikannya sebagai badan berwibawa. Pihak pembangkang, NGO dan rakyat yang cintakan demokrasi dan keadilan hendaklah mendesak Pengerusi SPR kini tidak hanya bercakap kosong. Memorandum dan desakan secara bertulis hendaklah dikemukakan kepada kerajaan. Rakyat yang mendokong demokrasi, NGO dan parti politik pembangkang akan menyokong tindakan positif sedemikian. Pihak parti pembangkang dan NGO perlu terus menyedarkan rakyat melalui ceramah, penulisan dan penyebaran maklumat betapa perlunya diadakan perombakan dan pembaikan SPR agar SPR menjadi badan berwibawa dan hak rakyat terpelihara.

Pandangan bebas dan bersifat ilmiah seperti kajian-kajian yang bersifat akademik tentang tidak telusnya perjalanan SPR dan pilihan raya sekarang seperti yang dikaji oleh saudara Wong Chin Huat pada peringkat PhD di universiti Luar Negara - Essex University berjudul, The Electoral System and Its impact On the Party System in West Malaysia From 1982-2004` patut digalak dan disebarluaskan.Demikian juga kajian-kaijian lain seumpamanya. Beliau sendiri berpendapat boikot pilihan raya kecil di Batu Talam sekarang adalah wajar (The Sun, January 15, 2007: 10).

Pihak Pembangkang dan NGO perlu berterusan mengadakan seminar, penerangan dan pendedahan termasuk kepada Hak Asasi Manusia pada peringkat nasional dan antarabangsa tentang penyelewengan dan perlunya wibawa SPR dan ketelusan perjalanan pilihan raya. Pemerhati antarabangsa hendaklah dibenar hadir pada pilihanraya. Dengan kempen berterusan akan menjejaskan reputasi pihak berkuasa dan menjadikannya tidak selesa, kerana menyedari kekuasaan yang dipertahankan selama ini bukannya tegak di atas kebenaran dan keadilan. Sekiranya penyelewengan berterusan secara kerjasama berbagai pihak boikot pilihan raya pada peringkat nasional wajar difikirkan.

Sekian.

Bangi,

4 Muharram 1428. 23 Januari 2007

No comments:

Post a Comment