October 17, 2017

DOKTRIN KHARRAZIYYAH (FANA` & BAQA`)


BBB, 26 Muharram 1439H. =  16 Oktober 201`7M. (Isnin):
Doktrin Kharraziyyah dinisbahkan kepada pengikut-pengikut bagi faham berkenaan yang dinisbahkan kepada Abu Sa`id  al-Kharraz. Namanya Ahmad bin `Isa. Dia adalah dari ahli Baghdad, bersahabat dengan Dzul al-Nun al-Mis*ri dan Abu `Abdullah al-Nabaji dan Abu `Ubaid al-Bisri. Juga bersahabat dengan Sari al-Saqat*i dan Bish bin al-Harith al-Hafi dan lain daripada mereka itu. Dia daripada imam tertinggi dan shaykh kesufian utama mereka. Beliau meinggal pada tahun 279H.
Abu Sa`id al-Kharraz dikatakan bahawa beliau adalah dari kalangan mereka terawal bercakap tentang `Ilmu al-Fana` dan Ilmu al-Baqa`.
Konsep fana dari segi akidah, bahawa selain daripada Allah Ta`ala adalah tertakluk di bawah fana, tidak kekal dan akan binasa. Bukti kefanaan adalah jelas berlaku kerosakan, kematian dan puncak kefanaan apabila berlaku kerosakan besar yang dikenali dengan kiamat.
Adapun yang baqa` adalah Allah Subhanahu wa Ta`ala yang bersifat baqa` tiada dahulu dan tiada akhir atau diibaratkan juga Dia Yang Awal dan Dia juga Yang Akhir.
Abu Sa`id mengarang karya cemerlang  dan membicarakan tentang fana` dan baqa`. Menurutnya ada tiga kategori  baqa`.
Pertama:  baqa` yang bermula dan berakhir dalam fana contohnya dunia ini.
Kedua:  Baqa` yang sesuatu sudah berwujud dan tidak akan pernah fana`, ya`ni syurga dan neraka, dan akhirat serta penghuninya.
Ketiga:  Baqa` yang sentiasa ada dan akan selalu ada ya`ni kelangsungan Tuhan dan sifat-sifatNya yang azali-abadi.
Menurut Al-Hujwiri Abu  Sa`id al-Kharraz  menampilkan konsep fana dan baqa` yang dikaitkan dengan hal, iaitu dengan bertukar dari satu hal kepada hal yang lain yang  dia berubah, maka dia kekal (baqa`) dengan hal yang baharu itu. Contoh yang dibawa, kebodohan lenyap dengan perubahan berpengetahuan. Dosa lenyap dengan wujudnya taqwa dan kelalaian lenyap dengan adanya ingat – dzikir.  Ini dimaksudkan mencapai kebaqaan  dan fana hilang dari satu sifat dengan kebaqaan sifat yang lain. Namun konsep  fana dan baqa` secara hal ini, bukanlah erti fana` dan baqa` sebenarnya. Ianya merupakan perubahan dari satu hal kepada hal baru yang dianggap kekal atau baqa` dengan baqa` yang berkenaan. Pada hakikatnya bukan fana dan baqa`, sebaliknya perubahan keadaan yang pada hakikatnya tidak tepat dan tidak sesuai menggunakan istilah fana` dan baqa`, sebaliknya lebih membawa kepada kekeliruan.
Kita kira apa yang dapat diterima sebagai doktrin al-Kharraz  ialah apa yang diungkapkan oleh  Abu Sa`id al-Kharraz, bahawa konsep fana` dan baqa` yang diutarakan itu bahawa,
``Fana` itu  adalah lenyapnya kesedaran tentang manusia dan baqa` adalah kelangsungan dalam tafakkur tentang Tuhan.``
Yakni fana` adalah ketibaan pada peringkat sedar akan hakikat fana` diri dan alam, bahkan kewujudan selain daripada Tuhan hingga mencapai peringkat kesedaran tertinggi yang ada ialah Tuhan yang baqa`, di atas kesedaran ini berlangsungnya  tafakkur tentang Tuhan.``
Walau bagaimana ketibaan pada peringkat di atas adalah pada peringkat intuitif dan wujdan, kewujudan diri dan alam tetap wujud walaupun pada peringkat relatif, atau dalam istilah akidah wujud yang baharu. Konsep fana` dan baqa` dari segi realiti biasa tetap menjadi pegangan. Manusia dan alam tetap di dalam batas fana` dan tak mungkin menginjak kepada tahap baqa` seperti baqa` Tuhan !
Antara ungkapan Abu Sa`id al-Kharraz yang mencerminkan tentang doktrinnya:
Aku mendengar `Umar bin `Abdullah al-Farghani berkata, aku mendengar Ibn al-Katib berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata, ``Sesungguhnya Allah Ta`ala menjadikan roh-roh para auliya`nya lazat mendzikiriNya dan sampai kepada kedekatan denganNya dan menjadikan diri (badan) mereka ne`mat daripada yang mereka capai bagi kebaikan mereka. Allah memberi ganjaran kepada mereka pada setiap keadaan, maka hidup badan mereka dengan kene`matan, dan hidup mereka dalam kehidupan dipelihara oleh al-Rabb. Bagi mereka dua lisan. Lisan  pada batin. Dia mengenal Pencipta yang mencipta dan lisan zahir yang dia mengetahui dari segi kemakhlukan dan bertindak seperti biasa dan lisan batin dengan munajat roh-roh mereka.
Katanya disoal Abu Sa`id tentang al-uns, apa dia ? Maka katanya,
``Gembira hati dengan kedekatan kepada Allah Ta`ala dan sukacita dengannya, tenamg dalam heningnya denganNya dan aman dengannya dengan segala keindahan, segalanya menunjukkan ke arahNya. Dia merasa ne`mat dan tiada kekosongan denganNya.
Aku mendengar Aba al-Husain al-T*usi berkata, aku mendengar Aba Muhammad al-Jariri  berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata, pada makna sabda Nabi s.a.w.
``Terpaut hati  mengasihi terhadap siapa yang membuat baik kepadanya``. Wahai hairan siapa yang tidak melihat kebaikan terhadap lain dari Allah. Bagaimana boleh dia sedar keseluruhan adalah kebaikan dari Allah ?
Aku mendengar Qas*r bin Abi Nas*r berkata, aku mendengar  Qasim ghulam al-Zaqqaq berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Bakri berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata, ``Tiap-tiap batin yang menyalahi zahir, maka dia adalah batal.``
Aku mendengar Ahmad bin `Ali bin Ja`far berkata, aku mendengar Muhammad bin `Ali al-Kattani berkata, aku mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata,
``Bagi kalangan `arifin ada perbendaharaan, disimpannya ilmu-ilmu yang berharga dan berita-berita yang pelik, mereka bercakap dengan lisan abadi dan memberitakannya dengan ibarat-ibarat yang azali.``
Apa yang diperkatakan oleh Abu Sa`id al-Kharraz, selain dari ungkapan biasa terluah sama ibarat-ibarat yang intutif, wujdan dan rohani.

Sekian.

October 16, 2017

DOKTRIN AL-HAKIMIYYAH


BBB, 25 Muharram 1439H. =  15 Oktober 2017M. (AHAD):
Doktrin Al-Hakimiyyah adalah dinisbahkan kepada pendukung atau pengikut Abu  `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Hakim al-Tirmidzi. Kunyahnya ialah Abu `Abdullah. Seorang pemimpin terkenal dan banyak ilmunya dan banyak karya yang dihasilkan berkait dengan  bt*iniyyah dan lahiriyyah.
Abu `Abdullah bersahabat dengan Abi Turab al-Nakhshabi dan bersahabat dengan Yahya al-Jala` dan Ahmad bin Khadhrawayh. Dia dianggap dari kalangan ulama` besar Khurasan.
Doktrin yang dikaitkan dengan Abi `Abdillah al-Tirmidzi  ialah tentang kewalian.
Menurut pendapat ini Allah mempunyai wali-wali yang khusus yang dipilih. Wali-wali ini lepas dari ikatan dunia, bebas dari gangguan nafsu syaitan, mereka berkedudukan khusus dan dibuka rahsia bagi mereka. Para shaykh mengakui tentang wali sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah, mereka tidak takut dan mereka tidak berdukacita.`` (Yunus : 62).
Berikut dari wujudnya kewalian, maka terdapat atau berlaku di kalangan wali ini `karamat`, iaitu kejadian atau peristiwa atau perlakuan yang luar biasa berlaku pada wali-wali berkenaan.
Mereka berpendapat kelebihan yang diberi kepada nabi dan rasul dengan mu`jizat, maka bagi wali-wali ialah karamat. Dengan demikian kedudukan mereka tinggi selepas kedudukan nabi-nabi dan rasul-rasul. Pandangan ini tidak menyenangkan setengah pihak, apakah sebenarnya kalangan sufi sahaja berada pada kedudukan selepas rasul dan nabi ?
Kalangan sufi sendiri tidak menyetujui pendapat sedemikian dan tidak membicarakan tentang konsep wali dan karamat.
Karamat sesuatu yang tidak dinafikan, tetapi tidak khusus kepada satu pihak, bahkan yang mengetahui dan memberi kemuliaan kedudukan  adalah Allah Ta`ala semata-mata.
Lagi pula konsep awliya` bukan semestinya bermaksud wali-wali  dari segi kerohaniam, ianya merujuk kepada mereka yang berkuasa atau diberi kekuasaan. Sebagai contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Bahawa wali-wali Allah adalah orang-orang bertaqwa, akan tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.` (Al-Anfal: 34).
Asal ayat ini merujuk kepada mereka yang layak menjaga Baitullah ialah dari kalangan wali-wali Allah – penguasa-penguasa kalangan orang Islam, yang bererti mereka tidak semestinya dari kalangan sufi.
Berhubung dengan konsep wali dari kalangan sufi yang dirujuk kepada pendapat `Abdul Hakimi ini, Al-Sulami di dalam al-Tabaqat, dan Al-Qushairy di dalam  al-Risalat al-Qushairiyyah yang kedua-kedua pengarang ini membicarakan tentang Abdullah al-Hakimi di dalam karya-karya mereka  tidak membicarak aspek  wali  dan karamah di dalam karya-karya mereka.
Antara ungkapan-ungkapan yang dipetik Al-Sulami tentang `Abdullah al-Hakimi:
Aku mendengar Mansur bin `Abdullah berkata, berkata Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi,
``Tidaklah kejayaan dengan banyaknya amalan, sesungguhnya kejayaan di sana dengan ikhlas dan mengelokkannya.``
Dengan sanad yang sama, berkata Muhammad bin `Ali,`` Daripada syarat menjadi khadam ialah tawadhu` dan penyerahan.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali,
``Manusia dari segi mendengar hikmah ada dua jenis,  yang berakal dan yang bekerja. Yang berakal taajjub. Dia menggemari apa yang didengarnya dan yang bekerja berbolak-balik seolah-olah hatinya seperti ular yang berkelok-kelok.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Tiadalah di dunia ini bagi pihak tertentu- beban yang lebih berat dari melakukan kebajikan, kerana siapa yang melakukan kebajikan dia dibeban dengan kepercayaan,  siapa yang merenggangkan dia menolak engkau.``
Dan dengan sanad yang sama kata Muhammad bin `Ali, ``Cukuplah bagi seseorang merasa aib  menggembirakannya dengan apa yang memudharatkannya.``
Aku mendengar Aba al-Husain al-T*usi berkata, aku mendengar al-Hasan bin `Ali berkata, aku mendengar Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi berkata, ``Mendoa oleh orang yang muwahhidin di dalam solat lima waktu, mohon rahmat ke atas mereka, maka disediakan bagi mereka berbagai kunjungan supaya dicapai oleh hamba daripada apa yang dikatakan dan apa yang dilakukan, sebagai sesuatu dari pemberian, maka perbuatan seperti makan, dan kata-kata seperti minuman. Dia adalah kurniaan bagi muwahhidin.``
Dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Yang berakal ialah yang bertaqwa kepada Allah dan memuhasabahkan dirinya.`        `
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Allah Ta`ala  menjamin bagi hambanya rezeki dan difadhukan ke atas mereka itu bertawakkal.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali, ``Hakikat mahabbah hendaklah berterusan bersifat `al-uns` dengan dzikir kepadaNya.``
Dan dengan sanad yang sama berkata Muhammad bin `Ali,  ``Kawal hati menyempurnakan khashyah (takut) dan kawal diri menyempurnakan taqwa.``
Demikianlah ungkapan Abu `Abdullah Muhammad bin `Ali al-Hakimi al-Tirmidzi sebagaimana yang dihimpun oleh Al-Sulami dan tiada kedapatan persoalan  wali dan karamah.

Sekian.

October 15, 2017

DOKTRIN SAHLIYAH DAN UNGKAPAN


BBB,  24 Muharram 1439H. =  14 Oktober 2017M. (Sabtu):
Doktrin Sahliyah dinisbahkan kepada Sahl bin `Abdullah al-Tustari,  Dia adalah Sahl bin `Abdullah bin Yunus bin `Isa bin `Abdullah bin Rafi` dan kunyahnya ialah Abu Muhammad. Dia adalah imam kaum dan `ulama` mereka itu. Dia adalah seorang sufi besar. Dia bercakap tentang ilmu riyadhiyat, tentang ikhlas dan keaiban perbuatan.
Dia bersahabat dengan Muhammad bin Siwar dan menyaksikan Dhu al-Nun al-Mis*ri pada masa dia keluar menunaikan haji di Makkah. Dia meninggal tahun 283H.
Doktrinnya ialah Mujahadah meniadakan (menentang) nafsu dan latihan kezuhudan bagi melazimkan diri mengingati Allah, iaitu dengan jalan berzikir.
Iaitu dengan melazimkan ucapan dan ulangan dzikir – Allah, Allah, Allah, terus menerus dalam satu hari hingga terbiasa dengan ucapan kata-kata itu. Dan lakukan hal yang sama pada hari berikut sampai terbiasa mengucapkannya. Bahkan terbiasa pada malam sehingga tenggelam dalam mengingati Allah.
Mujahadah menentang nafsu bermula dengan mengenali hakikat nafsu yang dikira sebagai jiwa rendah.
Doktrin Sahliyah melihat bahawa nafsu adalah sumber bagi kejahatan.
Adapun nafsu itu ada yang mengatakan ianya suatu `ayn (benda) dalam badan
Ada  pula yang mengatakan dia adalah sifat badan yang bertaraf rendah.
Ianya merupakan tindakan atau sifat-sifat tidak terpuji dari diri seperti sombong, takabbur. Irihati, dengki, mengupat, marah dan sebagainya. Semuanya itu termasuk perkara-perkara dosa.  Sama ada bersifat lahiriah seperti mengumpat, marah, mencuri dan sebagainya atau bersifat dalaman seperti dendam, benci, riya`  dan sebagainya.
Doktrin Sahliyah juga membicarakan cara-cara mengatasi unsur –unsur bertaraf rendah di dalam diri yang bersifat dosa kepada taraf tinggi menjadi pahala. Antara jalannya ialah bermujahadah dengan taubat dan membersih diri dengan dzikir sebagaimana disebutkan pada permulaan. Seterusnya dengan berbagai-bagai ibadat. Semua ini termasuk di bawah proses mengenal diri, lantaran diungkapkan:
``Siapa yang mengenal diri dia mengenal Tuhannya.``
Pengenalan menukarkan elemen rendah diri yang keji kepada terpuji
Menghendar dari pengaruh syaitan kepada jiwa malaikat.
Menukar dari perkara dosa kepada berpahala
Menukar dari elemen neraka kepada syurga.
Didengar dari Abu al-Husain al-Farisi berkata, aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, berkata Sahl, ``Siapa yang kosong hatinya daripada menyebut tentang keakhiratan, maka dia terdedah kepada waswas syaitan.``
Adalah didengar bahawa Sahl bin `Abdullah berkata,
``Tidaklah bagi hati dan nafsu, melainkan Allah memerhatikannya sama ada malam atau siang. Sesungguhnya hati atau nafsu memerlukan kepada ilmu atau dipengaruhi iblis.
Berkata Sahl bin `Abdullah, adalah kewajipan bagi sufi tiga perkara, memelihara rahsianya, menunaikan kefardhuan dan menjaga kefaqirannya.
Berkata Sahl, ``Allah ialah kiblat niat, dan niatr kiblat hati, dan hati kiblat badan, dan badan kiblat anggota  dan anggota kiblat dunia.``
Berkata Sahl bin `Abdullah, ``Siapa yang bersifat  z*an  diharam  (terhalang) daripadanya keyakinan, siapa yang bercakap perkara-perkara tidak berkenaan terhalang daripadanya kebenaran, dan siapa yang anggotanya sebok dengan perkara-perkara tidak disuruh Allah terhalang daripadanya wara`.``
Dihikayatkan daripada Sahl bin `Abdullah yang berkata ada tiga fitnah yang merosakkan:
Fitnah am, iaitu yang mengabaikan ilmu.
Fitnah khas, yang mencari rukhs*ah an menta`wil
Dan fitnah ahlu al-ma`rifat, yang sepatutnya  melazimkan  hak waktu dengan menangguhkannya kepada waktu yang lain.
Berkata Sahl bin `Abdullah: Usul bagi kita tujuh perkara::
Berpegang dengan kitab Allah Ta`ala (Al-Qur`an)
Mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.
Memakan yang halal, menegah dari perkara-perkara menyakitkan (merosakkan)
Menjauhi perkara-perkara dosa, taubah dan menunaikan hak-hak.
Ibn `Is*am berkata, dia mendengar Sahl bin `Abdullah berkata, ``
``Tidak ada penolong melainkan Allah, tidak ada dalil melainkan Rasulullah, tidak ada bekalan melainkan  taqwa dan tidak ada amal melainkan dengan sabar.
Dan berkata Sahl bin `Abdullah, amalan ialah dengan taufik dan taufik daripada Allah dan kuncinya ialah do`a dan merendah diri (tadharru`).
Demikian Doktrin Sahliyah dan ungkapan-ungkapan.

Sekian.

October 14, 2017

TASAWUF-PERSAHABATAN, DOKTRIN AL-NURI


BBB, 23 Muharram 1439H. = 13 Oktober 2017M. (Juma`at):
Abu al-Husain al-Nuri – Nama penuh baginya ialah Ahmad bin Muhammad, dilahir dan terdidik di Baghdad, keturunan asal dari Khurasan, iaitu satu kampung  di antara Hirat dan Marwi al-Rudz yang dipanggil Bu`thur, lantaran itu kata Al-Sulami dia juga dikenali  dengan panggilan `Ibn al-Baghawi.``
Abu al-Hasan al-Nuri adalah dari kalangan shaykh dan `ulama` terkenal yang tiada tanding pada zamannya. Dia mempunyai t*ariqat yang elok dan kalam yang lembut. Dia bersahabat dengan Sari al-Saqat*i, Muhammad bin`Ali al-Qas*s*ab dan berkesempatan dengan Ahmad al-Hawari. Dia meninggal pada tahun 295H.
Menurut Al-Hujwiri dua prinsip utama bagi Doktrin Nuri, iaitu `Tasawuf dan Persahabatan.`
Dari segi tasawuf Nuri berkata, ``Tasawuf ialah meninggalkan sesuatu yang berkepentingan diri.`` Ianya juga mengutamakan orang lain, termasuklah kawan.
Menurut Al-Hujwiri berkata  Al-Nuri lagi, Tasawuf adalah lebih unggul dari kefaqiran.`` Al-Nuri juga tidak bersetuju dengan konsep `uzlah, sebaliknya menekankan persahabatan.
`Uzlah dengan maksud pengasingan diri, beramal secara perseorangan, kemungkinan disusupi oleh syaitan yang mnenyelewengkan seseorang, sebaliknya dengan persahabatan yang ikhlas, bukan saja dapat membantu antara satu sama lain, tetapi lebih penting menegur dan memperbaiki kesilapan antara satu sama lain. Sebagaimana disebut di atas dalam persahabatan keutamaan harus diberi kepada kawan dan orang lain dari diri sendiri.
Model yang paling utama ialah persahabatan kaum Ansar yang mengutamakan kepentingan kaum Muhajirin dari kaum Ansar sendiri, sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan mereka yang terdahulu yang awal daripada orang Muhajirin dan Ansar yang mengikut mereka itu dengan ihsan . Allah redha terhadap mereka dan mereka meredha daripadanya.`` (Al-Taubah: 100).
Orang-orang Ansar pada peringkat permulaan Hijrah memberi bantuan kepada orang  Muhajirin  hasil dari kukuhnya persahabatan di kalangan mereka.
Sesungguhnya konsep sahabat amat penting di dalam Islam. Sejarah memperlihatkan peranan sahabat antara Rasulullah s.a.w. dengan Sayyiduna Abu Bakar dan sahabat-sahabat yang lain berjaya memperkukuhkan Islam. Sahabat-sahabat juga meningkatkan keilmuan dan kekuatan umat Islam.
Konsep sahabat Al-Nuri adalah terkesan dari riwayat sebuah Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu al-Qasim, `Abdul Rahim bin `Ali, al-Bazzar al-Hafiz* di Baghdad berkata, bercakap kepada kami Abu `Abdullah, Muhammad bin `Umar bin al-Fdhl, bercakap kepada kami Muhammad bin `Isa al-Dihqan, katanya, adalah aku berjalan bersama Abi al-Husain, Ahmad bin Muhammad terkenal dengan Ibn al-Baghawi al-Sufi, maka kataku kepadanya, ``Apa yang memelihara Al-Sari Saqat*i, maka katanya bercakap kepada kami Al-Sari, daripada Ma`ruf al-Karkhi daripada Ibn al-Samak, daripada Al-Thauri daripada Al-A`mash daripada Anas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Siapa yang menunaikan kepada saudaranya yang muslim satu hajat, adalah baginya pahala seperti orang yang berkhidmat kepada Allah di dalam menunaikan `umrahnya.``
Berkata Muhammad bin `Isa al-Dihqan, aku pergi kepada Sari al-Saqat*i, maka  aku bertanya kepadanya, maka katanya, aku mendengar Ma`ruf bi Fairuz al-Karkhi berkata, ``Aku keluar daripada Kufah, maka aku melihat seorang lelaki zuhud yang dipanggil Ibn  al-Samak, kami bermuzakarah tentang ilmu. Maka katanya bercakap kepada kami Al-Thauri daripada Al-A`mash seumpamanya.``
Disoal lagi Nuri tentang tasawuf, maka katanya, ``Tiadalah tasawuf itu pada tulisan dan bukan pada ilmu yang banyak, tetapi adalah pada akhlak.``
Didengar daripada `Abd al-Wahid bin Abi Bakr berkata, aku mendengar `Ali al-Fata berkata, aku mendengar Aba al-Husain al-Nuri berkata, ``Ahli agama berdiri  (menunaikan kewajipan), ahli tauhid berjalan, ahlu al-redha di dalam kerehatan, orang terputus dalam keheranan. Kemudian dia berkata, ``Sesungguhnya yang haqq apabila zahir, hancurlah tiap yang tertutup dan terlindung.``
Berkata Al-Nuri, ``Semulia-mulia perkara pada zaman kita dua,  orang alim yang beramal dengan ilmunya dan  orang `arif yang bercakap tentang hakikat.``
Disoal Al-Nuri tentang faqir yang sebenar, maka katanya, ``Ialah yang tidak menuduh (tohmoh) Allah Ta`ala dengan sebab-sebab dan dia tenang dalam segala hal.``
Menurut Al-Sarraj Al-Nuri adalah dari kalangan al-wajidin, berintuisi dan berestetik. Dia sering berpuisi.  Antaranya katanya:
Renungilah dengan mata kebenaran, jika kau perhatikan
Kepada  keindahan pada langit bumi mengkagumkan
Jangan utamakan kepentingan diri ambil kesempatan
Jadilah pemerhati kebenaran pada kekuasaan Tuhan.
Dikatakan pada suatu hari Al-Nuri mengungkapkan, ``Aku mencintai Allah dan Dia mencintaiku.`` Dengan ungkapan itu dia dianggap zindiq dan dibawa kepada pengetahuan Khalifah Al-Muwaffiq pada zamannya untuk dihukum. Bila ditanya, dia membaca ayat Al-Qur`an:
 ``Yuhibbuhum wa yuhibbunahu` (Al-Ma`idah: 54),  bermaksud:
``Dia mencintai mereka itu dan mereka itu mencintaiNya .``
Dia meneragkannya kepada Khalifah dengan lembut, halus dan teliti sehingga Sultan terpegun dan mengalir air mata membenarkan. !
Satu pendapat bernas  Al-Nuri sebagaimana dicatat oleh  Al-Hujwiri, bahawa terdapat sepuluh doktrin tasawuf yang diterima – tidak termasuk yang ditolak dan kita sedang membincangkan.

Sekian.

October 13, 2017

DOKTRIN KESEDARAN AL-JUNAYDIYYAH : IMAM SEGALA ALIRAN


BBB, 22 Muharram 1439H. = 12 Oktober 2017M. (Khamis):
Doktrin Al-Junaydiyyah adalah dinisbahkan kepada Al-Junayd bin Muhammad, Abu al-Qasim al-Kharraz. Ayahnya seorang peniaga barang-barang kaca, oleh kerana itu dia juga dipanggil `Al-Qawaririyy`. Dia berasal dari Nahawand, tapi berkelahiran dan mendapat pendidikan di `Iraq. Dia seorang yang mendalam dalam bidang fiqh dan mempelajari ilmu fiqh dari Abi Thaur. Dia bersahabat dengan Al-Imam al-Shafi`e, Sari al-Saqat*i, al-Harith al-Muhasibi, Muhammad al-Qas*s*ab al-Baghdadi dan lain daripada mereka itu. Dia adalah imam kaum dan menjadi pemimpin mereka itu. Dia diterima oleh semua pihak. Dia meninggal pada tahun 297H.
Menurut Mahmud Abu al-Faydh di dalam Jamharat al-Awliya`,
Al-Junayd sebagaimana disebut mendalam di dalam keilmuan shari`at dan mmpunyai persediaan sempurna dari segi keilmuan zahir dan batin.
Al-Junayd dikatakan berkata, ``Semua jalan (al-t*uruq) adalah tertutup bagi makhluk, kecuali mengikut jalan Rasulullah s.a.w. dari segi shai`atnya, mengikut sunnahnya dan melazimi t*ariqatnya. Kerana jalan kebaikan adalah sentiasa terbuka.``
Al-Junayd juga berkata, ``Ilmu kami bergantung pada al-Kitab (Al-Qur`an) dan Al-Sunnah.``
Berlainan dengan Al-Bistami yang berpegang kepada Doktrin `Kemabukan`, maka doktrin Al-Junayd ialah `Ketidakmabukan` (Kesedaran).
Al-Junayd ditanya, ``Bagaimanakah t*ariq (jalan) kepada Allah ?``. Dia menjawab,
``Berterusan taubat, takut,  menghilangkan kesombongan dan raja` yang boleh mebangkingkatkan kepada perbuatan kebajikan dan muraqabah pada setiap lintasan hati.``
Antara pendapatnya tentang tasawuf, ``Bahawa tasawuf ialah bersih mu`amalah bersama Allah Ta`ala. Asalnya ialah berpaling dari cintakan dunia.``
Berkata Al-Junayd, ``Bahawa tasawuf adalah terbina atas akhlak lapan para anbiya` a.s. , iaitu:
Bersifat pemurah  seperti Nabi Ibrahim, redha seperti Isma`il, sabar seperti Ayyub,
Bermanis muka seperti Zakariyya, ghurbah seperti Yahya, memakai baju bulu seperti Musa,
Al-sibahah seperti `Isa  dan faqr seperti Nabi Muhammad s.a.w.``
Al-Junayd ditanya, ``Tidakkah kalam anbiya` isyarat tentang mushahadat ?``
Maka dia tersenyum dan menjawab, ``Kalam anbiya` dibina di atas kehadhiran wahyu dan kalam s*iddiqin ialah isyarat daripada mushahadah yang membangkitkan daripadanya ilham.``
Disoal Al-Junayd tentang siapa dikatakan al-`arif ?, katanya,
``Warna air seperti warna bekasnya.``  (ya`ni zahir dengan warna bekasnya dan mengetahui tiap manusia akan minuman mereka).
Dan dia ditanya lagi tentang al-`arif, maka katanya,
``Siapa yang bercakap tentang rahsia engkau dan engkan terdiam, bahawa dia membukakan halnya akan hal engkau. Dan ini tidak perlu dicakapkan. (Jamharat al-Awliya`, Juz` 2, 1387/1967: 149- 152).
Menurut Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi bahawa Al-Junayd ditanya tentang tauhid, maka katanya,
``Menunggalkan yang mengesa dengan tahqiqkan wahdaniyyatNya dengan sempurna keesaanNya, bahawasnya Dialah yang Esa yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, tidak ada lawan dan persamaan dan penyerupaan, tidak disembah selain daipadanya. Tidak tashbih dan tidak bagaimana, tidak ada gambaran dan tidak ada tamthil. Tuhan yang Esa, S*amad, tunggal dan tidak ada bandingan dengan sesuatu dan Dia Amat Mendengar lagi Amat Melihat.``
Dia disoal sekali lagi tentang tauhid, maka katanya, ``Hilang garis tulisan dan bertingkat keilmuan dan Allah Ta`ala berterusan (lam yazal).
Dan disoal Al-Junayd tentang  tauhid khas, maka katanya,
``Adalah hamba sebagai bayangan di hadapan Allah `Azza wa Jalla berlari di atasnya larian tadbirNya, di dalam larian hukum qudratNya di dalam kancah lautan tauhidNya dengan fana` hamba daripada dirinya dan daripada dakwaan makhluk bagi dan daripada istijabahnya dengan haqiqat wujud wahdaniyyatNya pada haqiqat kedekatanNya dengan hilang rasa dan geraknya, bagi mendirikan haqq bagiNYa dengan apa yang dikehendaki daripadanya. Dan dia adalah kembali akhir hamba kepada awalnya, maka adanya sebagaimana telah ada sebelum ada kini.``
Katanya lagi,``Tauhid ialah keluar dari kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana` yang sarmadaniyyah.`` (Al-Luma`, 1380/1960: 49).
Mencatat Al-Sulami yang mendengar Muhammad bin `Abdullah bin Shadzan berkata, berkata Al-Junayd, ``Mendekatkan wajdan ialah himpunan dan ghaib dari keinsanan adalah pecahan.``
Berkata Al-Junayd, ``Kejayaan  menunaikan tiap-tiap hajat daripada dunia ialah meninggalkannya.``
Berkata Al-Junayd, ``Waktu apabila luput tidak boleh didapati kembali dan tiada sesuatu lebih mulia daripada waktu.``
Berkata juga Al-Junayd, ``Membuka sesuatu `pintu` ialah dengan usaha.``
(Al-Sulami, T*abaqat al-Sufiyyah, 1389/1969: 155-163).
Demikianlah ungkapan Al-Junayd dengan berbagai persoalan dari cara yang mudah kepada secara mendalam, namun dia berada pada batas akidah dan shari`ah yang dia tergolong di bawah doktrin Kesedaran. Dia adalah menjadi imam bagi segala aliran.

Sekian.

October 12, 2017

DOKTRIN ABU YAZID AL-BIST*AMI: KEMABUKAN DAN KESEDARAN


BBB,  21 Muharram 1439H. = 11 Oktober 2017M. (Rabu):
Nama lengkap bagi tokoh yang dibicarakan ialah Abu Yazid T*ayfur bin `Isa bin Sarushan. Dan adalah datuknya – Sarushan ini asalnya majusi, dan memeluk agama Islam. T*ayfur bertiga beradik, iaitu Adam, T*ayfur sendiri dan adiknya `Ali, ketiga-tiga mereka adalah para zuhhad dan `ubbad dan ahli ahwal. Mereka adalah berasal dari Bist*am. Abu Yazid al-Bistami kalangan awal sufi dan meninggal tahun 261H.
Menurut Al-Hujwiri, Abu Yazid adalah shaykh sufi yang mempunyai aliran  tersendiri yang dikenali `Mabuk Cinta Ilahi` .  Al-Bist*ami menyukai kemabukan.  Dengan kemabukan adalah pelenyapan dan kebinasaan sifat manusiawi. Ia adalah bertentang dengan `Ketidakmabukan`. Al-Junayd tidak menyetujui kemabukan dan  berpegang pada Ketidakmabukan `Sedar`. Ini adalah pegangan kebanyakan sufi. Yang tidak menyetujui kemabukan lantaran ia adalah  merupakan keadaan manusia di dalam kemabukan tersebut terputus dari kesedaran dan di luar dari kawalan yang boleh menjerumuskan  kepada sesuatu yang boleh merosak dan membahayakan, kerana berada di luar sedar dan di luar rasional. Walau bagaimana ada yang mempertahankan situasi sufi yang berada di dalam ketidaksedaran atau kemabukan – mabuk kecintaan dan dilihat kata-kata yang terkeluar di dalam ketidaksedaran – mabuk sebagai kata-kata sat*hiyyat – permukaan yang diberi takwilan.
Dari satu segi dilihat bahawa yang berada pada peringkat kemabukan ini mengalami apa yang diistilahkan sebagai fana` dengan Allah dan satu lagi ialah baqa` dengan Allah. Peringkat fana`, melihat manusia dan alam ini adalah sesutu yang binasa dan pada peringkat fana`  tidak wujud dan wujud hanya Allah, sebaliknya pada peringkat baqa` bi Allah, ialah melihat dari segi hakikat yang wujud sebenarnya ialah Allah.
Daripada kata sat*hiyyat seperti ungkapan di dalam al-Luma`:
Aku orang yang dirindui dan yang dirindui ialah aku
Apabila engkau melihat daku kau melihat kami
Kami dua roh sama pada satu jasad
Dipakailkan oleh Allah kepada kami badan
(Al-Luma`, 1380/1960  hlm.  463).
Berkata Al-Junayd kata-kata sat*hiyyat yang dikaitkan dengan Abi Yazid seperti di atas:
``Hikayat tentang Abi Yazid bermacam-macam, mereka yang memetik katanya berbagai-bagai sebagai dalam jangkaan (iqtaraf). Wallahu a`lam.
Pada kali lain Al-Junayd berkata:
``Dan adalah daripada kalam Abi Yazid  r.h.a. itu, kerana kekuatan,, keterlibatan, puncak maknanya. Dia mengharungi laut cintanya secara berseorangan, yang demikian laut harungannya adalah secara keseorangannya.``  (Al-Luma`: 459).
Berkata Al-Junayd lagi:
``Aku dapati hikayat-hikayat tentang Abi Yazid r.a. hal yang sedikit yang memahami tentangnya atau apa yang dita`bir tentangnya ketika mendengarnya, kerana tiada mampu yang membawanya, melainkan yang mengetahui maknanya dan mampu dengan maksud tertentunya, siapa yang tidak mampu dengan  apa yang dibawanya, ketika mendengar  keseluruhannya, maka bagi mereka menolaknya.``
Tambah Al-Junayd, ``Abu Yazid tenggelam pada apa yang didapati daripadanya dan dia pergi dengan hakikat hak, jika tidak mampu dicapai dengan makna yang dia tenggelam dengannya, maka tidaklah tepat dengan maksudnya. (Al-Luma`: 459).
Apa yang aku sebut kata al-Jumayd, bukan tertulis dalam karangan-karangan, kerana dia bukan ilmu yang ditetapkan di kalangan ulama`, tapi ada yang sengaja mengharungi pada maknanya dan dijadikan hujah yang bat*il, ada yang berpendapat  kufur dari segi i`tiqad, sedang ramai yang tersalah arah dengan apa yang mereka pergi dengannya. (Al-Luma`: 460).
Daripada apa yang dicatat al-Sulami di dalam Tabaqat al-Sufiyyah, antaranya,
``Disoal Abu Yazid tentang darajah al-`arif, maka katanya, ``Tiada di sana darajah,, bahkan setinggi faedah bagi yang `arif ialah wujud apa yang diketahuinya.``
Berkata Abu Yazid, ``Al-`abid menyembahNya dengan hal, sedang al-`arif yang was*il  menyembahnya di dalam hal.``
Disoal Abu Yazid, ``Apa yang menolong dari segi ibadat ? Maka katanya, ``Allah kalau engkau ma`rifat tentangNya.``
Berkata Abu Yazid, ``Aku beramal di dalam mujahadah selama tiga puluh tahun,, maka aku tidak dapati sesuautu yang lebih sukar, melainkan ilmu dan mengikutinya, kalau tidak ada khilaf `ulama` dia kekal. Dan ikhtilaf `ulama` adalah rahmat, kecuali pada mentajridkan tauhid.``
Kata Abu Yazid, ``Tidak mengetahui akan dirinya siapa yang bersahabat dengan nafsunya.``
Berkata Abu Yazid, ``Allah memerhati hati para awliya`nya, Antara mereka itu tidak layak menerima ma`rifat untuk dibawa, maka dia tertumpu kepada ibadat.``
Adalah didengar Abu Yazid berkata, ``Ya Tuhanku fahamilah akan daku tentang Engkau, kerana aku tidak memahami tentang Engkau melainkan dengan Engkau.`` (Tabaqat al-Sufiyyah: 1389/1969: 67-74).
Demikianlah kontroversi tentang Abu Yazid al-Bist*ami, di dalam keadaan biasa, ungkapan-ungkapannya adalah tidak terkeluar dari kewajaran.

Sekian.

October 11, 2017

HAMDUN AL-QAS*S*AR DAN DOKTRIN AL-MALAMAH


BBB, 20 Muharram 1439H. =  10 Oktober 2017M. (Selasa):
Hamdun al-Qas*s*ar ialah nama bagi Hamdun bin Ahmad bin `Imarah atau dikenali dengan Salih al-Qas*s*ar al-Naisaburi. Dia terkenal sebagai Shaykh yang membawa doktrin al-malamah dan dia adalah shaykh bagi doktrin malamah berkenaan di Naisaburi dan daripadanya berkembangnya madzhab al-malamah.
Dia bersahabat dengan  Salam bin al-Hasan al-Barusi dan Abu Turab al-Nakhshabi dan `Ali al-Nas*r Abadzi. Dia seorang yang alim terutama di dalam bidang fiqh dan dia mengikut madzhab Abu al-Thauri. Tarikatnya ialah tarikat yang khas bagi dirinya.  Salih Hamdun meninggal tahun 271H. di Naisaburi dan dikebumikan diperkuburan al-Hirah.
Doktrin al-Malamah bermaksud –  kata al-malamah dari istilah la-ma, yalumu, laumah, bererti `mencela`. Jadi malamah bermaksud `mencela diri. Dalam erti kata, sesuatu kelemahan, kesilapam adalah dari diri dan hendaklah sentiasa memeriksa diri dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Manusia meyakini  kekuasaan Tuhan di atas diri dan manusia amat lemah di dalam menanggapi Tuhan. Manusia perlu menerima celaan dan di atas kesilapan yang dilakukan dan bertanggungjawab.
Saebagai contoh dapat  difahami mesej  dari Hadith yang diriwayatkan bahawa:
Bercakap kepada kami bapaku r.a. berkata bercakap kepada kami `Abdullah bin Muhammad bin Munazil, bercakap kepada kami Hamdun bin Muhammad al-Qas*s*ar, bercakap kepada kami Ibrahim al-Zarrad, bercakap kepada kami Ibn Mumayyar, daripada al-A`mash daripada Sa`id bin `Abdullah daripada Abi Barzat al-Aslami berkata, besabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Tidak bergerak  dua tapak kaki hamba pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara:
Daripada umurnya pada apa yang dihabiskan, dan daripada jasadnya pada apa dilakukan, dan daripada hartanya dari mana diusahakan dan dimana dibelanjakan, dan daripada ilmunya sejauh manakah diamalkan.``
Daripada Hadith dapat diaplikasikan kepada doktrin Hamdun al-Qas*s*ar   bahawa manusia dipertanggungjawab terhadap perlakuan yang dilakukan, bahkan disoal tiap satu bagaimana dia mengguna dan juga dari segi tujuan dilakukan.
Begitu juga sebarang tindakan yang hendak dilakukan hendaklah dipastikan apakah ianya sesuatu yang baik dan jika tidak hendaklah dihendarkan sebagai contoh  Hamdun al-Qas*s*ar pernah ditanya,
``Bilakah seharusnya seorang lelaki itu berkomunikasi (bercakap) dengan seseorang ?``, maka katanya, ``Apabila nyata dia seorang yang menunaikan fardhu dari fardhu-fardhu yang diperintah Allah Ta`ala sebagaimana diketahui, atau dia takut binasa manusia dengan perkara bid`ah dan dia berharap diberi kejayaan oleh Allah dengan ilmunya.
Pendeknya Hamdun amat prehatin dan menjaga kewajipan-kewajipan yang seharusnya ditunai seseorang  dengan sebaik mungkin dan penuh tanggungjawab.
Hamdun juga pernah ditanya, ``Mengapa kalam orang-orang salaf itu lebih bermanfaat dari kalam kita, maka katanya, ``Kerana mereka itu bercakap bagi kemuliaan Islam, menjayakan diri, mencari keredhaan Al-Rahman. Sedang kita bercakap untuk kemuliaan diri, menuntut dunia dan mendapat penerimaan makhluk !.``
Berkata Hamdun, ``Asal  menghilangkan kemesraan antara kawan-kawan, ialah kerana kasihkan dunia.``
 Berkata Hamdun, ``Siapa yang sebok  menuntut keduniaan daripada akhirat, maka dia rugi (hina) sama ada di dunia dan akhirat.
Berkata Hamdun, ``Siapa yang melihat kepada perjalanan salaf, dia mengetahui kecuaiannya dan jauhnya dari martabat lelaki yang unggul.``
Berkata Hamdun, ``Daripada kelalaian seorang hamba ialah mencuaikan perintah Tuhan kepada  siasah  (kepentingan) dirinya.``
Bekata Hamdun, apabila engkau melihat seseorang itu baik, maka janganlah memisah diri daripadanya, maka dengannya boleh membawa engkau kepada kebaikan.
Adalah didengar daripada Muhammad bin Ahmad al-Tamimi berkata, dia mendengar Ahmad bin Hamdun berkata, aku mendengar ayahku (Hamdun al-Qas*s*ar) berkata:
Dia ditanya jalan al-malamah, maka katanya:
``Takut dari pegangan Qadariyyah dan Harapan Murjiyah.``
Ini menggambarkan antara doktrin  Malamah ialah tidak bersetuju dengan pegangan akidah Qadariyyah yang berpegang bahawa manusia berkuasa menentukan perbuatannya. Ia merupakan pegangan yang ekstrim dari satu pihak dan dia juga tidak bersetuju dengan pegangan al-murjiah bahawa manusai tidak berdaya apa-apa dan menyerahkan  segalanya kepada ketentuan Tuhan.
Pegangan al-malamah yang prihatin terhadap perlakuan diri dan berwaspada dengan segala tindakan dan bertanggungjawab. Dia mengecam perbuatan diri yang tidak menurut apa yang diperintah Allah. Doktrin Al-Malamah tidak bercanggah dengan pendapat Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.